Saturday, May 26, 2012

Mencari Penawar Qaseh 9





BAB 9

Danish sedang leka mencuci kereta Toyota Alphard berwarna hitam pada hari minggu itu, memang menjadi rutin hariannya untuk membuat kerja sampingan bagi menambahkan lagi pendapatan keluarganya. Aleeya hanya menghabiskan masa lapangnya di dalam rumah sahaja, tidak dibenarkan untuk bekerja dan yang hanya mampu dilakukan oleh Aleeya adalah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suri rumah sepenuh masa.

Danish yang sedang leka mencuci kereta tadi tiba-tiba terkejut apabila bahunya di pukul oleh seseorang dari belakang, dengan tidak semena-mena membuatkan dirinya yang hendak menoleh ke belakang hampir tersungkur ke bawah menghempap jalan. Dengan tindakan pantas orang yang memukulnya tadi terus menarik Danish sehingga dirinya tenggelam di dalam pelukan si penyelamat itu tadi.

Danish tersedar dari lamunannya lalu meleraikan pelukan itu, dan betapa terkejutnya apabila didapati orang yang dipeluknya kejap tadi adalah seorang wanita yang amat dikenalinya.

“Dina?”

Dina yang berdiri dihadapan Danish sambil berpeluk tubuh hanya tersenyum memandang Danish yang terkejut dengan sergahannya tadi. Dina tidak menyangka yang Danish akan terjatuh apabila disergah begitu.

Yup, how’s life sudah berkahwin ni? Aleeya macam mana?” Danish hanya memandang Dina dengan mata yang tidak berkelip, dilihatnya penampilan Dina waktu itu sangat berbeza, dengan hanya memakai skirt pendek ketat dan baju yang sedikit menampakkan sebahagian dadanya.

“Oi Danish!!!” Dina perasan Danish tergamam melihat perubahan pada dirinya, lalu Dina melambai-lambaikan tangannya di hadapan wajah Danish agar cepat-cepat sedar dari angannya.

“Ya..ya, aku okey, Leeya pun okey, erm kau pun aku tengok dah berubah, kau buat apa kat sini, bukan sepatutnya kau di Johor ke?” Danish hairan melihat Dina yang berada disekitar Kuala Lumpur waktu itu, bukan sepatutnya Dina berada di Universiti Teknologi Malaysia, di Skudai, Johor kerana kalau Aleeya masih meneruskan pengajiannya waktu itu pasti dia juga berada di sana.

“Tak, aku dah berhentilah Danish, malas dah aku nak belajar. Lagi pun Aleeya pun dah tak ada tak syok lagilah. Cuma Ummi Kalsum dan Tina aje yang masih belajar, lagi pun daddy aku ada syarikat sendiri, buat apa aku susah-susah nak belajar lagi, baik aku kerja dengan daddy aku aje,” Dina menerangkan perkara sebenarnya kepada Danish, Danish terkejut mendengar pengakuan bersahaja daripada Dina.

“Eh kau kerja ni ke sekarang? Bukan kau lulusan bachelor in Architecture ke? Boleh jadi arkitek tu kan,” Dina memandang penampilan Danish dari atas sehingga ke bawah, tidak seperti Danish yang dahulu kelihatan segak dan tampan.Tetapi sekarang Danish hanya memakai seluar yang sudah lusuh dan baju t-shirt yang sudah kotor. Tiba-tiba Dina terfikir sesuatu yang bermain di dalam benak fikirannya.

“Yelah Dina, ini pun kerja sambilan aku aje, aku kerja despatch sekarang, kadang-kadang itu part time dibengkel kereta, ini pun nak tambah pendapatan aje. Aku memanglah ada ijazah, tapi susah sekarang ini nak cari kerja, lagi pun Aleeya dah sarat mengandung, tu aku perlu cari duit lebih…” Danish berkata sambil menyimpan semua alat pencucinya untuk membersih kereta tadi ke dalam sebuah baldi.

“Ow ye ke, kesian pulak aku tengok kau, erm, apa kata kau kerja dengan daddy aku, nantilah aku rekomen kau kat dia. Kerja yang sesuai dengan kau, barulah layak dengan kelulusan kau,” Danish pula sudah memberi senyuman dengan tawaran yang sudah Dina tawarkan kepadanya, memang sudah lama Danish memendam impiannya untuk menjadi seorang arkitek yang berjaya dan keluar dari belenggu kesusahan ini.

“Ish, boleh ke Dina, segan pulak aku, kalau kau dah nak tolong, aku okey aje. Lagipun sampai bila aku nak kerja macam ni kan,” Dina sudah tersenyum manis sambil memandang Danish yang menerima lamarannya untuk bekerja bersama-sama syarikat ayahnya. Pucuk dicita ulam mendatang, Danish tidak mahu melepaskan peluang yang sudah ada didepan matanya.

Tanpa mereka sedari datang seorang lelaki yang sudah separuh umur dengan pakaian pejabat yang lengkap menghampiri mereka. Dina menoleh kebelakang lalu mendapatkan ayahnya, iaitu Dato’ Aizuddin, selaku CEO kepada syarikat Raisuddin Engineering Sdn Bhd.

“Danish, ini kenalkan ayah aku, Dato’ Aizuddin, tapi kau panggil aje uncle. It’s okay papa?” Ayah Dina sekadar mengangguk menjawab pertanyaan anaknya lalu Dato’Aizuddin menyambut huluran tangan daripada Danish dengan senyuman dibibir.

”Uncle, apa khabar? Saya Danish Haikal.” Danish pula memperkenalkan dirinya kepada ayah Dina, Danish segan apabila menemui ayah Dina di dalam keadaannya yang sebegitu rupa. Namun Danish masih berlagak tenang dan memberi senyuman kepada Dato’ Aizuddin.

“Baik, Alhamdulillah sihat.” Jawab Dato’ Aizuddin mesra walaupun masih berasa kekok dengan situasi itu.

Daddy, ni suami kepada kawan Dina, Aleeya. He has bachelor in architecture, sama tempat belajar dengan Dina dulu di Johor, and Dina dah offer dia kerja dengan kita, bolehkan daddy?” Dato’ Aizuddin hanya memandang anaknya dengan dahi yang berkerut. Agak lama barulah Dato’ Aizuddin memberikan senyuman seraya mengangguk lalu menoleh memandang Danish.

“Ini kad uncle, minggu depan datanglah ke syarikat uncle ya. Baiklah Danish, uncle pergi dulu,” Dato’Aizuddin sudah berlalu masuk ke dalam kereta Toyota Alphard berwarna hitam miliknya setelah pemandunya membuka pintu belakang untuk bosnya masuk. Baru Danish perasan kereta yang dia cuci sedari tadi adalah kepunyaan ayah Dina. Lalu Dina menghulurkan wang berjumlah rm50 kepada Danish, namun cepat-cepat ditolak oleh Danish.

“Eh tak payahlah Dina, ini tadi pun kau dah banyak tolong aku, thanks!” Dina menyimpan kembali wang tadi ke dalam beg tangannya.

“Okeylah, minggu depan jangan lupa datang and sampaikan salam aku kat Aleeya okey,” Dina sudah berlalu pergi meninggalkan Danish dengan senyuman.

Namun belum sempat Danish berlalu pergi Dina menoleh ke arah Danish kembali lalu bersuara, “ops! Lupa pulak. jangan lupa pakai kemas sikit and handsome…” Sempat pulak Dina memberikan senyuman mengodanya kepada Danish lalu terus masuk ke dalam kereta. Danish berasa amat gembira dan bahagia sekali saat itu dan ingin segera pulang ke rumah untuk menyampaikan berita gembira ini kepada Aleeya.

***

Aleeya tengah leka menggoreng ikan di dapur rumahnya, sebentar lagi Danish akan pulang untuk makan tengah hari. Aleeya menyediakan makanan untuk santapan mereka dengan ala kadar sahaja, ikan kembung goreng, sayur bayam, dan nasi putih sahaja. Aleeya tahu mereka harus berjimat cermat dari sekarang untuk menyimpan wang sebagai kegunaan semasa Aleeya yang akan melahirkan anak dalam masa empat bulan lagi daripada tarikh yang telah ditetapkan oleh doktor kepada Aleeya.

Aleeya juga kerap ke klinik untuk mendapat rawatan susulan setiap bulan untuk memastikan anaknya membesar dalam keadaan normal, kerana rawatan yang diberikan untuk membayar kosnya agak tinggi. Selebihnya doktor mengatakan kandungan Aleeya dalam keadaan selamat dan tidak mempunyai masalah yang serius, cuma Aleeya perlu memberikan kandungannya dengan makanan yang lebih berkhasiat dan protein yang cukup untuk menjamin perkembangan bayi yang sihat dari semasa ke semasa.

“Assalamualaikum, Leeya, Leeya, abang dah balik ni,” Danish yang baru tiba dengan motorsikal capoknya memakirkan kenderaannya dengan tergopoh gapah. Enam bulan yang lalu, Danish telah membeli motorsikal yang dijual murah oleh sahabat lamanya Lutfir, yang hanya menjualkan motorsikal lamanya jenama Honda Ex5 dengan harga rm500 sahaja kepada Danish.

Lutfir sudah sedia maklum dengan keadaan Danish yang sudah berumah tangga dan mengalami masalah kewangan, walaupun Lutfir tidak pernah menemui isteri Danish, Aleeya. Lutfir yakin Danish sangat mencintai dan menyayangi isterinya dengan sanggup bekorban masa dan tenaganya untuk menanggung semua keperluan Aleeya. Aleeya yang sedang leka menggoreng ikan di dapur tidak mendengar suara Danish yang memberi salam kepadanya.

“Leeya…” Danish memanggil nama Aleeya sekali lagi, namun masih belum ada yang menyahut lantas dengan tergesa-gesa Danish menanggalkan kasutnya lalu mengambil kunci rumah dari kocek seluarnya dan membuka pintu rumahnya untuk berlalu ke dapur.

“Laa, sini rupanya isteri abang ni, abang ketuk-ketuk pintu dari tadi tak dengar ke?” Aleeya terkejut dengan sergahan Danish itu yang kini sudah berada di belakangnya. Aleeya menyalami tangan Danish lalu dikucupnya penuh tertib, seperti rutin harian Danish yang akan mengucup dahi isterinya setiap hari menjadi kebiasaan di dalam hidup berumah tangga mereka.

“Abang, dah balik? Aleeya tak perasan tadi, tu tengah goreng ikan, abang pergilah mandi dan solat dulu. Kejap lagi Leeya hidangkan makanan okey,” Aleeya menyambung semula kerja menggorengnya tadi, lalu dia membalikkan ikan kembung goreng ke sebelah badannya lagi kerana bimbang ikan kembungnya nanti akan hangus dan hangit.

Tanpa Aleeya sedari Danish memeluk pinggang Aleeya dari belakang lalu dikucupnya tengkuk isterinya, Aleeya yang tergamam melihat tindakan melulu suaminya itu tidak dapat berkata apa-apa kerana Danish sudah terlebih dahulu berkata-kata. “Sayang, I have something to share with you, nanti abang bagitau, okey. Abang mandi dulu!” Danish meleraikan pelukannya dan berlalu pergi ke kamar mereka dengan nyanyian kecil yang berlagu dibibirnya.

Aleeya hairan dan pelik melihat perubahan sikap suaminya itu, selalunya Danish tidak akan segembira begitu, pasti ada berita yang baik telah terjadi. Bermacam-macam persoalan yang bermain dikotak fikirannya lantas hanya dibiarkannya persoalan itu akan terjawab sebentar lagi.

“Ish, abang ni belum mandi dah peluk orang,” Aleeya mengomel sendirian setelah melihat kelibat Danish telah hilang dari pandangannya, walaupun dia tahu Danish sudah tiada tetapi senyuman manis tetap terukir di bibirnya kerana bahagia dan bersyukur memiliki suami yang baik seperti Danish.

Setelah Danish selesai membersihkan diri dan bersolat zohor, Danish berjalan menuju ke dapur untuk menjamu selera tengah hari itu. Dilihatnya Aleeya sudah menuang nasi ke dalam pinggan, lalu Danish menarik kerusi lalu duduk. “Abang, makanlah. Ini aje yang ada Leeya masakkan untuk abang,” Aleeya sudah meletakkan seekor ikan goreng ke dalam pinggan suaminya.

“Alah sayang, abang tak kisah janji isteri abang yang cantik ni masak, abang makan semua,” Danish tidak memilih di dalam soal makan, kerana apa yang dimasak oleh Aleeya semua dimakannya. Danish tahu Aleeya memang pandai masak dan pandai menjaga hatinya, sebab itulah perasaan sayang dan cintanya kepada Aleeya semakin menebal dari hari ke hari.

“Hah, apa yang abang nak cakapkan kat Leeya tadi, sampai tak sempat nak pergi mandi dah peluk orang,” Aleeya tiba-tiba teringat apa yang Danish ingin katakan dan kongsikan kepadanya tadi, dilihatnya Danish sudah tersenyum senget sambil memandangnya.

“Ini senyum-senyum ni ada apa-apa ke bang? Abang, cakaplah,” Aleeya sudah tidak sabar ingin mendengar apa yang ingin dikhabarkan oleh suaminya sedari tadi.

Danish yang melihat isterinya sudah merajuk kerana beria-ria ingin tahu perkara sebenarnya terus memujuk Aleeya. “Isteri abang ni, sikit-sikit nak merajuk. Kalau ya pun tunggulah habis makan nanti, tengok muncung dah memanjang abang tengok tu, kalau ada getah tu mesti abang ikat bibir tu.” Berubah rona merah wajah Aleeya apabila diusik oleh suaminya begitu, kemudian Aleeya menyambung suapannya yang terhenti tadi dengan muka yang kelat.

“Ya, ya abang bagitahu,”

Aleeya sudah tersenyum dan kembali bersemangat sambil memandang Danish. Danish melihat Aleeya yang sudah baik dari rajuknya hanya tersengih-sengih melihat telatah isterinya yang kebudak-budakkan itu, lalu Danish meneguk air suam dahulu sebelum dia memulakan bicaranya. Aleeya hanya menanti apa yang ingin diperkatakan oleh Danish dengan senyuman yang tidak lekang dibibir mungilnya.

“Aleeya, sebenarnya abang dah dapat offer kerja,”

Mata Aleeya sudah terbeliak memandang Danish, lalu terus bersuara, “Kerja? Kerja apa abang, Alhamdulillah…” Aleeya memanjat kesyukuran kerana Allah S.W.T telah memakbulkan doanya selama ini.

“Abang dapat offer kerja jadi arkitek dekat sebuah syarikat ni, tapi…” Aleeya pelik mendengar kata-kata suaminya yang terakhir itu lalu bersuara lagi.

“Tapi kenapa bang? Gaji dia kecik? Bukan kat sini?” Sudah bertubi-tubi soalan yang diajukan kepada Danish, tetapi Danish masih diam membisu sambil tersenyum-senyum memandang Aleeya. Aleeya pelik melihat perlakuan suaminya itu, namun dia masih sabar menanti apa yang ingin dikatakan oleh Danish.

“Sayang ni, kalau ya pun excited janganlah tanya banyak sangat soalan. Dengar dulu apa abang nak cakap, ini tak…”

“Yelah..Yelah..dengarlah ni.” Aleeya hanya memuncungkan bibirnya menanti jawapan daripada Danish.

“Yelah, abang dapat kerja tapi abang kerja dengan ayah Dina, kawan Leeya tu. Tadi abang terjumpa dengan Dina and ayah dia offer abang bekerja dengan mereka, apa kata Aleeya, Leeya setuju tak?” Aleeya sudah terkejut apabila mendengar nama Dina yang terpacul keluar daripada mulut Danish, dia tidak menyangka yang Dina menawarkan pekerjaan dan membantu Danish di dalam memperolehi pekerjaan. Kemudian Aleeya tiba-tiba terfikir, bukan sepatutnya Dina sekarang berada di Johor. Namun belum sempat Aleeya menanyakan persoalan yang bermain dimindanya, Danish terlebih dahulu dapat mengagak.

“Aleeya mesti pelikkan kenapa Dina ada kat KL sekarang, urm..tadi Dina cakap dia dah berhenti dari study..and terus kerja dengan daddy dia sebagai business Manager.” Aleeya terdiam seribu bahasa dan hanya memandang kosong pinggan yang masih ada sisa makanannya.

“Leeya, Leeya tak suka ke abang kerja dengan mereka?” Aleeya yang tersedar daripada lamunannya yang panjang terkesima sekejap apabila Danish tiba-tiba menegurnya.

“Eh, kenapa pulak Leeya tak suka, mestilah Leeya suka bang, abangkan dah dapat kerja, sekarang dah dapat offer jadi arkitek lagi. Sesuai sangatlah dengan kelulusan abang. Lagipun tak payahlah abang susah-susah lagi bekerja keras siang malam, tinggal Leeya sorang-sorang kat rumah ini, kan.” Aleeya menjawab pertanyaan Danish selancar itu sahaja, tetapi Aleeya berasa tidak sedap hati seperti ada sesuatu yang menganggu fikirannya namun di tepisnya perasaan itu jauh-jauh.

“Tapi bang, mana abang jumpa Dina? Aleeya lama juga dah tak dengar khabar dia, rugilah Dina tu berhenti daripada belajar. Kalau Leeya kat tempat Dina, Leeya tak kan sia-siakan peluang yang dah ada..” Danish menyambung suapannya yang terakhir sebelum menjawab pertanyaan Aleeya, dia tahu pasti perkara itu juga yang Aleeya akan tanya.

“Ya, mesti Aleeya hairankan macam mana abang boleh jumpa dengan Dina, tadi masa abang pergi cuci kereta, abang terserempaklah dengan Dina. Waktu itu abang tak tahu pulak kereta yang abang cuci itu kereta ayah Dina, and Dina tanyalah abang buat apa sekarang, Aleeya sihat ke, dan Dina cakap yang dia dah berhenti belajar sebab Leeya dah tak ada, tak best katanya. Sekarang pun dia bekerja kat syarikat ayah dia, dah berbual panjang itu tiba-tiba Dina offer abang kerja dengan ayah dia, ayah Dina pun dah suruh abang pergi syarikat mereka minggu depan, untuk interview, Aleeya tak kisah kan?”

Aleeya memandang suaminya dengan senyuman dibibir lalu berkata, “Mestilah Aleeya tak kisah, lagi pun Dina tu kan kawan lama Leeya memerangkap kawan baik Aleeya sendiri. Mestilah Aleeya suka bila abang dapat kerja baru, dapatlah hidup kita ini berubah sikitkan bang,” Aleeya kemudian menghabiskan air susu di dalam gelasnya sehingga licin. Dirasakannya saat itu terasa kelat sekali air susu diminumnya, dia hairan kenapa dia begitu gelisah sekali. Sepatutnya dia gembira dengan khabar berita yang di sampaikan oleh Danish, tetapi disebaliknya yang dirasakannya kini.

“Dina tu memang kaya, dia berhenti belajar pun tak apa, tak payah susah-susah nak sambung belajar semua itu, senang aje kerja terus dengan daddy dia kan bang,” Danish hanya mengangguk tanda setuju dengan pendapat Aleeya itu.

“Alah, Aleeya apa kurangnya, keluarga Leeya pun ada syarikat guaman sendiri, tak salah kalau Aleeya ceburi dalam bidang peguam ni,” Aleeya tiba-tiba teringat akan keluarganya yang sudah lama dia tidak menjenguk dan mendengar khabar, hatinya berasa pilu sekali apabila mendengar Danish berkata begitu. Danish perasan akan perubahan pada wajah isterinya itu, lalu cepat-cepat Danish memujuk.

“Leeya, abang minta maaf. Abang tak terniat pun nak kecikkan hati sayang, nanti kalau keluarga kita dah stabil nanti, Aleeya sambunglah belajar, abang benarkan,” Aleeya tersenyum apabila mendengar janji yang Danish sudah katakan padanya tadi, tetapi rasa hatinya untuk belajar lagi sudah kendur dan menjadi tawar. Hidupnya kini, seperti hanya ingin dihabiskan untuk menjaga anak dan berbakti kepada suaminya sahaja.

“Tak apalah bang, Aleeya belum fikir lagi nak sambung belajar. Nanti siapa yang nak jaga baby kita kalau Leeya pergi study,” Aleeya sudah bangun untuk ke singki membasuh pinggan mangkuk yang sudah digunakan tadi. Danish hanya mengangguk apabila mendengar Aleeya menolak perlawaannya untuk menghantar Aleeya menyambung pelajarannya lagi. Danish kemudian berlalu ke ruang tamu untuk duduk berehat sambil menonton televisyen.

Danish sudah memaklumkan kepada Aleeya yang dia tidak akan keluar bekerja sebelah petang nanti. Danish sungguh teruja menanti hari dia akan ditemuduga di syarikat ayah Dina. Dia tidak mahu mensia-siakan peluang yang sudah ada di hadapannya. Dia mahu mengubah nasib hidup dan keluarganya yang sejak dari dahulu lagi hanya hidup di dalam kemiskinan dan kesusahan.

***

Hari yang dinanti-nanti sudah tiba, Danish bangun dengan semangat yang baru lalu bersiap sedia untuk pergi ke Syarikat Raisuddin Engineering Sdn Bhd. Danish hanya mengenakan seluar slack berwarna hitam, baju kemeja berwarna biru muda dan tali leher dengan warna yang sama serta sepasang kasut pejabat berwarna hitam. Aleeya memandang suaminya dari atas sehingga ke bawah, setelah selesai menunaikan solat subuh pagi tadi, Aleeya sudah ke dapur untuk menyediakan sarapan untuk suaminya.

Danish yang masih menyikat rambutnya dihadapan cermin hanya dipandang sepi oleh Aleeya sedari tadi yang kini sudah duduk dibirai katil. Danish perasan akan pandangan Aleeya ke arahnya itu melalui anak matanya. “Hei Leeya, kenapa tengok abang macam tu? Tak pernah tengok abang pakai macam ni ke sebelum ni?” Aleeya tersedar dengan teguran Danish tadi, lalu dia hanya berlagak tenang dan berjalan menghampiri Danish.

“Tak adalah tak pernah tengok, dulu selalulah tengok, ni rasa janggal pula dah lama tak tengok abang pakai smart-smart macam ni,” Aleeya berkata sambil tangannya ligat membetulkan tali leher Danish, Danish hanya memandang wajah Aleeya dengan senyuman lalu dikucupnya pipi isterinya itu.

“Terima kasih sayang, nanti kalau abang dah dapat gaji pertama kita makanlah sedap-sedap. Aleeya dah tak perlu susah-susah lagi masak di dapur, kita ambil sahaja orang gaji kan senang, tu hah motor capok kat luar sana nanti abang tukar jadi kereta BMW ke Harrier ke dan abang akan turutkan semua kemahuan Aleeya, mesti Aleeya ada mengidam nak makan sesuatu kan? Lepas ni, semua yang Aleeya nak abang kasi, beli, Okey?” Aleeya kembali duduk dibirai katil apabila sudah tidak ada apa lagi yang perlu dia lakukan, dia hanya mendengar dengan senyuman sahaja kata-kata suaminya itu. Memang diakuinya terlalu banyak yang dia sudah ingin dan idamkan selama ini, tetapi itu semua tidak penting bagi Aleeya dan hanya dipendamnya di dalam hati.

Aleeya hanya inginkan kesetiaan dan kejujuran daripada Danish di dalam mencintai dan menjaganya selama ini. Aleeya tidak mahu kehilangan Danish disaat hatinya sudah sepenuhnya diberikan kepada Danish dan mengenangkan keadaannya yang sudah sarat mengandung anak mereka yang kini hampir mencecah enam bulan membimbangkan Aleeya.

Aleeya tahu dengan ketampanan yang dimiliki oleh Danish itu, dan statusnya yang akan berubah menjadi seorang arkitek yang berjaya itu pasti menarik minat wanita-wanita lain diluar sana untuk mendekati suaminya. Aleeya tidak mahu perkara itu berlaku kepada rumah tangganya, dia sanggup hidup di dalam kemiskinan asalkan dirinya tidak perlu bersaing dengan wanita-wanita cantik dan juga berjaya diluar sana.

“Aleeya tak nak semua itu bang, cukuplah apa yang abang dah bagi selama ini pada Leeya. Yang Aleeya nak adalah kesetiaan daripada abang. Abang ni berjanji banyak sangat nanti karang jadi beban. Tak usahlah bang, biarlah kita hidup dalam kesederhanaan macam ini,” Danish memandang Aleeya melalui cermin meja solek yang berada di hadapan katil beradu mereka. Danish memahami dan mengetahui maksud daripada kata-kata isterinya itu, Aleeya pasti bimbang jika dirinya tidak dapat mempertahankan rumah tangga mereka yang berada diusia muda seperti ini, lantas Danish menghampiri isterinya dan duduk disebelah Aleeya.

“Sayang, apa sayang cakap ni, abang tak mungkin berpaling arah pada Aleeya. Aleeyalah satu-satunya wanita yang abang cinta dan sayang di dalam dunia ni. Aleeya jangan risau, abang akan tetap setia pada sayang seorang. Abang buat semua ini pun untuk Leeya bukan untuk orang lain. Abang janji tidak akan sesekali tinggalkan sayang, Okey?” Danish sudah menaikkan jari kelingkingnya kepada Aleeya, lalu Aleeya menyambutnya.

“Janji!” Luah Danish dengan yakin dan bersemangat.

“Abang..Aleeya pun tak akan sesekali meninggalkan abang kecuali abang sendiri yang tinggalkan Leeya dan tidak lagi mahukan Aleeya di dalam hidup abang…” Danish hanya menggeleng-gelengkan kepalanya lantas meletakkan jari telunjuknya ke bibir mungil Aleeya.

“Sshh, tak baik cakap macam itu, walau apapun terjadi, abang takkan lepaskan sayang. Leeya tahu tu, ingat!” Aleeya hanya mengangguk seraya tersenyum memandang Danish.

Aleeya menghantar permergian Danish di luar pintu rumahnya setelah mereka selesai bersarapan bersama pagi itu, Aleeya melambaikan tangannya ke arah Danish yang sudah semakin hilang daripada pandangannya dengan menggunakan motorsikal untuk pergi ke syarikat kepunyaan ayah Dina. Aleeya kini berasa sedikit lega dan tenteram dengan apa yang sudah Danish janjikan kepadanya, dan dia berharap Danish akan berpegang teguh pada janji-janjinya. Aleeya juga bertekad untuk berusaha mempertahankan rumah tangganya seboleh mungkin daripada dilanda badai walaupun sehebat dan sekuat manapun, hanya maut sahaja yang bisa memisahkan dia dan Danish.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
:: Untuk apa meraih kecintaan manusia andai diri dimurkai Sang Pencipta. Berilmu bukan bererti menunjukkan kepandaian tetapi hanyalah utk diamalkan. Tiada berguna memperoleh sanjungan disisi ramai andai diri hina disisi Tuhan. Aku hanyalah seorang hamba hina yg sering diselubungi dosa-dosa. Hanya mampu merayu dan mengharap agar diri ini kembali bersih sebelum pergi mengadap Illahi::




Red Butterfly