Tuesday, May 15, 2012

Mencari Penawar Qaseh 8

BAB 8

Suasana pagi itu sangat gelap dan mendung kerana awan-awan mengerumi di seluruh langit. Hujan turun dengan lebat sekali menimpa bumi, kilat pula sabung menyabung seperti bercakaran sesama sendiri. Aleeya melihat suasana pagi itu di balkoni rumahnya dengan linangan air matanya. Hujan yang turun seperti menangisi jua takdir hidupnya di saat itu, Aleeya kini berasa lega dengan keadaan ibunya pagi itu. Dia dikhabarkan oleh Mak Som yang Datin Farhana sudah beransur pulih, tidak seperti malam tadi. Aleeya juga sudah lama tidur kerana terlalu banyak menangis, semalaman dia tidur dan tersedar apabila mendengar azan subuh pagi itu sayup-sayup kedengaran dengan mendayu-dayu menusuk ke dalam hatinya.

Aleeya sudah dimaklumkan mengenai akad nikahnya yang akan berlangsung jumaat depan oleh ayah tirinya, bapa saudara sebelah arwah bapanya akan menjadi wali pernikahannya. Aleeya memanjat kesyukuran ke hadrat ilahi kerana masih memberi secebis cahaya untuk dia meneruskan kehidupannya bersama dengan Danish.
Seminggu sahaja lagi dia akan diijab kabulkan dengan Danish, Aleeya memeluk Ummi Kalsum disisinya. Lama Aleeya mendiamkan diri dan tidak mahu keluar dari kamar beradunya. Hanya keluar melihat ibunya dari luar biliknya sahaja. Selebihnya dia tahu Datin Farhana masih marah kepadanya.

“Ummi, aku kesal sangat apa yang dah jadi, kalaulah dulu aku..aku tak..”

“Sshh, sudahlah Leeya. Benda dah jadi, jangan diungkit lagi. Kau kena ingat Leeya semua ini atas kehendakNya. Aku tahu Leeya semua ini mungkin terlalu cepat, tapi ini semua untuk kebaikkan kau. Percayalah cakap aku,” Ummi Kalsum mengusap lembut rambut Aleeya yang sedang berbaring di ribanya.

“Terima kasih Ummi. Hmm, ayah aku mana?” Aleeya mendongak memandang Ummi Kalsum sambil menanti jawapan daripadanya.

“Ow, ayah kau urus pasal pernikahan kau. Nak ready semua dokumen-dokumen penting, kursus kahwin kau dengan Danish lagi.” Aleeya hanya mengangguk mendengar perancangan pernikahannya yang tidak sampai seminggu sahaja lagi.

***

Lama Aleeya bertafakur di tikar sejadah menginsafi kesilapan dirinya selama ini yang terlalu alpa dan leka dengan syurga dunia. Aleeya akui sedikit sebanyak ini adalah pembalasan daripada Allah kepadanya yang telah mengabaikan tanggungjawabnya dan membelakangkan keluarganya.

“Ya Allah Ya Tuhanku, aku bermohon kepadaMu ya Allah, Kau ampunkanlah segala dosa-dosa ku. Selama ini seringkali aku ingkar dan lalai dalam menjalani perintahMu dengan ketaatanku, kini aku sedar segala dosa-dosa ku kepadaMu dan kepada kedua orang tuaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Mengasihani hambaMu, oleh itu ampunilah dosa-dosa ku, keterlanjuranku dan kejahilanku. Berikanlah aku ilmu yang bermanfaat, jadikanlah aku seorang anak yang baik, dan bakal menjadi isteri kepada bakal suamiku nanti. Kau tetapkanlah hatiku padanya. Ya Allah, bantulah aku untuk terus kuat menghadapi liku-liku dan cabaran hidup yang mendatang. Hanya padaMu ku bermohon Ya Allah…Amin ya Rabbal alamin.” Aleeya melipat telekung dan sejadahnya lalu digantung pada penyidai di kamar beradunya.

Walaupun sekejap sahaja lagi dia akan diijab kabulkan dengan Danish Haikal bin Buhairi kekasih hatinya, tetapi dia tidak merasa manis dan bahagianya waktu itu, tidak seperti bakal pengantin yang akan ke alam perkahwinan sudah pasti diraikan dengan meriah ditemani sanak saudara dan bunyi gelak tawa di dalam rumah mereka. Namun kini dia redha dengan ketentuan ilahi. Aleeya berharap ada hikmah yang tersembunyi disebalik apa yang telah terjadi.

Aleeya telah menerima segala apa yang sudah tertulis untuknya bulat-bulat, dia yakin ada isi tersirat daripada apa yang telah tersurat. Ummi Kalsum dan Dina juga sudah dikhabarkan mengenai perkara ini, Cuma tidak kepada semua orang, hanya saudara-mara dan teman yang terdekat sahaja. Kerana ayah dan ibunya akan melepaskan dia pergi selepas Aleeya sah menjadi isteri kepada Danish.

“Maaf Cik Aleeya, Datuk suruh Cik Aleeya bersiap sedia. Mahu Mak Som tolong bawakan begnya ke bawah?”

Aleeya yang sedang leka berdiri dibalkoni biliknya terkejut dengan kehadiran Mak Som tadi, mungkin dia tidak mendengar bunyi ketukkan dipintu. Aleeya hanya memandang Mak Som dengan senyuman lalu berkata, “Baiklah Mak Som, saya sudah siap, tak payah susah-susah. Beg saya pun satu aje Mak Som…” Mak Som hanya mengangguk setuju lalu melangkah keluar daripada kamar Aleeya, namun langkah kakinya terhenti apabila Aleeya memanggil namanya.

“Mak Som!” Mak Som menoleh kembali memandang ke arah Aleeya dengan tanda tanya.
“Ya Cik Aleeya, ada apa-apa Mak Som boleh bantu?” Aleeya hanya menggelengkan kepalanya, lantas menghampiri Mak Som sambil memegang tangan pembantu rumahnya yang sudah dianggap seperti keluarganya sendiri.

“Mak Som tolong tengok-tengokkan mama ya, nanti kalau saya dah tak ada Mak Som jagalah mama baik-baik. Nah, ni nombor telefon saya, Mak Som boleh hubungi saya kalau ada apa-apa,” Aleeya menghulurkan sekeping kertas kecil yang tertulis nombor telefon bimbitnya, dia sudah mengetahui keadaan ibunya Datin Farhana yang menghidapi penyakit Leukimia. Selama ini perkara itulah yang cuba disembunyikan oleh ibu dan ayah tirinya dari pengetahuannya, mungkin tempoh lalu semasa Aleeya sedang leka melayari bahtera cintanya dengan Danish, ibunya menghubunginya berkali-kali untuk memaklumkan perkara ini.

Tetapi Aleeya kesal kerana sikap dirinya yang telah membelakangkan keluarganya selama ini, Aleeya tahu inilah balasan yang seharusnya diterima oleh Aleeya atas perbuatannya. Sebentar lagi dia akan dinikahkan bersama Danish. Aleeya memerhati kamar beradunya untuk kali terakhir, dia dapat merasakan dirinya tidak akan kembali ke rumah ini lagi. Lalu Aleeya berlalu ke kamar ibunya pula, dilihatnya ibunya masih terbaring lesu diatas katil lantas dihampirinya dan diciumnya tangan ibunya buat kali terakhir.

“Mama, Aleeya minta maaf, Aleeya harap mama dapat maafkan Leeya. Leeya tahu ma Leeya anak yang derhaka, dan Aleeya pasti suatu hari nanti mama pasti maafkan Aleeya. Leeya pergi ma, mama jaga kesihatan mama baik-baik, jangan lupa makan ubat dan izinkan Aleeya melawat mama kelak, Leeya sayang mama.” Aleeya mengucup dahi ibunya selepas itu, lama kucupan itu singgah didahi ibunya, namun dalam suasana kamar ibunya waktu itu gelap dan hanya bertemankan lampu tidur menyukarkan Aleeya memandang wajah ibunya. Namun Aleeya pasti ibunya masih memarahinya, kerana selepas dia mengucup dahi ibunya, Datin Farhana berpaling ke tempat lain seperti jijik untuk memandang wajah anaknya.

Aleeya akur jika itu kemahuan ibunya, dia tidak mahu berada lama di dalam kamar Datin Farhana. Tidak sanggup rasanya kakinya melangkah keluar meninggalkan ibunya dalam keadaan begitu. Aleeya akui, hati ibunya terluka parah atas kesilapannya. Aleeya segera menuruni anak tangga sambil mengesat air matanya kerana ayah tirinya dan Danish sudah lama menantinya diruang tamu rumah mereka.

Tanpa Aleeya sedari, Datin Farhana sudah menangis teresak-esak sebaik sahaja Aleeya melangkah keluar dari kamar beradunya. Ingin sahaja waktu itu Datin Farhana menghalang kepergian anaknya itu, namun dia tidak berdaya, tidak mempunyai kekuatan untuk mengucapkan kata-kata itu. Bibirnya dirasakan seperti telah dikunci ketat ketika itu, dengan keadaan yang tidak berdaya untuk berdiri, Datin Farhana hanya melihat kepergian Aleeya dengan linangan air matanya sahaja.

***

Sudah dua minggu Aleeya sah menjadi isteri kepada Danish, sejak hari pernikahan mereka tempoh lalu Aleeya belum dapat melupakan kenangan di mana saat kali terakhir dia menyalami tangan ibu dan ayah tirinya. Walaupun Aleeya tahu, ibunya tidak mahu menghadiri majlis akad nikahnya tempoh lalu, Aleeya tetap bersyukur kerana kini dia di anugerahkan seorang anak, sekarang usia kandungannya hampir dua bulan. Danish sudah membawa Aleeya ke klinik untuk mengesahkan kandungannya itu, namun hatinya masih merindui mamanya dan Ummi Kalsum kawan rapatnya.

Aleeya masih ingat dimana, semasa akad nikahnya berlangsung Ummi Kalsum ada bersama-sama, cuma Dina dan Tina tidak dapat turut serta. Aleeya pun sudah lama tidak mendengar khabar berita daripada Dina, dia seperti dapat merasakan seperti Dina menyembunyikan sesuatu daripadanya.

“Aleeya, tahniah! Sekarang kau dah jadi isteri orang,” Ummi Kalsum memeluk kawan karibnya, Aleeya membalas pelukan Ummi Kalsum.

“Ummi, terima kasih sebab banyak tolong aku selama ini, kalau kau tak ada aku tak tahu nak buat apa. Apa-apa pun, kaulah kawan sejati dunia dan akhirat aku,” balas Aleeya lagi.

“Leeya, aku tak kisah. Susah dan senang kau, susah senang aku juga. Kau jangan lupa aku nanti tau, bestlah kau dah jadi isteri yang sah pada Danish. Aku yang dulu bertunang, tut tut kau pulak yang kahwin dulu,” seloroh Ummi Kalsum.

Aleeya dan Ummi Kalsum sudah sama-sama ketawa, walaupun waktu itu Ummi Kalsum hanya melihat tawanya, namun jauh disudut hatinya dia tahu hanya senyuman dibibir tampak manis tetapi dihatinya sedih, dia masih mahu bersama-sama berjuang untuk memegang segulung ijazah bersama-sama dengan Ummi Kalsum di Universiti. Namun atas keadaan yang memaksa, Aleeya terpaksa berhenti daripada pengajian, dia terpaksa juga korbankan cita-citanya demi anak yang dikandung dan suaminya Danish.

Aleeya tahu keadaan dia dan Danish sekarang sukar dan terlalu susah, dengan ketandusan wang dan kerja yang tidak menentu membataskan lagi keinginan Aleeya untuk meneruskan pengajiannya. Dengan keadaan Aleeya juga yang sudah berbadan dua membuatkan Danish terpaksa bekerja keras untuk menampung pembelanjaan seharian mereka. Danish hanya menyuruh Aleeya duduk dirumah sahaja, tidak perlu keluar bekerja. Danish untuk sementara waktu ini bekerja sebagai ‘despatch’. Setakat ini, itu sahaja yang mampu dia lakukan untuk menanggung kehidupannya dan Aleeya.

“Alah Ummi, kau pun tak lama lagi. Hujung tahun ini nantikan kau akan berkahwin,” Ummi Kalsum sudah merah padam mukanya menahan malu. Sudah dimaklumkan mengenai pernikahannya yang akan berlangsung tujuh bulan dari sekarang. Namun Ummi Kalsum tetap bersedih kerana tidak ada lagi teman seperjuangannya seperti di Universiti dahulu.

“Ummi, nanti tolong kirimkan salam aku kat kengkawan kita kat U tu, and Dina dan Tina sekali. Okey?” Aleeya tiba-tiba teringatkan kawan sekuliahnya, dia rindu untuk bersama-sama dengan mereka seperti selalu. Zaman remajanya banyak disia-siakan dengan perkara yang tidak memberi faedah kepadanya, dia kini sudah menyedari kekhilafan dirinya yang sudah lama tersungkur jatuh.

Aleeya tiba-tiba tersedar dari lamunannya yang panjang disaat dia bersama dengan Ummi Kalsum dua minggu yang lalu. Dia mendengar seperti ada orang memberi salam malam itu, lalu dengan langkah yang perlahan Aleeya pergi ke pintu rumahnya untuk mengetahui siapakah gerangan tetamu yang datang.

“Assalamualaikum, Leeya, Ow Leeya, abang ni,” Danish keresahan menunggu Aleeya yang lama hendak membuka pintu rumahnya, dengan suasana malam itu hujan turun dengan lebatnya membuatkan Aleeya kurang jelas mendengar suara orang memberi salam.

“Waalaikumsalam, abang. Alah, sorry bang tadi Leeya dalam bilik tak dengar, hujan pun lebat, eh abang basah ni, nanti kejap,” Aleeya kembali semula ke dalam bilik mereka untuk mengambil tuala. Rumah teres satu tingkat telah disewa oleh Danish dengan bayaran wang pendahuluan hasil simpanannya di dalam bank selama ini. Mujur sahaja sewa bulanannya tidak tinggi. Aleeya juga mengeluarkan sedikit simpanannya yang masih ada untuk menanggung kehidupan mereka sebelum Danish mendapat kerja tetap. Aleeya bersyukur kerana ibu dan ayah tirinya tidak membeku dan menyenarai hitam namanya, kalau tidak mesti semakin susah kehidupan mereka nanti.

Sewaktu keluar daripada rumahnya dahulu pun, Aleeya tidak membawa sekali barangan kemasnya yang dibeli oleh ibu dan ayah tirinya. Hanya duit simpanannya,barangan peribadi, dokumen penting dan pakaian sahaja dibawa keluar. Aleeya tahu dia tidak berhak terhadap barangan lain di dalam rumah itu.

Danish hanya memandang isterinya dengan senyuman dan menanti Aleeya membawa tuala kepadanya. Lalu Danish menghulurkan dua bungkus nasi yang ditapau oleh Danish semasa perjalanan hendak pulang ke rumahnya tadi. Dia tahu di rumahnya masih belum ada apa-apa lagi makanan untuk dimakan, dia tidak mahu kesihatan Aleeya terganggu kerana kekurangan makanan yang  berkhasiat untuk kandungannya itu.

“Alah abang ni, susah-susah aje, Leeya dah makan tadi, kan masih ada beras kita, abang tak payahlah membazir beli semua ni,” Aleeya mengekori langkah suaminya ke bilik mereka, namun tidak disambut apa-apa jawapan daripada Danish.

“Abang…”

Danish yang sedang membuka pakaian basahnya tidak jadi meneruskan langkahnya untuk ke bilik air lantas dia menghampiri isterinya dan bersuara. “Sayang, abang tak nak isteri abang kebulur, bukannya membazir pun, untuk isteri abang dan anak kita juga. Kalau berasnya saja masih ada, Leeya nak makan lauk apa? Abang tak nak isteri abang makan benda-benda yang tak elok untuk kesihatan. Sudah, jangan banyak songeh, nanti kalau dah ada rezeki lebih abang carilah kerja tetap, lebih menjamin masa depan kita dan anak kita. Dah, abang nak pergi mandi dulu, sayang sediakan makan malam kita tu, abang dah lapar dah ni,” Aleeya hanya mengangguk dan berlalu meninggalkan Danish untuk ke dapur. Aleeya akui apa yang Danish cakap memang betul, namun dia tidak mahu menambah beban kepada Danish. Danish telah banyak berkorban untuk dirinya, tetapi tengah hari tadi Aleeya hanya makan nasi berkuahkan air teh sahaja.

Walaupun Aleeya mengidam makan makanan yang sedap-sedap, namun tidak diluahnya keinginannya kepada Danish. Malam itu, mereka menjamu selera dengan enak sekali, Aleeya merasa bahagia dengan kehidupannya bersama dengan Danish sekarang, walaupun hidup dalam keadaan serba kekurangan tetapi dia tetap bersyukur kerana Danish tetap memegang janjinya untuk menjaga dan bertanggungjawab kepada Aleeya.

“Sayang, sedap tak ayam tu?” Aleeya yang sedang leka menjamah makanannya malam itu, hampir tersedak dengan pertanyaan Danish secara tiba-tiba. Baru dia merasakan betapa laparnya dia malam itu, seperti orang yang sudah lama tidak makan ayam setahun sahaja lagaknya.

“A’ah bang, sedap, abang pun makanlah banyak sikit,” Namun Danish masih khusyuk melihat isterinya makan dengan selera sekali, lantas dia mengambil ayam di dalam pinggannya lalu dipindahkan ke pinggan Aleeya. Aleeya tercenggang dengan tindakan mendadak suaminya itu, lalu berhenti menyuapkan makanan ke dalam mulutnya.

“Eh, itu ayam abang kenapa kasi kat Leeya pulak,” Aleeya hendak memberi kembali ayam tadi kepada suaminya, tetapi cepat-cepat ditolak oleh Danish.

“Abang tak makan lagi, dah kenyang. Sayang makanlah habis ayam tu, seronok abang tengok sayang makan, jadi kenyang pulak abang,” Aleeya hanya tersenyum lantas menerima sahaja pemberian daripada suaminya itu, dia berasa amat beruntung sekali kerana memiliki suami yang perihatin terhadap dirinya.

“Ye ke tak nak, kalau tak nak Leeya bedallah sorang-sorang. Orang cakap rezeki jangan tolak, musuh jangan dicari.” Danish hanya tersengih mendengar isterinya bercakap sebegitu, bahagia rasanya dapat memuaskan hati isterinya sendiri. Biarlah dia berlapar sekalipun, tidak sanggup rasanya dia melihat isterinya kelaparan.
“Hah, kenapa pulak tersengih-sengih ni. Perli Aleeyalah tu, tak naklah kawan abang lagi, mesti abang tengok badan Leeya dah gemukkan,” Aleeya sudah memuncungkan bibir mungilnya tanda protes tidak mahu menjamah makanannya lagi.

“Eh, ke situ pulak Leeya. Mana ada abang nak perli isteri abang yang comel dan montel ni. Cute lagi ada, abang sukalah tengok Leeya makan. Dah jangan nak mengada-ngada nak merajuk, makan habis semua nasi tu, karang perangai kuat merajuk Leeya tu turun pulak kat baby dalam perut tu,” Aleeya mencebikkan bibirnya pada Danish dan meneruskan pemakanannya yang tadi tergendala oleh usikkan suaminya.

“Betul?” Aleeya masih ingin menduga Danish, namun Danish masih mendiamkan dirinya. Aleeya memprotes dirinya dengan berhenti makan lagi, lalu cepat-cepat Danish memujuk isterinya itu.

“Ya, ya betul, eii isteri abang ni kuat sangat tau merajuk,” Aleeya berasa puas hati apabila suaminya beralah dan berhenti mengusiknya. Setelah selesai makan, Aleeya berasa kenyang sekali sehingga tidak mampu untuk berjalan keluar dapur, namun tanpa Aleeya sedari Danish sudah mengendong tubuh kecil molek isterinya untuk masuk ke bilik. Aleeya meronta-ronta minta dilepaskan, namun Danish masih berkeras ingin mengendongnya sehingga sampai ke bilik.

***

Usia kandungan Aleeya sudah genap lima bulan, keadaannya pun sudah semakin sarat kerana perutnya yang semakin memboyot membataskan lagi pergerakannya. Danish yang masih meneruskan kerjayanya sebagai ‘despatch’ itu kadang-kadang bimbang dengan keadaan mereka sekeluarga sekarang, membuatkan dirinya risau dengan pembelanjaan mereka sekeluarga nanti apabila Aleeya akan melahirkan anaknya kelak.

Walaupun Danish telah memperolehi keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan akhirnya empat bulan yang lalu tetapi bukan mudah untuk dia memperolehi perkerjaan kerana kemerosotan ekonomi yang melanda sekarang. Sudah acap kali Danish memohon pekerjaan di firma-firma yang mempunyai kaitan dengan bidangnya namun setiap kali dia pergi untuk temuduga pasti tidak akan diterima oleh pihak atasan kerana lebih banyak calon yang lebih layak daripadanya yang memegang jawatan sebagai arkitek di firma tersebut. Mereka kebanyakannya lulusan graduan-graduan dari luar negera pastilah Danish menjadi kerdil apabila berada di dalam golongan mereka. Danish juga pelik, kenapa susah sangat untuk dia mendapatkan pekerjaan, dari syarikat yang kecil sehingga ke besar begitu susah sekali dia diterima dimana-mana syarikat, tidak mungkin namanya sudah di senarai hitam. Danish buntu, namun masih meneruskan pekerjaannya demi menanggung kebajikan keluarganya.

Danish pasrah kerana dia yakin pasti rezeki akan ada jika Allah S.W.T mengizinkannya, sementara itu Danish juga mengambil upah mencuci kereta orang untuk menambahkan sedikit hasil pendapatan mereka. Aleeya hanya duduk di rumah kerana Aleeya tidak dibenarkan untuk pergi ke kerja dengan keadaannya yang tidak mengizinkan.

“Abang, Aleeya rasa bagus Leeya pergi cari kerja, kalau nak harapkan pendapatan abang aje berapa sangatlah yang kita dapat bang,” Aleeya meluahkan kehendaknya yang sudah lama dipendamnya. Danish yang hanya duduk membaca surat khabar hanya mendengar sahaja pendapat Aleeya itu.

“Leeya nak kerja apa dengan perut dah memboyot itu, abang tak nak sayang buat kerja berat-berat. Kalau apa-apa terjadi pada Aleeya nanti lagi susah, abang tak nak jadi benda yang tak elok kat Aleeya.” Danish tidak mahu Aleeya bersusah payah untuk turun bekerja, berhempas-pulas pula menolongnya mencari sesuap nasi, dia mahu keselamatan Aleeya terjamin dibawah jagaannya. Danish tidak mahu kedua orang tua Aleeya memandang rendah terhadap dirinya.

“Alah abang ni, bukan kerja berat-berat pun, jadi clerk ke, cikgu tadika ke. Aleeya pun ada kelulusan bang even setakat STPM aje, abang pun tahukan Aleeya pernah jadi cikgu sandaran kat sekolah rendah tu dulu, kan...” Danish memandang isterinya, terpancar kesungguhan diwajahnya, tetapi Danish tetap berkeras tidak membenarkan Aleeya bekerja. Aleeya hanya tunduk akur dengan kemahuan Danish, dia tidak tahu hendak bercakap apa lagi, sudah dipujuk namun tetap sahaja tidak diizinkan. Kalau sudah Danish cakap tidak, tidaklah maknanya.

Aleeya terus berlalu ke dalam kamar beradunya, Aleeya cuma ingin meringankan beban Danish yang ditanggungnya selama ini. Aleeya sedar Danish seboleh mungkin menyempurnakan semua keperluan dan kehendak Aleeya selama ini. Danish hanya memandang isterinya dengan anak matanya sahaja, terbit jua perasaan kasihan di dalam hatinya namun cepat-cepat ditepisnya.

Aleeya juga kini sudah terbiasa dengan hidup yang serba sederhana, tidak seperti hidup Aleeya suatu ketika dahulu, apa sahaja yang dia inginkan pasti akan dipenuhi oleh kedua orang tuanya. Kini hidupnya berbeza sekali, kerana leka dengan syurga dunia Aleeya mengabaikan orang yang menyayangi dirinya selama ini. Tetapi kerana cintanya kepada suami tersayang, Aleeya telan segala pahit manis di dalam mengharungi ranjau kehidupan di kala kesusahan dan kepayahan.

“Ayah maafkan Leeya. Leeya tahu sekarang ayah, betapa susahnya hidup tanpa wang dan kasih sayang kedua orang tua, Leeya redha dengan ketentuan hidup Leeya dan Leeya harap mama sihat sentiasa.” Bergenang air mata Aleeya di saat teringat kembali sewaktu dia menelefon ibunya sebulan yang lalu untuk bertanya khabar dan berita, namun hampa kerana Datin Farhana tidak mahu menjawab panggilan daripadanya.

Aleeya merasakan dirinya begitu hina sekali, tetapi Aleeya tahu alasan yang Datuk Othman berikan adalah rekaan semata-mata, bukan Datin Farhana sedang tidur tetapi ibunya memang tidak mahu bercakap dan mendengar suaranya lagi. Betapa kesalnya Aleeya kerana sudah menghancurkan harapan mama dan ayah tirinya sehingga hati mamanya telah tertutup untuk memaafkan dirinya.
Sudah acap kali Aleeya menelefon Datin Farhana tetapi hanya alasan yang sama diterima oleh Aleeya dari Mak Som dan Datuk Othman.

“Puan Aleeya, Datin tidak mahu bercakap dengan Puan Aleeya, dia suruh saya sampaikan pesanan  ini kepada Puan yang Datin tidak mahu Puan menelefon disini lagi,” Aleeya sudah menangis teresak-esak mendengar amanat dari Datin Farhana sampaikan untuknya melalui Mak Som. Tidak tertahan rasa hatinya kerana Datin Farhana telah membuang dirinya jauh-jauh dari hidupnya.

“Baiklah Mak Som, kalau itu yang mama mahu saya terima, tapi Mak Som saya nak Mak Som buat sesuatu untuk saya. Boleh tak Mak Som bagitahu setiap perkembangan kesihatan mama kepada saya, Mak Som masih simpankan nombor telefon yang saya kasi dekat Mak Som hari itu?” Aleeya masih menanti jawapan daripada pembantu rumahnya yang sudah lama berhemat dengan keluarganya. Walaupun usianya sudah semakin uzur, kerana keinginannya yang masih mahu meneruskan pekerjaannya sebagai pembantu rumah dirumah itu di panjangkan lagi khidmatnya.

Setelah sebulan Aleeya meninggalkan rumah itu tempoh lalu, Aleeya mengetahui yang ayah tirinya sudah mengupah seorang ‘nurse’ untuk menjaga Datin Farhana, bagi mengurangkan beban Mak Som yang sudah tua. Dengan keadaan Datin Farhana yang sudah semakin teruk dari hari ke hari membuatkan hati Aleeya tidak tenteram.

“Ow, saya masih simpan Puan Aleeya, saya akan memberitahu segala perkembangan Datin kepada Puan. Insya-ALLAH.” Aleeya kemudian meletakkan ganggang telefon dan berasa lega setelah mendengar persetujuan Mak Som.

***

Sudah lama Aleeya tidak menziarahi pusara arwah ayah kandungnya, Datuk Razzak Ishak. Sebaik sahaja Aleeya melangkah keluar dari rumah banglo milik keluarganya, Aleeya bersama dengan Danish telah menziarahi pusara ayahnya. Terasa begitu kesal dan rasa bersalah begitu mencengkam di pangkal hatinya. Tidak terucap dengan kata-kata saat pusara ayah kandungnya berada di depan mata. Masih terbayang Aleeya saat itu, walaupun penglihatannya kabur kerana air mata yang masih degil ingin mengalir keluar namun nama ayahnya yang tertera dibatu nisan itu sangat menyentap hati kecilnya.

Berasa begitu banyak dosa dan kesalahan yang dilakukannya selama ini, dia begitu leka dengan syurga dunia yang tidak menjanjikan bahagia yang kekal dan abadi. Kini Aleeya sudah sedar, tersedar dari lamunannya yang panjang dan tidurnya yang lena. Begitu tingginya nilai kasih dan sayang dari ibu dan ayah tirinya taburkan untuknya selama ini namun hanya dipandang remeh sahaja olehnya sebelum ini. Semua nasihat dan teguran Ummi Kalsum kepadanya suatu ketika dahulu masih terpahat di kotak fikirannya. Kalaulah saat itu aku dengar cakap Ummi, mesti semua ini takkan terjadi. Mungkin sekarang aku gembira dan bahagia bersama keluarga aku. Namun Aleeya masih ingat pada qada dan qadar hidupnya. Dia tidak mahu mempersoalkan takdir yang Allah telah tentukan padanya. Aleeya akur dengan apa yang telah tertulis untuknya di Luh Mahfuz.

“Papa maafkan Leeya, pa.” Hanya itu yang dapat diucapkannya ketika itu, tidak guna lagi menyesal dengan apa yang sudah terjadi. Masakkan bubur boleh menjadi nasi semula, jauh sekali apa yang berlaku ini mimpi ngeri baginya, namun itulah yang Aleeya harapkan. Hanya mimpi ngeri.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
:: Untuk apa meraih kecintaan manusia andai diri dimurkai Sang Pencipta. Berilmu bukan bererti menunjukkan kepandaian tetapi hanyalah utk diamalkan. Tiada berguna memperoleh sanjungan disisi ramai andai diri hina disisi Tuhan. Aku hanyalah seorang hamba hina yg sering diselubungi dosa-dosa. Hanya mampu merayu dan mengharap agar diri ini kembali bersih sebelum pergi mengadap Illahi::




Red Butterfly