Friday, April 20, 2012

Mencari Penawar Qaseh 7






BAB 7

Setelah hampir dua minggu Aleeya berada disamping keluarganya di rumah, Aleeya telah berubah sikap dan perilakunya. Tidak ada lagi gelak ketawanya yang memecah kesunyian rumah banglo milik orang tuanya. Aleeya akur atas kehendak Danish, seminggu yang lalu mereka telah berbincang mengenai perihal keterlanjuran mereka. Namun respon yang diberi oleh Danish tidak dapat diterima oleh Aleeya, dia bimbang Danish beralih arah kerana hubungannya bersama dengan Danish sudah tidak mesra seperti dahulu.

Namun Aleeya tetap meneruskan kehidupannya seperti biasa, masih menyembunyikan hubungannya daripada pengetahuan kedua orang tuanya. Danish meminta Aleeya sedikit masa untuk dia membuat persediaan sebelum bertemu dengan Datin Farhana dan Datuk Othman kerana dia masih menunggu keputusan peperiksaan akhir mereka keluar dan memohon untuk mencari pekerjaan. Tetapi hari berganti hari, bulan berganti bulan, Aleeya berasa tidak sedap hati kerana merasakan dirinya kini sedang berbadan dua. Sudah hampir dua bulan dia tidak didatangi haid, dia bimbang dengan kelewatan itu.
Lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini, Aleeya kerap kali mengidam untuk makan makanan yang masam-masam dan berat badannya juga sudah semakin naik mendadak. Aleeya juga telah memberitahu kepada Ummi Kalsum mengenai hal itu, lalu Ummi Kalsum mencadangkan Aleeya supaya berjumpa sahaja terus dengan doktor untuk membuat pengesahan. Namun Aleeya bimbang, diketahui oleh ibunya mengenai kepergiaan dirinya untuk berjumpa dengan Doktor Lisa, kerana Doktor Lisa merupakan teman rapat kepada ibunya memerangkap doktor keluarga mereka.

 “Aleeya, Leeya, kenapa ni sayang, mama tengok sejak Aleeya balik dari Johor hari itu Aleeya selalu terperap dekat dalam bilik ini aje. Mama risaulah tengok anak mama macam ini, kalau Aleeya ada apa-apa masalah Aleeya beritahu aje dekat mama. Mungkin mama boleh tolong,” Datin Farhana merapati anaknya yang sedang duduk di dalam sebuah bilik bacaan di sudut atas rumah banglo tiga tingkat milik Datin Farhana.

“Hah, tak ma, Aleeya okey aje tak ada apa-apa masalah. Eh, bila mama masuk, Aleeya tak perasan tadi,” Aleeya kaget apabila secara tiba-tiba tidak menyedari kehadiran ibunya di dalam bilik itu.

“Hah, itulah mengelamun aje kerjanya. Mama tengok dari tadi tak ada pulak Aleeya baca novel yang Aleeya pegang tu, Aleeya teringatkan boyfriend ke ni?” Rona Muka Aleeya berubah menjadi merah padam apabila ibunya dapat mengesyaki apa yang ada dikotak fikirannya sejak tadi, Aleeya akui yang dia telah mengelamun jauh sedangkan novel yang dipegang ditangannya pun hanya dipandang kosong sahaja. 

“Tak ma, mana ada, tapi ma, Aleeya..Leeya nak..” Belum sempat Aleeya menghabiskan ayatnya yang terakhir, mereka disedari dengan bunyi ketukan di pintu bilik bacaan itu. Tuk..Tuk..Tuk..

“Maaf Datin, Cik Aleeya menganggu. Ini ada tetamu yang datang, katanya ingin bertemu dengan Cik Aleeya,” Mak Som selaku pembantu rumah dirumahnya memaklumkan kehadiran Ummi Kalsum petang itu. Aleeya dan Datin Farhana hanya mengangguk tanda faham. Mereka melihat kepergian Mak Som semula ke bawah dari pintu bilik bacaan yang memang dibiar terkuak sedikit.

“Mama, maybe Ummi yang datang, tadi dia ada mesej Aleeya nak datang KL, nantilah kita sambung berbual ya,” Aleeya terus berlari-lari anak menuruni anak tangga untuk mendapatkan Ummi Kalsum. Datin Farhana hanya memandang kepergian anak gadisnya dengan anak matanya sahaja, Datin Farhana bimbang dengan keadaan Aleeya yang sejak akhir-akhir ini seperti merahsiakan sesuatu daripadanya. Namun dibuangnya jauh-jauh prasangka buruk itu.

“Ummi! miss u! jom masuk,” Aleeya memeluk kawan rapatnya dan mempelawa Ummi Kalsum untuk masuk ke rumahnya dan mereka bersama-sama naik ke tingkat atas untuk ke bilik Aleeya. Kerana banyak hal yang mereka perlu bincangkan, dikhuatiri perbualan mereka akan didengari oleh Datin Farhana atau Mak Som jika mereka berbual di ruang tamu.

“Kau apa khabar? Sihat? Makin chubby aku tengok, ada apa-apa ke?” Aleeya terkejut dengan tuduhan yang keluar daripada mulut Ummi Kalsum lalu dipukulnya paha Ummi Kalsum yang sedang duduk disebelahnya di birai katil milik Aleeya.

“Ish kau ni mulut, tak ada insurans tau! Itulah pasal, aku sejak balik dari cuti hari tu kuat makan, entahlah Ummi, aku bimbanglah, Danish pun tak kasi aku cakap kat mama aku pasal kami dah terlanjur, dia cakap biar kedudukan dia dah stabil sikit, and dapat kerja. Kau tahulah mama aku tu, dia tak kan suruh aku kawan dengan lelaki sembarangan,” Ummi Kalsum hanya mendengar luahan masalah Aleeya, dia juga kasihan melihat situasi Aleeya sekarang. Dari pandangan Ummi Kalsum, Aleeya ini cantik orangnya dan bersopan santun tetapi hidupnya musnah sekelip mata kerana cintanya pada Danish, padahal semua orang tahu Aleeya mampu memiliki lelaki yang lebih baik dan kaya raya dari Danish.

“Itulah Leeya, aku pun risau tengok kau macam ni tau, aku suruh pergi klinik kau tak nak., sekurang-kurangnya kau tak lah tertanya-tanya macam ini,” Aleeya hanya tertunduk ke lantai biliknya, dia tahu dia perlu juga menghadapi semua ini, dia perlu memberitahu hal yang sebenarnya kepada ibu dan bapa tirinya sebelum semuanya terlambat tetapi Aleeya tidak mempunyai kekuatan lebih-lebih lagi dia tidak mendapat apa-apa sokongan atau dorongan daripada Danish.

“Ummi, aku nak berterima kasih sangat kat kau sebab selama ini kau aje yang ada disamping aku selama aku susah dan senang. And, yang penting sampai sekarang rahsia aku dengan Danish pun kau tak bagitau siapa-siapa, thanks Ummi.” Ummi Kalsum hanya mengangguk seraya tersenyum memandang wajah Aleeya.

“Eh, lupa. Kau dah makan ke Ummi? Sorrylah, menyusahkan kau aje datang rumah aku. Sanggup kau datang ke KL dari Penang semata-mata untuk menemani aku, aku hargai sangat pengorbanan kau Ummi.” Ummi Kalsum hanya mempamerkan senyumannya pada Aleeya, dia tahu saat ini dan ketika ini Aleeya amat memerlukan teman disisi untuk sama-sama berada disampingnya.

“Aku dah makan tadi kat rumah pak cik aku, kau jangan risaulah. Lagipun, memang aku nak g KL jumpa saudara-mara aku. Lama jugak tak jumpa dia orang,”Aleeya perasan akan perlakuan Ummi Kalsum yang sedari tadi seperti mencari sesuatu di dalam beg tangannya.
“Ummi kau cari apa dari tadi aku tengok, eh, Dina apa cerita? Lama dah aku tak dengar pasal dia, sejak kita cuti hari itu aku peliklah dengan perangai dia,” Ummi Kalsum hanya mengangkat kedua-dua bahunya tanda tidak tahu apa-apa mengenai Dina.
“Hah! Dah jumpa, nah! Pregnancy kit, kau tak nak pergi klinikkan, ni kau cubalah try check kot-kot dapat bagi petunjuk,” Aleeya terkejut apabila Ummi Kalsum tiba-tiba menghulurkan alat ujian kit kehamilan ke arahnya, Aleeya hanya memandang tanpa berkelip matanya.

Jantungnya dirasakan semakin berdebar kencang seperti ada musibah yang akan terjadi kepadanya selepas ini, dengan adanya kit kehamilan ini, dia akan mengetahui adakah dia mengandung ataupun tidak, dengan tangan yang terketar-ketar Aleeya menyambut huluran yang diberi oleh Ummi Kalsum.

“Ummi, aku takutlah, kalau aku pregnant macam mana?”

Wajah Aleeya sudah berubah kelat dan seperti orang ingin menangis, Ummi Kalsum mengenggam tangan Aleeya lalu berkata, “Aleeya, percayalah, kau mesti buat semua ini, inilah penentu segalanya dan kemana arah hidup kau selepas ini, kau mesti kuat. Dah, pergilah toilet sekarang, nanti kita tengok hasil keputusannya sama-sama. Macam mana, okey?” Aleeya hanya memandang seraut wajah Ummi Kalsum yang jernih dan suci dari noda, Aleeya hanya menganggukkan kepalanya seraya memberi senyuman kepada Ummi Kalsum.

Aleeya berlalu ke bilik air di dalam kamar beradunya, lalu melihat dirinya di dalam cermin di dalam bilik air itu. Dia tidak sanggup menerima jika dia disahkan mengandung, lalu cepat-cepat Aleeya membuat segala langkah-langkah yang tertera pada kertas kulit yang membaluti kit kehamilan itu. Aleeya tidak pernah menggunakan alat-alat seperti itu sebelum ini, dengan lafaz ‘Bismillah” Aleeya membuka matanya dan melihat hasil daripada ujian itu.

Hampir tersungkur jatuh Aleeya apabila melihat hasil keputusan yang tertera adalah positif, Aleeya sempat berpaut pada singki untuk mengelak dirinya jatuh ke lantai, Aleeya melihat untuk kali kedua keputusan yang tertera pada alat pengesanan kandungan itu, didapatinya mempunyai dua garisan berwarna merah yang menunjukkan dia sah mengandung. Ummi Kalsum yang juga resah menanti di luar bilik air Aleeya bimbang dengan kelamaan Aleeya yang berada di dalam bilik air.

Tuk..Tuk..Tuk.. “Aleeya, Leeya, sudah ke?”

Lalu Ummi Kalsum mengetuk pintu bilik air Aleeya untuk memastikan keadaan Aleeya, namun tidak ada respon daripada Aleeya lantas Ummi Kalsum memulas tombol pintu bilik air itu. Ummi Kalsum amat terkejut melihat keadaan Aleeya yang sudah terduduk menangis di dalam bilik air itu, lalu dirapatinya Aleeya lantas mengambil kit kehamilan itu dari genggaman Aleeya dan melihat hasil keputusannya.

“Aleeya, sabar Leeya, please jangan macam ni, aku tahu kau kecewa, tapi kau perlu ingat ini baru pregnancy test aje, kalau kau nak hasil yang lebih sah dan sahih lagi, better kita pergi jumpa doktor,” Ummi Kalsum sudah memeluk bahu teman karibnya ke dalam pelukannya, Ummi Kalsum berharap dengan ini dia dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh Aleeya.

“Buat apa Ummi, tak guna aku jumpa doktor lagi. Memang aku dah pregnant sekarang, aku tahu Ummi, masa depan aku dah gelap, aku tak tahu nak bagitau macam mana kat mama aku, tolong aku Ummi, Ummi…” Aleeya sudah menangis teresak-esak di dalam pelukan Ummi Kalsum, Mak Som yang tadi ingin menghantar minuman ke dalam bilik Aleeya untuk dihidangkan kepada tetamu juga turut terkejut apabila melihat Aleeya menangis teresak-esak di dalam bilik air. Lantas Mak Som terus berlari-lari anak keluar daripada bilik itu untuk mendapatkan Datin Farhana.

Aleeya dan Ummi Kalsum yang sedari tadi asyik leka melayan perasaan sendiri, tidak menyedari kehadiran Mak Som di dalam bilik mereka. Datin Farhana yang berada di luar halaman rumah menyambut kepulangan suaminya, Datuk Othman dari pejabat hairan melihat Mak Som terkocoh-kocoh berlari mendapatkan dirinya.

“Datin, Datuk, Cik Aleeya, dia..dia..” Datin Farhana yang sudah tidak sabar menanti apa yang ingin diperkatakan oleh Mak Som lalu terus meninggalkan mereka untuk mendapatkan Aleeya. Dengan sepantas kilat Datin Farhana berlari-lari anak ke arah kamar beradu milik Aleeya yang terletak di tingkat dua rumah banglo mereka, Datuk Othman yang juga kaget melihat isterinya yang sudah tidak tentu arah turut mengikuti langkah Datin Farhana dari belakang untuk ke kamar Aleeya, dikhuatirinya Aleeya ditimpa apa-apa kecelakaan.

Mak Som hanya memandang mereka dengan pandangan yang kosong, lalu dia segera mengambil beg bimbit pejabat kepunyaan Datuk Othman keluar daripada kereta BMW 3 Series beliau, lalu dibawa ke dalam rumah. Dia pasti Aleeya sekarang sedang menghadapi masalah, lantas Mak Som berlalu ke dapur untuk menyediakan makan malam untuk mereka sekeluarga.

“Aleeya! Leeya!..” Datin Farhana sudah menolak pintu bilik Aleeya sekuat hatinya, apabila didapatinya Aleeya dan Ummi Kalsum sedang duduk di birai katil sambil menangis lalu dihampirinya. Aleeya dan Ummi Kalsum yang kaget dengan kehadiran ibunya tadi tiba-tiba menjadi menggelabah, tanpa mereka sedari kit kehamilan yang dipegang oleh Aleeya terlepas daripada genggamannya lalu jatuh betul-betul dihadapan ibunya, Datin Farhana.

Datuk Othman yang baru tiba juga hairan melihat situasi di dalam kamar Aleeya, didapatinya mereka mempunyai tetamu juga waktu itu, lalu Datuk Othman merapati isterinya yang sedang menundukkan badannya seperti hendak mengambil sesuatu di lantai. Dengan linangan air mata yang merembes keluar laju dari tubir mata Datin Farhana, Datuk Othman melihat juga apa yang dipegang oleh isterinya sedari tadi.

“Mama..ayah…” Aleeya sudah menangis sambil dirinya sudah tersungkur jatuh ke lantai, Aleeya dapat melihat kekecewaan di wajah ibu dan ayah tirinya. Dapat dia rasakan kini, dirinya amat hina dan jijik sekali dimata kedua orang tuanya, dia tidak menyangka perkara ini akan berlaku sepantas ini. Ummi Kalsum hanya duduk mendiamkan diri sahaja dibirai katil, dia memberi peluang kepada Aleeya untuk menerangkan perkara sebenar kepada kedua orang tua mereka.

“Aleeya! Apa ini?” Datuk Othman sudah berubah rona merah mukanya menahan marah, dilihatnya isterinya sudah melangkah longlai untuk keluar daripada kamar milik Aleeya. Namun sifat panas baran yang sememangnya dimiliki oleh Datuk Othman sangat mencabar kelakiannya, dia kecewa melihat anak tiri kesayangannya yang sememang sudah dianggapnya seperti anak sendiri sudah menconteng arang ke muka mereka.

Datuk Othman bertambah marah apabila melihat isterinya sudah seperti orang hilang pertimbangan, tidak mampu mengucap apa-apa kata lagi. Dia tidak menyangka anak yang ditatangnya seperti minyak yang penuh telah mensia-siakan dunia remajanya. Hati ibu mana yang tidak terkilan melihat masa hadapan anak perempuan mereka yang hanya baru berusia tidak sampai setahun jagung sudah mengandung anak luar nikah.

“Aleeya dah pandai buat hal ya sekarang, tak malu ke buat ayah dan mama macam ni, tak kasihan ke tengok mama tu, kau ni memang anak yang tak sedar dek untung!” Datuk Othman sudah menaikkan tangannya untuk menampar muka Aleeya yang sudah melutut merayu dikakinya. Tetapi cepat-cepat dihalang oleh Datin Farhana yang sudah berpaling untuk keluar daripada kamar itu.

“Abang! Sudahlah, tak guna jika kita nak marah lagi. Benda dah jadi bang, biarlah Aleeya buat keputusan dia sendiri, dia dah membelakangkan kita bang…” Datin Farhana sudah terhenjut-henjut bahunya menahan tangis lantas berlalu ke kamarnya. Datuk Othman hanya memandang sinis ke wajah anak tirinya dan memandang ke arah Ummi Kalsum yang sudah tertunduk memandang lantai.

“Awak, kawan Aleeya kan. Mari ikut uncle sekejap,” Ummi Kalsum yang tiba-tiba disergah begitu terkejut mendengar arahan yang keluar daripada mulut ayah tiri Aleeya, sememangnya Ummi Kalsum sudah ingin berlari keluar daripada rumah itu. Tidak sanggup rasanya dia melihat keadaan Aleeya sebegitu rupa, begitu sakitnya dan peritnya hanya Aleeya yang tahu. Lantas Ummi Kalsum mengekori langkah kaki Datuk Othman untuk ke ruang tamu rumahnya, Aleeya yang masih terduduk lesu hanya memandang dengan tangisan yang tidak henti-henti.

“Som, kau panggilkan Datin turun sekali, aku nak bincang sikit,” Mak Som yang baru sahaja menghidangkan air tadi, terus mengangguk dan cepat-cepat pergi memanggil Datin Farhana. Ummi Kalsum yang sedang duduk berhadapan dengan Datuk Othman hanya tertunduk membisu sambil menunggu kehadiran Datin Farhana. Datuk Othman sudah menyoal selidik mengenai asal usul Ummi Kalsum sambil menunggu ketibaan isterinya.
Waktu itu Ummi Kalsum seperti berasa sedang disoal siasat oleh seorang pegawai polis atas jenayah besar yang dilakukannya. Tetapi Ummi Kalsum tetap berlagak tenang dan menjawab sejujurnya soalan yang bertubi-tubi dari Datuk Othman. Terserlah sifat kebapaan dalam jiwa Datuk Othman waktu itu, Ummi Kalsum mengangumi ayah tiri Aleeya yang tidak lepas tangan dalam hal yang telah berlaku kepada Aleeya, walaupun dia hanya seorang ayah tiri, tetapi tanggungjawab yang dipikulnya tetap sama sebagai seorang ayah.

Sedang mereka berbual-bual mengenai perihal Aleeya, Datuk Othman dan Ummi Kalsum masing-masing terdiam apabila menyedari kehadiran Datin Farhana yang datang dengan wajah yang kusut dan mata yang lebam kerana sudah banyak menangis. Datuk Othman merapati isterinya lalu menenangkan isterinya sebelum mendengar apa-apa penjelasan daripada Ummi Kalsum, memandangkan Ummi Kalsum orang yang paling dekat dengan Aleeya, mereka ingin tahu sedekit sebanyak mengenai kejadian yang telah menimpa Aleeya itu. Dikhuatiri Aleeya mereka-reka cerita jika ditanya itu dan ini, dengan keadaan Aleeya yang sedang berbadan dua bermacam-macam perkara yang boleh terjadi.
Lalu dengan apa yang telah diceritakan oleh Aleeya suatu ketika dahulu kepada dirinya, Ummi Kalsum menceritakan semula kepada orang tua Aleeya, Datuk Othman dan Datin Farhana. Dimana dan bagaimana Aleeya boleh mengenali Danish, dan seterusnya bercinta dan terjebak dalam kancah penzinaan. Dari A hingga ke Z tidak ada satu pun yang tertinggal diceritakan oleh Ummi Kalsum, dia tidak mahu menyembunyikan apa-apa daripada kedua orang tua Aleeya, biarlah semua ini akan beransur pulih dan cepat-cepat selesai supaya Aleeya masih dapat meneruskan pengajiannya dan mencapai cita-citanya.

Datuk Othman dan Datin Farhana yang sedari tadi tekun mendengar cerita yang dikhabarkan oleh Ummi Kalsum amat kesal dengan tindakan yang diambil oleh Aleeya. Mereka tidak menyangka sebegitu banyak rahsia yang telah Aleeya simpan daripada pengetahuan mereka, Datuk Othman juga berasa bersalah atas kelalaiannya dalam menjaga Aleeya selama ini dan Datin Farhana pula sedari tadi tidak pernah lekang dengan air mata.

“Itulah dia Uncle, Auntie, apa yang saya tahu daripada Aleeya,” Datuk Othman sudah berdiri menghadap tingkap rumahnya melihat malam yang kelam seperti memahami keadaan mereka sekeluarga saat itu.

“Baiklah Ummi, terima kasih kerana menceritakan kepada kami. Sudah, kamu boleh balik, hari sudah beransur malam, kalau ada apa-apa hal kami bagitahu kamu,”

Ummi Kalsum sudah meminta diri untuk pulang lalu menyalami tangan Datuk Othman dan Datin Farhana dengan sopan, Ummi Kalsum melihat Aleeya yang sedang berdiri di tangga rumahnya hanya melemparkan senyumannya kepada Aleeya. Lantas Ummi Kalsum melangkah pergi meninggalkan Aleeya, dia perlu berhadapan dengan orang tuanya demi masa hadapannya. Semoga kau dapatkan selesaikan masalah kau dengan segera Aleeya, dan buatlah keputusan yang betul demi masa hadapan kau. Desis Ummi Kalsum di dalam hatinya. Langkah kaki Ummi Kalsum semakin hilang dipandangan Aleeya, beratnya dia rasakan kala ini tanpa kehadiran Ummi Kalsum disisi.

“Hah! Aleeya, mari turun sini. Ayah dan mama nak cakap,” Aleeya yang sudah terduduk di tangga rumahnya hanya menuruti arahan ayah tirinya, lalu duduk ditempat dimana Ummi Kalsum duduk sebentar tadi. Tidak pernah dia melihat ayah tirinya marah begitu, Datin Farhana pula tidak memandang sedikit pun ke wajah sendu Aleeya. Aleeya juga sudah memaklumkan perkara ini kepada Danish, Danish yang terkejut dengan perkhabaran itu terus mematikan talian dan pergi mendapatkan Aleeya dengan segera.

“Ayah, mama..Aleeya nak minta maaf..” Aleeya yang sudah menundukkan wajahnya daripada dilihat oleh kedua orang tuanya hanya mampu meminta maaf atas apa yang telah terjadi. Datin Farhana yang sudah berubah watak menjadi begitu tegas dan amat marah menyampah mendengar kata maaf yang keluar dari mulut anak perempuan kesayangannya itu.

“Huh! Tak perlu kau nak minta maaf kat mama dan ayah lagi Leeya, tergamak kamu buat kami macam ini, mana maruah kau waktu itu, dah tak ingat dengan orang tua kau yang selama ini membesarkan kau dengan penuh kasih sayang, tapi apa yang kau balas Leeya. Apa?! Inikah balasan atas segala pengorbanan kami selama ini! Siapa Leeya lelaki yang tak bertanggungjawab tu, siapa!” Suhu kemarahan Datin Farhana sudah mencapai takat didihnya, dek terlalu kaget mendengar ibunya meninggikan suara kepadanya, Aleeya tidak dapat menahan gelojak dihatinya, matanya mula berkaca-kaca menahan empangan air matanya daripada terus gugur.

“Ana, bersabar, tak baik cakap macam tu kat Leeya,” Aleeya memandang ayah tirinya yang sedang berdiri di hadapannya sambil meletakkan kedua-dua tangannya ke belakang. Datuk Othman memandang wajah sendu Aleeya, terdengar esakan kecil keluar daripada suara Aleeya, timbul perasaan kasihan di naluri kebapaannya. Datuk Othman hairan melihat perubahan mendadak isterinya, mungkin kerana terlalu tertekan dengan apa yang telah menimpa anak kesayangannya. Aleeya juga begitu, disangkanya ayah tirinya akan mengamuk sakan, dan ibunya pula hanya bersikap tenang tetapi sebaliknya pula berlaku.

“Sudahlah bang, tak guna kita simpan anak macam ni, ini yang dia balas kat kita atas apa yang kita dah beri pada dia selama ini…” Aleeya terkejut mendengar kata-kata keramat yang keluar daripada mulut ibu kandungnya sendiri, dia berasa amat kerdil sahaja waktu itu.

“Mama! Jangan cakap macam tu mama, kesianlah kat Leeya, Leeya tahu Leeya salah, please mama, maafkan Leeya…” Aleeya sudah tidak tertahan menahan tangisnya lalu dia tertunduk sujud dikaki ibunya untuk meminta maaf, namun tidak timbul sekelumit jua rasa kasihan atau simpatinya pada Aleeya, kini hatinya sudah sekeras-kerasnya seperti kerikil, mungkin lebih keras dari itu. Kecewa rasa hatinya melihat anak kesayangannya telah membelakangkannya selama ini. Tidak menyangka ini kesudahan hidup Nur Qaseh Aleeya, yang menjadi amanah oleh arwah suaminya Datuk Razzak Ishak. Ana minta maaf bang, Ana tak dapat jalankan amanah abang dengan baik. Luah Datin Farhana di dalam hati, mengalir deras air matanya saat terkenang kembali arwah suaminya.

Aleeya tahu disudut terdalam hati ibunya sangat menyayangi dirinya, tetapi oleh kerana perasaan kecewa dan marah itu sudah menguasai hati ibunya tidak ada lagi ucapan sayang dan kasih yang keluar lagi.

“Mama…Ayah…” Datin Farhana memandang ke arah lain, tidak sanggup rasanya dia memandang wajah anak kesayangannya itu, jika diikutkan hati mahu sahaja saat itu dia mengucup dahi anaknya dan memeluk anaknya ke dalam dakapannya. Tetapi oleh kerana Datin Farhana sudah membina benteng keegoaan yang tinggi sudah menghalang dia daripada berbuat begitu, Aleeya memandang ayah tirinya untuk meminta simpati. Namun Datuk Othman hanya mengelengkan kepala dan menoleh ke tempat lain pula.

Aleeya sedar dirinya tidak diperlukan lagi, dia tahu ibu dan ayah tirinya malu mempunyai anak sepertinya, lalu tanpa mereka semua sedari Danish tiba-tiba muncul dihadapan pintu rumah mereka yang sememangnya terbuka luas sedari tadi.

 “Aleeya!” Aleeya terus memandang ke arah orang yang memanggil namanya, namun lidahnya kelu untuk mengeluarkan sepatah kata waktu itu. Dia merasakan kini dia tidak lagi mampu berdiri untuk mendapatkan Danish, lalu Datin Farhana yang perasan akan kehadiran seorang lelaki dirumahnya yang secara tiba-tiba menjadi naik hantu.
“Ow, inilah lelaki itu Aleeya! Kau siapa? Anak siapa? Ayah kau siapa? Kerja apa?” Danish yang sudah kegelisahan berdiri dipintu rumah mereka dengan soalan yang bertubi-tubi itu berasa gerun apabila melihat wajah ibu Aleeya seperti singa betina. Datuk Othman yang melihat Danish yang masih keliru itu, dipelawanya masuk dan duduk dengan nada suara yang perlahan.

Danish turut membawa Aleeya duduk bersamanya di atas kerusi, Aleeya hanya mengikuti tanpa berkata apa-apa. Danish menarik nafasnya sedalam-dalamnya sebelum memulakan mukadimahnya, dilihatnya Datin Farhana sudah berpaling ke arah lain.
“Datuk, Datin, saya…saya.. Danish Haikal, teman lelaki Aleeya. Sayalah lelaki yang perlu bertanggungjawab atas kandungan Aleeya.. Datuk dan Datin janganlah salahkan Aleeya, tetapi sebaliknya saya yang bersalah, saya yang…” Belum pun habis Danish berkata-kata, Datuk Othman sudah memotong ayatnya.

“Yang apa? Sekarang sukalah kau dah buat anak kami macam ini, kau tahu tak Aleeya tu masih muda dan masih belajar! Sekarang dia dah mengandung apa kamu dua nak buat? Huh!” Datuk Othman sudah duduk dihadapan mereka sambil menanti jawapan yang keluar dari mulut Danish, sambil diperhatinya lelaki itu dari atas hingga ke bawah.

“Kau memang tak gunalah, kau rosakkan anak aku, lepas tu kau nak main lepas tangan saja!” Datin Farhana pula menyambung amarah suaminya, dilihatnya Aleeya masih mendiamkan diri sahaja sedari tadi. Terkelu lidah membuta bicara Aleeya apabila ibu dan ayah tirinya menuduh yang bukan-bukan mengenai Danish, bagi Aleeya Danish bukan lelaki seperti itu.

“Maafkan kesalahan kami Datuk, Datin. Kami tahu kami dah buat silap, saya akan menjaga Aleeya dan..saya akan bertanggungjawab atas apa yang berlaku kepada Aleeya, saya memang sudah merancang untuk menikahi Aleeya secepat mungkin apabila sudah mendapat kerja tetap nanti, memandangkan kini saya sudah menghabiskan semester akhir saya di Universiti, saya sedang mencari pekerjaan dengan secepat mungkin agar dapat menampung kehidupan kami nanti. Saya harap Datuk dan Datin dapat terima cadangan saya dan dapat bersabar,” Danish menerangkan perkara yang sebenar, apa yang telah mereka rancangkan sebelum ini terpulang dengan ibu dan ayah tiri Aleeya untuk menerimanya atau tidak.

“Huh! Sabar konon! Kau ingat aku boleh bersabar, nak tunggu apa result exam keluar baru nak kerja, nak kahwin! Huh! Sampai dah memboyot perut anak aku tu baru kau orang berdua nak nikah! Bagus sangatlah itu, aku tak kira, kamu berdua mesti bernikah juga dalam masa terdekat ini, dan Aleeya, kamu boleh keluar dari rumah ini! Kamu pergilah ikut suami kamu, tak payah nak duduk dengan mama dan ayah sini lagi, tak sanggup, sanggup…” Suara Datin Farhana semakin mengendur dan air matanya sudah merembes keluar apabila terkenangkan di mana Aleeya akan pergi meninggalkan dirinya, dia tidak mahu Aleeya bersenang-lenang lagi dengan semua kekayaan yang mereka miliki. Kalau bukan kerana ini, pasti Aleeya tidak akan terpesong jauh dan lalai dalam mencaturi hidupnya. Biarlah Aleeya keluar pergi dari rumah besar ini, berdikari sendiri bagaimana susahnya mempunyai keluarga dan kehidupan sendiri tanpa ayah dan ibu.

“Ana, kenapa sampai nak dihalau budak-budak tu, jangan buat keputusan terburu-buru, jangan diikut sangat perasaan marah awak tu,” Aleeya sudah menangis teresak-esak disamping Danish apabila mendengar ibunya sendiri menghalau dia keluar dari rumah itu, Aleeya pasrah jika itu kemahuan ibunya. Mungkin ibunya tidak mahu menanggung malu dengan apa yang telah menimpa dirinya. Aleeya akur pada ketentuan takdir hidupnya, Danish juga sudah tertunduk membisu.

“Sudahlah bang, saya dah tak larat nak berdepan dengan semua ini. Abang nak senang-senang kasi lelaki itu rasa semua kesenangan kita ini macam tu aje. Tak usahlah bang! Biar mereka rasa hidup diluar sana tu, dia ingat senang  ke nak dapat kerja agaknya dengan zaman sekarang ni, dia ingat duit tu boleh turun melimpah ruah aje dari langit. Huh! Keluar kau dari rumah aku ni! Keluar! Keluar!...” Datin Farhana sudah berdiri sambil menunjukkan jari telunjuknya tepat ke wajah Danish, sehingga tanpa mereka sedari Datin Farhana tiba-tiba rebah menghempap ke lantai. Aleeya kaget, begitu juga Datuk Othman lalu cepat-cepat mendapatkan isterinya yang terbaring lesu di atas permaidani rumah mereka.

“Mama!!!” Aleeya berteriak memanggil ibunya yang sudah pengsan dipangkuan ayah tirinya, dia dapat merasakan saat itu separuh daripada jiwanya pergi. Dia menangis seboleh mungkin membuang rasa kesal di dalam hati, Danish yang cemas melihat keadaan Aleeya itu cepat-cepat memeluk Aleeya untuk menenangkannya. Aleeya berasa semua pandangan disekelilingnya kabur, berpinar-pinar rasa matanya, semua dilihatnya berpusing-pusing lalu dia juga turut rebah menghempap ke lantai ruang tamu rumah mereka namun cepat-cepat disambut oleh Danish.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
:: Untuk apa meraih kecintaan manusia andai diri dimurkai Sang Pencipta. Berilmu bukan bererti menunjukkan kepandaian tetapi hanyalah utk diamalkan. Tiada berguna memperoleh sanjungan disisi ramai andai diri hina disisi Tuhan. Aku hanyalah seorang hamba hina yg sering diselubungi dosa-dosa. Hanya mampu merayu dan mengharap agar diri ini kembali bersih sebelum pergi mengadap Illahi::




Red Butterfly