Wednesday, March 7, 2012

Mencari Penawar Qaseh 4



BAB 4

Setahun kemudian…

Hari ini merupakan hari yang paling gembira dan bahagia bagi Aleeya, kerana dia akan pulang ke rumah sempena cuti semester, dimana Aleeya terlalu merindui ibu dan ayah tirinya. Dua hari yang lepas merupakan kertas peperiksaannya yang terakhir, dia sengaja pulang lambat sehari kerana ingin meluangkan sedikit masa bersama dengan Danish Haikal.

Hubungannya dengan Danish Haikal sudah rasmi menjadi pasangan kekasih semalam, Danish mengajaknya keluar berjalan-jalan di ‘Shopping Complex’ dan disekitar bandar Johor Bharu.  Mereka meluangkan masa sepanjang hari berdua sahaja, dari pagi hingga ke petang. Sehingga Danish membawa Aleeya ke sebuah taman bunga yang cantik, lalu meluahkan hasrat hatinya yang ingin menyunting dirinya sebagai kekasih hatinya. Tanpa menunggu lama Aleeya menerima lamaran Danish itu, lalu disarungnya cincin yang terukir nama mereka berdua di jari manis Aleeya tanda ikatan cinta mereka.

Sejak semester yang lepas lagi hubungan di antara Aleeya dan Danish Haikal mula rapat dan semakin akrab. Mereka masing-masing saling melengkapi, dari kawan lalu timbulnya perasaan sayang diantara satu sama lain, lama-kelamaan dari hari berganti hari, minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan telah membuahkan bibit-bibit cinta di dalam hati Aleeya terhadap Danish Haikal yang sentiasa mengambil berat terhadap dirinya. Kurangnya perhatian daripada ayah tirinya, Datuk Othman membuatkan Aleeya ketandusan kasih sayang daripada seseorang yang bernama lelaki. Kehadiran Danish Haikal dalam hidupnya bukanlah suatu kebetulan tetapi memberikan sinar dan harapan yang menggunung tinggi padanya. Hanya menagih kasih dan sayang pada yang sudi sahaja.

Aleeya tahu selepas kepulangannya ke Kuala Lumpur nanti, pasti sukar untuk Aleeya mahupun Danish untuk bertemu. Aleeya telah menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan ibu dan ayah tirinya. Aleeya tidak mahu ibunya menjadi penghalang antara hubungannya dengan Danish, mungkin suatu hari nanti Aleeya akan menceritakan kepada ibunya tentang Danish, tetapi bukan sekarang Aleeya hanya menunggu masa yang sesuai sahaja lagi.

‘Just follow the flow Aleeya, fuh!’ Bisikya sendirian sambil menyusun segala barang-barang dan pakaiannya ke dalam ‘luggage’. Ummi Kalsum di sebelah hanya menggelengkan kepalanya melihat Aleeya.

***

Sesampainya Aleeya di depan pintu rumahnya, Aleeya terus masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan ibu dan ayah tirinya. Pak Rustam hanya menggelengkan kepalanya melihat telatah Aleeya yang tidak berubah-berubah perangainya masih sama seperti dahulu, lalu Pak Rustam mengeluarkan beg Aleeya dari bonet kereta untuk dibawa masuk ke dalam rumah.

“Assalamualaikum! Mama!Ayah!” Aleeya terus memeluk ibu dan ayahnya sesampainya dia di ruang tamu rumah banglo mereka .

“Leeya rindu dengan mama dan ayah, mama apa khabar? Ayah?”

Semasa di lapangan terbang tadi, hanya Pak Rustam seorang yang telah datang menjemputnya. Datuk  Othman dan Datin Farhana hanya menanti anaknya di rumah sahaja. Sudah Datin Farhana pesan kepada Mak Som supaya tidak perlu menyediakan makan malam kerana dia mahu menghidangkan dan memasak sendiri makanan kegemaran Aleeya untuk santapan makan malam mereka nanti.

“Ya, mama pun rindu dengan Aleeya, mama dan ayah sihat aje, Aleeya pulak sihat?” Aleeya melepaskan pelukannya daripada dakapan ibunya, lalu menyalami tangan ayah tirinya, Datuk Othman hanya mengusap lembut kepala anak tirinya.

“A’ah ma, Leeya sihat. Seronok dapat balik KL, mama masak apa malam ni?” Aleeya sudah duduk di sebelah Datin Farhana sambil melentukkan kepalanya dibahu ibunya. Datuk Othman hanya melihat telatah anak tirinya yang manja itu, terkenang pula Datuk Othman kepada anaknya yang sudah lama dia tidak temui. Mungkin sudah seusia dengan Aleeya, duganya.

“Leeya ni, asyik-asyik pasal makan aje ditanya dia. Dah, pergi mandi. Karang kita makan malam bersama ya,” Aleeya sudah meminta diri kepada ibu dan dan ayah tirinya untuk  berlalu pergi ke biliknya membersihkan diri dan menunaikan kewajipannya.
Aleeya masuk ke dalam kamarnya yang sudah lama dia tinggalkan. Masih sama seperti mana dia tinggalkan dahulu, lalu dia mengeluarkan segala pakaiannya daripada beg untuk dipindahkan ke dalam almari. Dia mendengar bunyi telefon bimbitnya berbunyi, tanda ada mesej yang masuk lalu dibukanya.

“Abang dah sampai rumah, nanti abang mesti rindukan Leeya. Selamat bercuti sayang! Miss you.”

Aleeya tersenyum membaca mesej daripada kekasih hatinya itu, lalu di balasnya mesej Danish kembali.

“Okey, abang pun sama. Take care! Miss you too…”

Aleeya meletakkan telefon bimbitnya kembali di atas meja, tiba-tiba dia ternampak kotak kecil yang masih terletak di tempat yang sama seperti mana dia tinggalkan dahulu. Aleeya sengaja meninggalkan hadiah pemberian Muhaimin di Kuala Lumpur, ya lelaki itu yang pernah hadir di dalam hati Aleeya. Tetapi kini Aleeya sudah bahagia bersama dengan orang lain. Sudah lama dia lupakan nama itu, lalu disimpannya kotak hadiah itu ke dalam laci meja soleknya. Dua bulan dari sekarang dia akan bercuti semester, selepas itu baru Aleeya kembali ke Universiti Teknologi Malaysia untuk menyambung pengajiannya di semester tiga.

Makan malam di rumahnya itu penuh dengan gelak tawa, Datuk Othman dapat melihat isterinya itu bahagia dengan kepulangan Aleeya disampingnya, tidak seperti sebelum ini mendung sahaja wajahnya. Selepas pemergian Aleeya enam bulan yang lalu, Datin Farhana di masukkan ke hospital kerana pengsan di ruang tamu rumahnya. Tetapi kedegilan Datin Farhana yang tidak menyuruh Datuk Othman memberitahu perkara sebenar kepada Aleeya, terus sahaja membatalkan hasratnya untuk menuruti kehendak isterinya.

Aleeya gembira bercerita itu dan ini mengenai kawan-kawan barunya di universiti, ibunya sahaja yang melayan segala cerita anaknya itu. Cuma Aleeya tidak menceritakan kepada ibunya mengenai Danish Haikal, tiba-tiba sedang Aleeya leka menjamu selera, telefon bimbitnya berbunyi. Dilihatnya pemanggil itu adalah Danish, lalu cepat-capat Aleeya berlari keluar rumah untuk menyambut  panggilan daripada kekasih hatinya itu.

Datin Farhana hanya melihat sikap anaknya yang telah jauh berubah tidak seperti dahulu. Kini, telefon bimbitnya tidak pernah berenggang sedikit pun daripada tangannya. Lalu disuarakan kebinggungannya kepada suaminya, Datuk Othman.
“Abang, Ana tengok si Leeya tu tak dapat jauh sikit dari handphone dia. Lepas tu asyik berbunyi aje handphone dia bang,” Datuk Othman yang tengah membaca surat khabar di kamar beradu mereka hanya memandang sekilas ke wajah isterinya. Oleh kerana kekangan masanya dipejabat, sudah menjadi rutin harian Datuk Othman membaca surat khabar di waktu malam.

 “Ana, janganlah fikir bukan-bukan pasal Leeya tu, dia dah besar pandailah dia jaga diri. Awak macam tak tahu aje, Leeya kan dah meningkat dewasa, mesti ramai lelaki yang nak berkenalan dengan dia,” Datin Farhana sudah duduk di sisi suaminya sambil memegang alat kawalan jauh untuk menonton televisyen.

“Memanglah bang, tu Ana tahulah. Kalau berkawan aje saya tak kisah. Jangan sampai bercinta sudah,” Datin Farhana mematikan kembali televisyennya, tidak tenteram rasa hatinya memikirkan tentang anak tunggalnya itu. Dia mahu Aleeya mengejar cita-citanya dahulu, bukan mengejar cinta.

“Sudahlah, jangan difikir sangat pasal Leeya tu. Awak tu jaga kesihatan jugak, dah pergilah tidur.” Datin Farhana hanya melihat suaminya berlalu ke katil untuk tidur, tetapi Datin Farhana belum berasa mengantuk lagi, lalu dia pergi ke kamar Aleeya.

Tuk..Tuk.Tuk..Bunyi ketukan bertalu-talu di pintu bilik Aleeya, Aleeya tersentak lalu menutup komputer ribanya. Dia baru sahaja mahu melepas rindu dengan melihat gambar-gambar dia bersama dengan Danish Haikal sebulan yang lalu. Lalu tanpa menunggu lama, Aleeya membuka pintu biliknya.

“Eh mama, kenapa ma?” Aleeya buat-buat muka seperti orang yang baru bangun dari tidur sahaja lagaknya.

“Leeya dah tidur ek? Maaflah mama dah kacau anak mama tidur,” Aleeya sudah  melangkah ke katilnya lalu terus baring sambil memeluk bantal peluknya. Puan Farhana hanya memandang sekeliling kamar Aleeya, lalu duduk disamping Aleeya.
“Kenapa mama? Macam ada yang tak kena aje,” Aleeya melihat perubahan wajah Datin Farhana apabila Aleeya menegur ibunya. Lalu Datin Farhana mengusap-usap lembut rambut Aleeya yang sudah semakin panjang dipenglihatannya.

“Tak ada apa-apalah, dah, Aleeya pergilah sambung tidur. Mama pun dah ngantuk ni, good nite sayang,” Datin Farhana mengucup dahi anaknya lalu keluar untuk kembali ke kamarnya. Aleeya pelik melihat sikap ibunya itu, lalu dia terus melelapkan matanya kerana keesokkan harinya dia akan bertemu dengan Danish Haikal.

***

“Mama, good morning!” Aleeya menegur ibunya yang baru sahaja hendak menutup pintu rumah.

“Hai, awal anak mama bangun hari ni. Ada apa-apa ke?” Datin Farhana sudah menghampiri anaknya yang sedang bersarapan pagi.

“Ayah dah pergi kerja ek ma? Tak adalah ma, saja bangun awal,” Jawab Aleeya bersahaja. Datin Farhana tahu, jika anaknya itu rajin semacam bangun pagi mesti ada sesuatu yang dia inginkan.

“A’ah baru aje pergi keja tadi. Ye ke tak ada apa-apa ni?” Aleeya sudah tersenyum-senyum memandang ke arah Datin Farhana, lalu Aleeya dengan tergesa-gesa  menghabiskan makanannya dengan segera lalu menghampiri ibunya yang masih duduk berhadapan Aleeya dengan senyuman yang meleret.

“Ma, boleh tak Leeya keluar dengan Dina petang nanti?” Datin Farhana hanya memandang wajah anaknya lalu memeluk bahu anaknya.

“Alah, pasal tu aje ke? Ingat apa tadi, bolehlah. Kenapa mama tak kasi pulak, kirim salam dengan Dina nanti tau!” Aleeya sudah bersorak gembira, kerana hari ini dia akan berjumpa dengan kekasih hatinya setelah hampir sebulan tidak memui Danish Haikal.

“Yahoo! Okey, insyaAllah mama! Thanks,” Aleeya terus berlalu pergi ke kamarnya untuk memberitahu Danish tentang rancangan mereka itu telah berjaya. Aleeya telah membohongi ibunya, Aleeya dengan tidak semena-mena terpaksa menjual nama Dina untuk mendapat keizinan daripada Datin Farhana untuk keluar rumah. Hidup Aleeya tidaklah terlalu dikongkong, cuma ibunya tidak membenarkan Aleeya kerap keluar dan balik sehingga lewat malam. Datin Farhana hanya menggelengkan kepalanya melihat telatah anaknya itu lalu dia pergi ke dapur.

***

“Assalamualaikum ,”

Aleeya yang sedang duduk dibangku diluar Seven Eleven tersenyum gembira apabila melihat kelibat Danish yang sudah berdiri dihadapannya kini. Terasa kekok dan janggal sebentar kerana lama sudah tidak bersua muka. Aleeya melihat air muka Danish tampak bersahaja sahaja. Dilihatnya Danish l hanya mengenakan baju T-shirt ‘round neck’ berwarna merah dan seluar jeans biru berserta ‘sandal’ berjenama Adidas sahaja. Aleeya tersenyum manis apabila dia dan Danish memakai baju yang sama warna. Aleeya memakai blaus merah dengan seluar jeans putih dan rambutnya yang dibiarkan lepas mengurai.

“Waalaikumsalam sayang, aik macam berjanji pulak baju sama merah.” Sambil tangan Danish mencubit pipi gebu Aleeya.

“Ish! Apa ni main cubit-cubit orang! Abang tu yang ikut Leeya.” Aleeya memuncungkan bibirnya lalu melemparkan pandangan ke tempat lain. Danish hanya tersenyum melihat telatah Aleeya yang manja.

“Comel sangat, rindu abang dengan budak kecik ni. Tulah pasal cubit-cubit, takkan nak tampar-tampar pulak, Hai, kita pulak dikatanya mengikut dia. Hmm, itu makannya kita ada jodoh, sehati sejiwa gitu.” Danish terus mengekeh ketawa apabila melihat wajah Aleeya yang memandang semacam ke arahnya.

“Haa, buat lagi muka macam tu, tak pasal-pasal percuma aje kena cubit sekali lagi.” Cepat-cepat Aleeya menutup kedua-dua belah pipinya dengan tapak tangannya.
“Hish! Mengada-ngadalah abang ni,” Aleeya menepuk lengan Danish, lalu mereka mula berjalan-jalan beriringan disekitar ‘mall’.

“Abang dah makan? Leeya laparlah bang.” Danish Haikal menoleh sekelilingnya.
“Hmm, abang pun lapar jugak ni. Jomlah kita makan kat Mc’D aje okey?” Aleeya hanya mengangguk lalu mereka memesan makanan dan mendapatkan meja.

“Abang ni tak payahlah sponser-sponser Leeya, tak salah rasanya sekali sekala Leeya pulak yang belanja abang makan kan?” Danish menghabiskan makanannya lalu menyisip straw minuman ke dalam mulutnya.

“Urk, Alhamdulillah…” Aleeya hanya menggelengkan kepalanya melihat perangai sempoi dan bersahaja Danish. Tidak bertapis- tapis, menjadi dirinya sendiri sahaja apabila berhadapan Aleeya. Tidak cuba untuk menjadi yang terlalu sempurna dan tidak hipokrit. Aleeya suka dengan sikap Danish yang sentiasa merendahkan diri, itulah yang membuat hati Aleeya mudah terpaut kepada kebaikan-kebaikan yang terpamer diwajah ikhlas dan jujur Danish Haikal.

“Alah, don’t worry be happy sayang. Abang belum lagi dikategorikan muflis. Masih ada duit lagi untuk beri Aleeya makan. Lagipun abangkan baru gaji, so tak salah jugak kan abang senangkan hati kekasih abang ni,” Aleeya hanya diam membisu, bukan niat Aleeya untuk merendahkan-rendahkan taraf diri Danish. Cuma dia tidak mahu membebani Danish dengan membeli segala hadiah, keperluan dan makanan kepadanya. Duit hasil daripada kerja sambilannya di stesen minyak Petronas sebagai pengepam minyak, apalah sangat hasilnya.

“Memanglah tak salah bang, cuma Leeya tak nak menyusahkan abang selalu. Cukuplah abang ada didepan mata Leeya dan tak berpaling daripada Leeya itu pun dah cukup.” Leeya menundukkan wajahnya, Danish melihat wajah sendu Aleeya lalu memegang dagu Aleeya lalu dibawa memandang ke wajahnya.

“Hey, Leeya kenapa tiba-tiba sedih ni. Tak ada hujan, tak ada ribut jadi monyok macam tu muka. Tak comellah abang tengok lagi,” Aleeya terus mengukir senyumannya pada Danish. Ada sahaja gelagatnya yang mencuit hati dan menghiburkan Aleeya.
“Okey-okey. Closed the topic, sekarang abang nak bawa sayang kat satu tempat yang abang selalu pergi. Haa, kalau abang ada masalah and sedih, abang g lah tempat tuh. Abang nak share tempat tu dengan sayang abang ni,” Aleeya terus mempamer wajah terujanya lalu mengangguk berkali-kali seperti anak kecil yang mendapat hadiah sahaja lagaknya. Comel!

“Hey Leeya! What are small world!” Belum sempat Danish dan Aleeya mengangkat kaki dari tempat itu, tiba-tiba ada suara yang menyapa mereka berdua pula. Aleeya terus berdiri apabila dia melihat wajah yang sudah lama dia tidak temui.

“Balqis! Ya Allah, lama dah kita tak jumpa kan. Kau ni kalau ye pun exited jumpa aku, bagilah salam dulu. Ini tak, terkejut aku dengan suara lantang kau, tak ubah-ubah perangai kau Balqis.”

Balqis hanya tersengih lalu menyambut huluran tangan dan salam dari Aleeya.
Sorry-sorry, waalaikumsalam. Kau macam tak biasa. Well, inikan Balqis.” Balqis mempamerkan barisan giginya dengan tangannya yang diangkat keatas seperti berlagak sempoi sahaja. Balqis tiba-tiba memandang wajah Danish yang berdiri disamping Aleeya lalu mengangkat kening kanannya lalu berdehem.

“Leeya. Tak nak kenalkan aku dengan tu..tu ke?” Balqis memuncungkan bibirnya sambil menunjuk-nunjukkan ke arah Danish Haikal. Danish pulak hanya tersenyum melihat gelagat Balqis. Tiba-tiba muncul seorang lelaki yang tinggi lampai dan memiliki kulit yang putih datang menghampiri Balqis.

“Eh, kejapnya bang.  Balqis ingat abang g lama tadi,” Aleeya memandang wajah Rahman, abang kepada Balqis. Aleeya dan Danish menyambut huluran daripada Rahman, apabila Balqis memperkenalkan Rahman kepada mereka berdua.

“Leeya, inilah abang aku Rahman. Ingat lagi tak?”  Aleeya hanya mengangguk lalu gilirannya pulak memperkenalkan Danish kepada Balqis dan Rahman.

“Ow, ingat-ingat. Lama dah tak jumpa, dah lain sikit. Eh, lupa pulak, ini Danish Haikal ehem-ehem aku. Kenalkan bang, ini Balqis kawan Leeya sama sekolah menengah dulu and ini abang dia Rahman.” Danish hanya mengangguk seraya tersenyum.

“Lama tak tengok Leeya, sekarang dah makin cantik. Dulu kecik aje abang tengok, bertuah Danish dapat awek secantik Aleeya.” Aleeya sudah tersipu-sipu malu bila dikata begitu oleh Rahman. Memang Aleeya akui dia tidak berapa akrab dan biasa dengan abang Balqis, mereka hanya sempat bertemu di pesta sambutan hari jadi Balqis yang ke-19 dahulu di rumah mereka. Danish pulak hanya berdiri kaku sambil memerhati Rahman dari atas sehingga ke bawah. Timbul juga perasaan cemburunya apabila Rahman memuji-muji kekasih hatinya.

“Ow, dah ada ehem-ehem kau ek? Bagus-bagus, maju terus maju Leeya. Eh, Muhaimin apa cerita pulak?” Berubah riak wajah Aleeya saat nama Muhaimin keluar daripada mulut Balqis. Terasa ada getar dan seperti terkena kejutan elektrik sahaja hatinya saat nama Muhaimin menyapa lembut di pendengarannya. Ya Allah kau tabahkan hati ku ni, kenapa hati ku kini berbelah bagi. Kenapa lain macam pulak rasa hati aku ni, gumam Aleeya di dalam hati.

Danish perasan riak muka Aleeya yang berubah apabila nama Muhaimin jadi topik perbualan mereka, namun Aleeya cuba mempamerkan senyuman semanis mungkin untuk menutup kegugupan dirasanya kini semakin menyesakkan jiwanya.

“Eh, tak tahu pulak aku Balqis. Hmm, okeylah. Aku nak gerak ni, lain kali kita jumpa lagi.” Balqis dan Rahman hanya mengangguk lalu sebelum semuanya berpisah Aleeya dan Balqis sempat bertukar nombor telefon supaya lebih mudah mereka berhubung nanti.

“Baiklah Leeya, aku pun ada hal dengan abang aku ni. Nanti free kita semua jumpalah, buat reunion kita-kita aje. Lama dah kita tak kumpul sama-sama, nantilah aku plan lagi dengan Rozita and Dina okey?” Aleeya terus mengiakan kata-kata Balqis, setuju dengan cadangan yang diberikan. Lama sudah mereka tidak betukar cerita, berkumpul bersama-sama dan bergurau senda. Insya-ALLAH dapat bertemu kembali, luah Aleeya di dalam hati.

***

“Sayang, boleh abang tanya sikit?” Aleeya memandang wajah Danish yang duduk disebelahnya lalu mengangguk. Mereka hanya duduk diatas rumput sahaja berhadapan dengan tasik di Taman Tasik Titiwangsa. Sengaja Danish membawa Aleeya ke tempat kesukaannya untuk meluangkan masanya bersama-sama Aleeya.

“Hmm, Muhaimin tu siapa?” Aleeya terus sahaja mengeluh saat mendengar soalan itu yang rupa-rupanya menjadi sebab mengapa Danish hanya diam membisu sedari tadi.
“Ow, pasal Muhiminlah abang diam memanjang aje tak tentu pasal. Leeya ingat pasal apalah tadi,” Danish hanya membuang pandangnya ke tasik sahaja, namun fikirannya entah menerawang ke mana. Aleeya hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil dia bangun dan terus berdiri.

“Muhaimin tu kawan sama kelas dengan Leeya dulu, sama form 6. Kawan aje pun bukannya bekas kekasih ke apa ke. Abang tok sahlah fikir bukan-bukan, Leeya hanya sayang dan cintakan abang sorang. Yang pertama dan yang terakhir.” Aleeya menoleh sekilas ke wajah Danish, lalu Danish juga turut berdiri sambil tangannya mengipas-gipas belakang seluarnya membuang kotoran ketika dia duduk tadi.

“Ye ke kawan aje? Boleh percaya ke sayang abang ni?” Danish sudah mempamerkan senyumannya kepada Aleeya. Lega rasa hatinya kini bila mengetahui Muhaimin itu bukan siapa-siapa pada Aleeya. Namun Aleeya hanya beriak biasa sahaja sambil berjalan membelakangkan Danish.

Aleeya tahu Danish hanya bergurau, senang hatinya bila melihat senyuman yang terukir dibibir Danish. Dia tidak mahu Danish berubah perilaku hanya kerana Muhaimin yang entah dimana sekarang ini. Aleeya hanya mahu hubungannya dengan Danish terus kekal dan sentiasa bahagia. Walaupun Aleeya tahu setiap perhubungan itu tidak sentiasanya manis, pasti pahit itu juga disulamkan bersama. Itulah Aleeya sentiasa bersedia sebelum menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal menjadi cabaran dan dugaan dalam hubungan cinta yang terjalin diantara mereka.

“Abang ni main-main pulak, betullah apa yang Leeya cakap. Kenapa, tak percaya?” Danish hanya menggelengkan kepalanya dengan muka yang serius. Aleeya tiba-tiba pelik dengan perubahan mendadak dari riak wajah Danish. Belum sempat Aleeya berkata apa-apa Danish terlebih dahulu sudah memintas pencakapannya.

“Abang acah ajelah!” Aleeya terus berlari-lari anak mengejar Danish yang sudah berlari-lari apabila Aleeya ingin mencubitnya. Namun langkah Danish terlalu laju, Aleeya terus terduduk dibangku yang sudah tersedia lalu melepaskan lelahnya. Lengguh jugak rasanya aku berlari ini, belum sampai 100 meter dah penat, ngomel Aleeya sendirian.

Belum sempat Aleeya mengangkat wajahnya, dilihatnya Danish sudah terpacak dihadapannya dengan kedua-dua tangannya yang disorokkan ke belakang badannya. Seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan Aleeya.
Tanpa Aleeya sedari Danish menghulurkan sekuntum bunga raya sambil melutut dihadapan Aleeya. Aleeya hanya tersenyum lalu menyambut huluran yang diberi. Tidak menyangka Danish akan melakukan kejutan sebegitu kepadanya.

“Untuk sayang, sorry bunga tepi jalan aje tu. Next time abang beli yang lagi besar dari ni, okey?” Danish sudah beralih duduk disamping Aleeya.

Lantas Aleeya mencapai tangan Danish lalu berkata, “Tak apalah bang bunga tepi jalan pun besar ertinya pada Aleeya. Tak guna kalau bunga tu mahal sekalipun, yang penting hati orang yang memberi itu ikhlas dan kasih sayangnya lebih besar dan lebih mahal daripada bunga tu sendiri kan?”

“Betul, betul betul, hee.” Danish mengajuk pencakapannya seperti siri kartun Upin dan Ipin. Aleeya hanya menggelengkan kepalanya, tak romantik sungguh mamat ni, ada ke boleh dia ajuk cakap upin dan ipin pulak,hmm, omel Aleeya di dalam hati. Danish hanya tersenyum memandang wajah poyo Aleeya yang terserlah apabila mendengar jawapan daripadanya.

“Mesti sayang cakap abang tak romantik kan?”

Ops! Kantoi sudah!

“Eh, mana ada. Suka suki dia aje mengata orang. Tapi, memang pun, kalau dalam mesej or surat ke bukan main lagi puitis dia..” Danish sudah membutangkan matanya melihat Aleeya, namun belum sempat Danish menjawab Aleeya pula terlebih dahulu memotong.

“Okey-okey, sorry abangku sayang. Leeya main-main aje tadi, saja nak tengok macam mana pulak rasanya dimainkan..haha..haha” Aleeya sudah mengekeh ketawa bila melihat wajah geram Danish Haikal. Selepas itu mereka sama-sama ketawa apabila Aleeya tiba-tiba terdiam melihat kediaman Danish.

“Sudahlah Leeya, ada aje caranya nak kenakan kita balik. Suka nak kena cubit pipi ni,” Aleeya hanya tersenyum sambil lengannya memeluk tangan Danish dan melentukkan kepalanya di bahu Danish.

“Ow, inilah tempat yang abang cakap special sangat tu. Hmm, boleh tahan cantik jugak. Apa kata kita jadikan tempat ini tempat kita berdua. Jomlah kita ukir or tulis apa-apa yang boleh dijadikan kenangan. Macam selalu dalam tv tu,” Aleeya sudah tertunduk-tunduk kepalanya mencari sesuatu untuk dijadikan sebagai alat tulis. Lalu Dansih menghulurkan kunci motorsikalnya pada Aleeya.

“Nah, kita ukir nama kita berdua atas kerusi kayu ini aje.” Aleeya mengambil kunci tadi dari tangan Danish lalu mengukir nama mereka disudut tengah kerusi yang mereka duduk tadi. Danish hanya memerhati sahaja Aleeya menulis namanya yang digabungkan dengan nama Aleeya. Tidak lupa bersama dengan tarikh mereka menjadi pasangan kekasih.

“Hmm, Danileeya, cantik jugak gabungan nama tu,” Ujar Danish, lalu Aleeya kembali duduk disamping Danish setelah selesai mengukir nama mereka berdua. Hujan turun rintik-rintik, sedang Aleeya dan Danish leka berbual-bual sehingga lupa hari sudah semakin gelap menandakan hujan akan turun pada bila-bila masa sahaja lagi.

“Leeya, jomlah abang hantar Leeya balik. Nak hujan dah hari ni, karang basah kuyup pulak kena hujan. Kita naik motor aje pun..hee” Aleeya hanya mengekeh ketawa lalu tanpa membuang masa mereka berlari-lari anak untuk ke tempat parkir motorsikalnya tadi dan kembali semula ke mall untuk mengambil kereta Aleeya yang hanya ditinggalkan disitu.

***

Setelah selesai makan malam bersama-sama keluarganya, Aleeya duduk diruang tamu menemani Datin Farhana dan Datuk Othman yang sedang menonton berita di televisyen dan ibunya yang sedang sibuk mengait sesuatu ditangannya.
“Kenyangnya perut Leeya,” Datin Farhana hanya memandang sekilas wajah Aleeya lalu meneruskan kerjanya.

“Itulah, kalau pasal makan Leeya ni tak pandai nak kontrol, main sumbat aje tahu dia.” Aleeya hanya mengekeh ketawa sahaja mendengar omelan ibunya.
“Awak ni Ana, budak tu nak makan. Biar ajelah dia, kan bagus Leeya tu kuat makan.” Datuk Othman pula membela anak tirinya itu, sempat pulak Aleeya menaikkan ibu jarinya pada ayah tirinya.

“Saya bukannya menghalang bang oi, saja nak ingatkan. Dia tu perempuan, mestilah pandai jaga badan. Karang kalau badan si Leeya tu gemuk kedempol siapa susah. Leeya jugak kan, mama tak tanggung,” Aleeya sudah mempamerkan wajah risaunya, namun cepat-cepat dia berlagak tenang.

“Alah mama ni, orang makan banyak pun susah, karang orang tak makan langsung kena marah pulak. Ma, buruk sangatlah word gemuk kedempol tu. Leeya tak naklah, kalau puteri boroi yang comel okey gak. Ehee. Ma, bukan selalu pun Leeya dapat makan sedap-sedap macam ni. Nanti dah balik Johor rindu pulak nak makan masakan mama, kan ayah. “ Seloroh Aleeya, Datuk Othman hanya mengangguk menyokong kata-kata Aleeya.

“Yelah tu, abang pun sama. Kalau part nak kenakan saya nombor satu.” Datuk Othman hanya tersenyum memandang isterinya yang berkata begitu.

“Eh, saya pulak disalahnya, Ana..Ana.” Jawab Dato Othman lagi, Aleeya terus menghampiri ibunya lalu duduk disebelah Datin Farhana.

“Mama buat apa ma? Dari hari tu dah Leeya tengok mama mengait aje, nak jugak tahu apa ke bendanya tu.” Omel Aleeya sambil meneliti kerja tangan ibunya.
“Ini, mama kait tulisan khat kalimah Allah. Boleh dijadikan perhiasan di dinding rumah kita. Nanti mama letaklah dalam bingkai.” Datin Farhana menunjukkan semua hasil kerja tangannya pada Aleeya yang sudah tergantung cantik di dinding rumahnya.

“Wah, kreatif jugak mama Leeya ni ek. Mama tak boring ke duduk rumah ni sorang-sorang?” Datuk Othman memandang wajah isterinya sekilas, dia akui yang dia terlalu sibuk dengan urusan kerjanya sehingga lupa perasaan dan hati isterinya yang perlu dijaga. Namun tanggungjawab yang dipikulnya membuatkan Datuk Othman bekerja keras untuk memberi kesenangan dan kebahagiaan kepada keluarganya.

“Boringlah jugak, itulah mama banyak habiskan masa mengait dan menanam pokok-pokok bunga. Taklah duduk melalut goyang kaki aje dirumah, kan bang.” Sempat pulak Datin Farhana mengenakan Datuk Othman, Aleeya hanya tersenyum melihat wajah bersahaja ayah tirinya.

“Ow, kalau mama boring, kenapa mama tak masuk aje mana-mana persatuan or mama buat business ke, kan.” Aleeya memberi cadangan kepada ibunya sambil menyuapkan buah epal ke dalam mulutnya yang sudah tersedia diatas meja sebagai pencuci mulut.

“Hmm, mama ada terfikir jugak sayang, tengoklah dulu macam mana. Tapi, betul jugak cakap Leeya tu kan. Business ek? Mama buka butik ajelah kan,” Datin Farhana memang sudah lama tidak melakukan apa-apa pekerjaan semenjak kematian arwah suaminya dahulu, Datin Farhana hanya menitikberatkan kebajikan dan keperluan satu-satunya anak perempuan peninggalan arwah suaminya. Terdetik juga difikirannya untuk mempunyai butik yang menjual pakaian dan kain-kain atau busana pengantin. Nantilah aku fikir-fikirkan lagi, desis Datin Farhana di dalam hatinya.

“Betul tu ma, nanti bolehlah mama jual sekali semua hasil kerja tangan mama ni, pandai tak Leeya bagi idea?” Aleeya sudah membuat muka bangganya  lalu hidungnya dicuit oleh Datin Farhana.
***

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
:: Untuk apa meraih kecintaan manusia andai diri dimurkai Sang Pencipta. Berilmu bukan bererti menunjukkan kepandaian tetapi hanyalah utk diamalkan. Tiada berguna memperoleh sanjungan disisi ramai andai diri hina disisi Tuhan. Aku hanyalah seorang hamba hina yg sering diselubungi dosa-dosa. Hanya mampu merayu dan mengharap agar diri ini kembali bersih sebelum pergi mengadap Illahi::




Red Butterfly