Sunday, February 19, 2012

Renungan Bersama Kisah Jurumandi Mayat (Kisah Benar)





Pengalaman seorang Jurumandi Mayat Daerah Gombak, Selangor. Kisah
benar ini diceritakan oleh seorang Ustaz. Ia berlaku dikawasan
daerah Gombak di mana jurumandi memandikan jenazah yang kaya harta orangnya dan
berpengaruh.



Begini ceritanya :-                                                                     
Saya telah terlibat dalam pengurusan jenazah lebih daripada 20 tahun.
Pelbagai pengalaman telah saya lalui kerana dalam tempoh itu bermacam-macam jenis mayat yang telah saya uruskan. Ada yang meninggal dunia
akibat.......kemalangan, sakit tua, sakit jantung,bunuh diri dan sebagainya.

Bagaimanapun, pengalaman menguruskan satu jenazah di sebuah tempat di sempadan Selangor dan Wilayah Persekutuan beberapa tahun yang lalu,
telah  mendedahkan saya kepada satu kes yang cukup istimewa sepanjang                 
pengalaman saya menguruskan jenazah. Inilah kali pertama saya bertemu            
dengan satu jenazah yang cukup aneh,menyedihkan, menakutkan dan sekali
gus memberikan banyak iktibar.                                                       
                                                                                  
Nama tempat dan nama orang yang meninggal itu tidaklah dapat saya
nyatakan di sini. Ia terjadi secara kebetulan ketika saya diminta oleh anak
Allahyarham  menguruskan jenazah bapanya. Saya terus pergi ke rumahnya. Tapi bila
saya hampir  sampai ke rumah Allahyarham, saya bau jenazah itu                                
sangat busuk. Baunya cukup pelik dan busuk. Saya telah menguruskan
banyak jenazah tetapi tidak pernah saya bertemu dengan mayat yang sebusuk ini. Bila
saya tengok wajah Allahyarham, sekali lagi hati saya tersentuh. Saya                         
tengok wajahnya seperti sedang dirundung oleh bermacam-macam
perasaan...takut,  cemas, kesal dan bermacam-macam lagi. Wajahnya seperti tidak mendapat nur daripada Allah SWT.
Kemudian saya pun ambil kain kafan  yang dibeli oleh anak Allahyarham dan saya potong-potongkan. Secara kebetulan pula, di situ ada dua orang yang mengikuti kursus pengurusan jenazah yang pernah saya jalankan. Saya ajak mereka membantu saya dan mereka bersetuju. Tetapi semasa memandikan mayat itu, peristiwa                  
pertama berlaku. Untuk makluman pembaca, apabila memandikan jenazah,             
badan mayat itu perlu dibangunkan sedikit dan perutnya hendaklah
diurut urut untuk membolehkan najis keluar. Maka saya pun urut urutkan perut            
Allahyarham. Tapi apa yang berlaku pada hari itu amatlah mengejutkan.            
Allah itu Maha Berkuasa kerana pada saat tersebut, najis tidak keluar            
daripada dubur mayat tadi tetapi melalui mulutnya. Allahhuakbar......
Lalu saya ubah sedikit teknik dan posisi mayat itu              
dan saya urut-urutkan lagi perutnya. Tapi najis itu tetap keluar dari            
mulutnya. Hati saya berdebar-debar. Apa yang sedang berlaku di depan
mata saya ini? Telah dua kali mulut mayat ini memuntahkan najis. Saya harap ia
tidak akan berulang lagi kerana saya mahu mengurut perutnya bagi kali yang             
terakhir. Tiba-tiba ketentuan Allah berlaku. Bila saya urut perutnya,            
keluarlah daripada mulut mayat itu najis bersama beberapa ekor ulat
yang masih hidup. Ulat itu adalah seperti ulat najis. Warnanya putih. Dari
mana datangnya ulat itu, jangan tanya saya. Allahyarham meninggal dunia
akibat diserang sakit jantung dan waktu kematiannya dengan waktu saya                   
menguruskan mayatnya hanya lima jam setengah sahaja jaraknya. Aneh,             
bagaimana dalam tempoh yang sebegitu singkat mayatnya boleh menjadi              
sedemikian rupa?
Saya lihat wajah anak Allahyarham. Mereka seperti terkejut.     
Mungkin malu, terperanjat dan aib dengan apa yang berlaku pada bapa              
mereka. Saya tengok dua orang pembantu tadi, mereka juga terkejut dan
panik. Lalu saya bacakan doa untuk mengelakkan badi mayat dan sapukan ke               
muka mereka. Saya kata kepada mereka, inilah ujian Allah kepada                 
kita.                                                                           
                                                                                  
Kemudian saya minta salah seorang daripada pembantu tadi memanggil               
kesemua anak Allahyarham. Allahyarham pada dasarnya seorang yang
beruntung kerana mempunyai tujuh orang anak, dan semuanya lelaki. Seorang berada di
luar negeri dan enam lagi berada di sini. Bila semua anak Allahyarham masuk, saya
menasihati mereka. Saya mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab saya hanyalah membantu menguruskan jenazah bapa mereka,
bukan menguruskan sepenuhnya tanggungjawab tersebut. Sepatutnya sebagai
anak, merekalah yang lebih afdal menguruskan jenazah bapa mereka itu, bukannya tok
imam, tok bilal, tok siak.
Saya kata, mungkin satu masa dahulu ibu mereka sibuk maka       
Allahyarham juga pernah memandikan mereka. Itulah jasa dan pengorbanan
seorang bapa. Tetapi saya kesal kerana dalam saat-saat begini anak-anak Allahyarham
tidak langsung hendak membalas jasa bapa mereka itu biarpun di saat akhir jasadnya di muka bumi ini.                                   
                                                                                  
Saya kemudiannya meminta izin serta bantuan mereka untuk menonggengkan           
mayat itu. Takdir Allah, apabila ditonggengkan sahaja mayat tersebut,
tiba-tiba keluarlah ulat-ulat yang masih hidup. Hampir sebesen banyaknya. Besen
itu boleh dianggarkan besar sedikit daripada penutup bilah kipas meja.                     
Subhanallah....suasana menjadi semakin panik. Saya terus bertenang dan
berharap tidak berlaku lagi kejadian-kejadian yang lebih ganjil. Selepas itu
saya mandikan semula mayat tersebut dan saya ambilkan wuduk. Saya minta anak-anaknya mengambil kain kafan. Saya bawa mayat tersebut ke dalam biliknya dan tidak
diizinkan seorang pun melihat upacara itu kecuali waris yang terdekat, sebab saya takut perkara-perkara yang lebih aib akan berlaku.
Takdir Allah jua yang menentukan. Apabila mayat ini diletakkan di atas kain kafan, saya dapati kain kafan itu  cukup-cukup hujung kepala dan kakinya, tidak ada lebih. Maka
saya tak boleh nak ikat kepala dan kakinya. Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa kain kafan itu seperti tidak mahu  menerima mayat tadi. Tidak apalah, mungkin saya yang silap semasa memotongnya. Lalu saya ambil baki kain, saya potongkan dan tampungkan di tempat-tempat yang kurang. Memang kain kafan jenazah itu jadi tidak
berapa elok, tetapi apa nak buat itu sahaja yang boleh saya lakukan. Pada
masa yang sama saya berdoa kepada Allah, Ya Allah, jangan Kau hinakan
jenazah ini ya Allah, cukuplah sekadar peringatan kepada hambamu ini. Selepas itu
saya berikan taklimat tentang sembahyang jenazah. Tiga kali taklimat diberikan.
Yang hadir hanya 13 orang saja.  
                                                         
                                                                                   

Selepas menyembahyangkan jenazah tadi, satu lagi masalah timbul.
Jenazah itu tidak dapat dihantarkan ke tanah perkuburan kerana tidak ada kereta jenazah. Saya hubungi JAWI, JAIS, Pusat Islam, DBKL, Polis dan sebagainya, tetapi
yang peliknya, mereka juga tidak mempunyai kereta jenazah kerana kereta yang ada
sedang digunakan. Dalam keadaan itu, seorang hamba Allah muncul menawarkan
bantuan.Lelaki itu meminta saya menunggu sebentar untuk membolehkan dia mengeluarkan van dari garaj rumahnya. Kemudian muncullah sebuah van. Tapi ketika dia sedang mencari tempat untuk meletakkan vannya itu di kawasan rumah Allahyarham,
tiba-tiba isterinya keluar. Dengan suara yang tegas dia berkata di khalayak
ramai, Abang, saya tak benarkan kereta saya ini digunakan untuk mengangkat jenazah
itu sebab semasa hayatnya dia tidak pernah benarkan kita naik keretanya.

Renungkanlah,    
kalau tidak ada apa-apa sebab, tidak mungkin seorang wanita yang lembut hatinya akan berkata demikian. Jadi saya suruh tuan punya van itu membawa vannya balik. Selepas itu muncul pula seorang lelaki menawarkan bantuannya. Lelaki itu mendakwa dia adalah anak murid saya. Dia meminta izin daripada saya dalam 10-15 minit untuk membersihkan keretanya itu. Dalam jangka waktu yang ditetapkan itu, muncul kereta tersebut. Tetapi dalam keadaan yang basah kuyup. Kereta yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah sebuah lori, dan lori itu digunakan oleh lelaki tadi untuk menjual ayam.
Renungkanlah,
pernahkah kita melihat satu jenazah dibawa ke kubur dengan lori ayam? Dalam
perjalanan menuju ke kawasan perkuburan, saya berpesan kepada dua pembantu tadi supaya ahli masyarakat tidak payah membantu kami menguburkan jenazah tadi. Saya suruh mereka pergi kubur saudara mara dan sahabat mereka, itu lebih baik. Saya tidak mahu mereka melihat apa-apa lagi peristiwa ganjil. Rupanya apa yang saya takutkan itu
berlaku sekali lagi - takdir Allah yang terakhir amat memilukan. Bila sampai sahaja
jenazah tersebut ke kuburnya, saya perintahkan tiga orang anaknya turun ke
dalam liang lahad dan tiga lagi turunkan jenazah. Takdir Allah, apabila jasad
jenazah itu mencecah sahaja ke bumi, tiba tiba air hitam yang busuk baunya keluar
dari celah-celah bumi yang pada asalnya kering. Hari itu tidak hujan, tetapi dari mana
datangnya air itu? Sukar untuk saya menjawabnya.
Lalu saya arahkan anak Allahyarham supaya sendalkan jenazah bapa mereka dengan kemas. Saya takut nanti ia akan terlangkup.... naĆ¢uzubillah. Kalau mayat terlangkup, tidak ada harapan untuk mendapat syafaat Nabi saw. Papan keranda diturunkan dan kami segera kambus kubur tersebut. Selepas itu kami injak-injakkan tanah supaya mampat dan bila hujan ia tidak mendap. Tapi sungguh menyayukan, saya perhatikan tanah yang
diinjak itu menjadi becak. Saya tahu, jenazah berkenaan ditenggelamkan oleh air
hitam yang busuk itu. Melihatkan keadaan tersebut, saya arahkan anak-anak
Allahyarham supaya berhenti menginjakkan tanah itu. Tinggalkan dalam suku meter, timbus dan bataskan. Ertinya kubur itu tidak dikambus hingga ke permukaan lubangnya, tetapi ia seperti kubur berlubang. Tidak cukup dengan itu, apabila saya hendak membacakan talkin, saya tengok tanah yang diinjak itu ada kesan serapan air. Masya-Allah, dalam sejarah hidup saya, inilah julung-julung kalinya peristiwa seperti itu terjadi.
Melihatkan keadaan itu, saya mengambil keputusan untuk menyelesaikan pengebumian secepat mungkin. Sejak sekian lama terlibat dalam pengurusan jenazah, inilah mayat yang saya cuma hanya bacakan tahlil dan doa yang paling ringkas. Setelah itu saya pulang ke rumah Allahyarham dan himpunkan keluarganya. Saya bertanya kepada isteri Allahyarham, apakah yang telah dilakukan oleh Allahyarham
semasa hayatnya. Adakah dia pernah menzalimi orang alim, mendapat harta
secara merampas, menipu rasuah, memakan harta masjid dan anak yatim? Isteri allahyarham tidak dapat memberikan jawapan. Untuk pengetahuan umum, anak-anak Allahyarham merupakan orang-orang yang berpendidikan tinggi sehingga ada seorang yang beristerikan orang Amerika, seorang dapat isteri orang Australia dan seorang lagi isterinya orang Jepun. Saya bertambah sedih apabila dua orang yang membantu saya menguruskan jenazah tadi menelefon saya. Mereka kata mereka terkilan pada sikap keluarga Allahyarham kerana membantu saya menguruskan
jenazah Allahyarham kerana anak-anak Allahyarham telah menjadikan
mereka sebagai musuh. Saya bertanya, adakah mereka menceritakan kisah itu kepada
masyarakat? Mereka kata TIDAK.
Peristiwa ini akan tetap saya ingat sampai bila-bila. Kepada masyarakat, tanyalah diri kita adakah kita mahu peristiwa itu terjadi pada diri kita sendiri, ibu bapa kita, anak kita atau kaum keluarga kita? Adakah kita mahu peristiwa ini berlaku berulang-ulang kali sehingga sampai satu masa nanti di mana masyarakat menganggap peristiwa ini sebagai perkara biasa? Sedangkan ini adalah petanda yang Allah turunkan agar kita mengambil ikhtibar di atas apa yang telah kita kerjakan. Allah lebih Maha Mengetahui dan Dia memberikan peringatan pada hambanya yang mahu berfikir.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
:: Untuk apa meraih kecintaan manusia andai diri dimurkai Sang Pencipta. Berilmu bukan bererti menunjukkan kepandaian tetapi hanyalah utk diamalkan. Tiada berguna memperoleh sanjungan disisi ramai andai diri hina disisi Tuhan. Aku hanyalah seorang hamba hina yg sering diselubungi dosa-dosa. Hanya mampu merayu dan mengharap agar diri ini kembali bersih sebelum pergi mengadap Illahi::




Red Butterfly