Monday, February 13, 2012

Mencari Penawar Qaseh 2



BAB 2

Aleeya sudah sampai di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor. Aleeya masih terbayang-bayang wajah ibunya tadi selepas menghantar pemergian Aleeya ke tempat barunya. Aleeya menangis teresak-esak di dalam pelukkan Datin Farhana, tidak sanggup rasanya dia berjauhan daripada ibunya yang tersayang. Selama hidupnya, inilah kali pertama Aleeya berpisah daripada ibu dan ayah tirinya. Datuk Othman tidak dapat turut serta menghantar Aleeya ke universiti kerana sibuk dengan seminarnya di Selangor.

“Leeya, pandai-pandai jaga diri nanti ya sayang, jaga tingkah laku, maruah keluarga, tahu? Kalau ada apa-apa terus telefon mama atau ayah dan yang paling penting solat jangan tinggal,”

Masih terngiang-ngiang rasanya suara Datin Farhana sewaktu menitipkan pesanan terakhir buat dirinya. Itulah kebiasaan ibunya, sentiasa mahu yang terbaik untuk anaknya. Aleeya tersenyum sendirian sambil memusing-musingkan telefon bimbitnya yang masih didalam genggaman tangannya.

Sekarang Aleeya berada di dalam bilik asramanya sendirian, menanti teman sebiliknya Ummi Kalsum yang baru dikenalinya selepas sesi pendaftaran asrama untuk pelajar baru tadi. Ummi Kalsum masih keluar bersama keluarganya untuk membeli barang keperluan lain. Selesainya Aleeya mengemas segala barang-barangnya, Aleeya terus menghantar mesej kepada Dina.

Dina juga turut mendapat universiti yang sama dengan Aleeya, cuma mereka tidak ditempatkan di bilik yang sama. Dina sudah berjanji tadi kepada Aleeya yang dia akan ke bilik Aleeya untuk menemani Aleeya tidur,  kerana Ummi Kalsum tidak balik ke asrama malam itu untuk bermalam bersama dengan keluarganya di ‘hotel’.
Aleeya dan Dina mengambil kursus yang sama, Bachelor education in Sport Science. Ummi Kalsum pula tidak mengambil kursus yang sama dengan Dina dan Aleeya, dia mengambil kursus Bachelor education in Mathematics.Manakala Rozita dan Balqis sekarang di Universiti Sains Malaysia, jauh di utara Malaysia. Aleeya berasa rindu dengan teman-teman yang lain.

Aleeya tiba-tiba teringatkan Muhaimin. Dia tidak dapat menghubungi Muhaimin lagi selepas sekian lama, namun cinta di dalam hati masih subur dan mekar di tanamnya. Mungkin suatu hari nanti akan ku temui dirinya, Syed Abdul Muhaimin bin Syed Abdul Ghani. Aleeya bermonolog di dalam hati.

***

Petang itu Aleeya, Dina dan Ummi Kalsium berjoging di sekitar kampus mereka. Tidak menyangka masa berlalu begitu pantasnya, dirasakannya baru semalam sahaja melihat ibunya, Datin Farhana menghantarnya ke Universiti. Namun perjuangan harus diteruskan, apa yang telah dimulakan harus ditamatkan sehingga ke akhirnya.
Mereka sekejap berjalan dan sekejap berlari-lari, dengan suasana petang itu yang agak cerah memang sesuai untuk mereka bersenam. Akhirnya mereka berhenti di bawah sepohon pokok yang rendang untuk melepaskan lelah.

Tiba-tiba Aleeya perasan ada mata yang meliar memandang ke arah mereka waktu itu, dari penglihatannya di seberang sana merupakan padang ragbi dan bola sepak. Orang ramai mula membanjiri padang itu untuk melepaskan gian bersukan dipetang hari.
“Alhamdulillah, sudah hampir sebulan ye kita kat sini.” Ummi Kalsum mengesat peluhnya yang mula gugur diwajahnya dengan tuala kecil yang dibawa bersama tadi. Dina dan Aleeya saling berpandangan lalu tersenyum mengiakan kata-kata Ummi Kalsum.

“A’ahlah Leeya, Ummi, Dina pun tak sangka kita dah rapat sebeginikan Ummi. Bila Dina ingat balik masa mula-mula kita masuk U lucu sangat. Lebih-lebih lagi part Ummi tertidur masa sesi suai kenal hari tu. Tak pasal-pasal Dina disebelah kena tempiasnya sekali..haha..haha..”

Ummi Kalsum memandang ke arah Dina dengan senyuman yang kelat, sakit hatinya bila dia teringat kembali situasi dimana dia teramat mengantuk semasa mendengar taklimat sewaktu sesi suai kenal berjalan, tidak semena-mena dia bersama Dina dan Aleeya disuruh pergi ke hadapan untuk mewakili rakan-rakan yang lain membuat senaman ringan untuk memanaskan badan.

“Hish! Biarlah, kau ini Dina tak payahlah diingat lagi benda tuh! Malu aku menginggatnya lagi..”

Aleeya hanya tersenyum nipis melihat telatah teman-temannya yang betelagah diantara satu sama lain. Menjadi rutin hariannya setiap kali melihat dua kawan rapatnya yang sering sahaja bertengkar kerana berbeza pendapat dan sikap masing-masing yang tidak mahu mengalah. Aleeya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tangannya menguis-guis daun kering ditangan. Tercuit jua dihatinya apabila menginggati kembali kejadian itu.

“Haha..haha..Dina bukan apa Ummi. Jatuh saham babe! Lebih-lebih lagi ada air liur basi sekali, aduh! Parah-parah..Dina hanya mampu menggelengkan kepala aje waktu tuh! Dahla ada mamat hensem pulak duk menoleh memandang kita..”
Ummi Kalsum sudah mengipas-ngipaskan hujung tudungnya ke wajahnya untuk membuang rasa panas dirasanya kini sudah semakin membara, lebih tepat lagi panas hatinya yang semakin mencengkam dan membuak-buak melayan kerenah Dina, seperti hanya menunggu masanya sahaja lagi untuk meletus.

“Sudahlah Dina! Malas aku melayan kau, biasalah tuh. Tak cukup tidur. Alah, bukan aku sorang yang tidur masa tu. Banyak lagi orang lain tidur, cuma a..ku..aku aje yang jadi mangsa keadaan…” Semakin menggendur suara Ummi Kalsum apabila terkenang kembali kejadian yang memalukan itu lagi.

Seakan pengalaman yang tidak akan pernah dia lupakan. Memang dia akui sampai sekarang kejadian itu masih menghantui dirinya. Ummi-Ummi, alahai, keluhnya didalam hati.

“Jomlah kita pergi tempat lain pulak, ramai sangatlah orang kat sini,” Aleeya mula berasa tidak selesa, dia dapat merasakan ada mata yang sedang memerhati setiap gerak gerinya.

“Alah Leeya, kejap lagilah, Dina baru aje duduk sekejap ini, okey?” Aleeya sudah berdiri di sebalik sepohon pokok untuk menhindarkan dirinya dari diperhatikan lagi, Ummi Kalsum juga mengikuti langkah Aleeya.

“Si Dina tu bukan apa Leeya, mesti tengah syok skodeng si Hazlan kat sana tu hah yang tengah main ragbi.” Aleeya dan Ummi Kalsum sudah berbisik-bisik sesama sendiri sambil memandang gelagat Dina yang kontrol ayu.

“Huh!  Mengumpat Dina lah tu, jomlah kita pergi main benda lain pulak,” Aleeya dan Ummi Kalsum sudah mengekori langkah kaki Dina yang semakin laju meninggalkan mereka.

Kemudian Aleeya melihat Dina pergi ke sebuah tanah yang lapang, hanya ada taman permainan kecil. Ummi Kalsum dan Aleeya hanya mengangkat bahu sesama sendiri lantas terus mengekori langkah Dina.

Ummi Kalsum seronok melihat ramai anak-anak kecil yang bermain disitu, dia memang suka dengan budak-budak. Lalu Ummi Kalsum bermain bersama-sama dengan mereka. Aleeya juga seronok melihat telatah anak kecil yang riang bermain dengan Ummi Kalsum lalu mengajak Dina sekali.

“Dina, jomlah join kita orang sekali! Tak ada maknanya kau duk melalut berdiri tegak kat situ.” Pelawa Ummi Kalsum bila didapatinya Dina hanya berdiri kaku memandang mereka.

“Hish! Malaslah aku, tak malu ke nanti orang tengok. Jomlah kita pergi tempat lain, haa kita g pusat sukan ajelah.” Dina menoleh ke kiri dan kanannya untuk memastikan orang sekeliling.

“Ek eleh! Bukan kau ke yang ajak kita orang g sini tadi, mehlah! Tok sah malu-malu.”

“Hmm, yelah-yelah.” Dina dengan langkah yang longlai turut serta bermain dengan Aleeya dan Ummi Kalsum.
Mereka bertiga begitu leka sekali bermain buaian dan bergurau senda, tanpa menyedari sekumpulan pemuda lalu melintasi mereka yang hanya tersenyum melihat kerenah mereka. Aleeya menyedari bunyi seperti orang berbisik-bisik, lalu segera berhenti daripada bermain buaian lagi. Berubah rona merah wajah mereka bertiga kerana malu dipandang oleh ‘senior-senior’ mereka yang lagaknya seperti mengejek mereka seperti kebudak-budakan.

“Wei, Leeya, aku tak sedap hatilah. Jomlah kita belah dari sini, Dina. Jomlah,” Ummi Kalsum sudah seperti cacing kepanasan sahaja lagaknya.

“Oi, Ummi ni kenapa. Macamlah kita ada buat salah, kita main aje kot takkan itu pun nak dikenakan denda pulak, bagai pesalah yang menunggu hukuman mati aje gelagatnya. Parah-parah, spoil betullah minah ni Leeya.” Aleeya hanya diam membisu, malas hendak melayan kerenah dua orang sahabat baiknya, dia masih keliru dengan apa yang berada di depan matanya.

Aleeya dapat merasakan sesuatu dihatinya, apabila terpandangkan wajah seseorang diantara ramai-ramai pemuda yang lalu tadi seperti pernah dilihatnya, tetapi Aleeya kurang pasti dimana. Malas Aleeya mahu menyusutkan lagi fikirannya lalu memandang ke arah Dina yang sudah berlari-lari anak menuju ke asrama mereka, Ummi Kalsum dan Aleeya juga turut beransur pulang apabila terdengar azan maghrib sudah berkumandang. Sejak itu Aleeya bertekad di dalam hati tidak akan menjejaki kaki ke taman permainan itu lagi.

***

Tibanya Aleeya dan Dina di dalam bilik kuliahnya pagi itu, mereka dikejutkan dengan sekuntum mawar merah di atas meja tempat Aleeya selalu duduk. Lalu Dina cepat-cepat berlari anak ke tempat duduk mereka untuk mengenal pasti milik siapakah bunga itu dan dari siapakah gerangan pengirimnya.
“Leeya! Lekaslah ke sini, ini ada bunga untuk Leeya. Ingat untuk Dina tadi, huh!” Dina kecewa bila didapatinya bunga mawar berwarna merah tadi bukanlah di beri kepadanya, lalu diletakkannya kembali di atas meja milik Aleeya.
“Eh, untuk Leeya ke? Siapa pulak yang bagi Leeya bunga ni?” Aleeya terus mencapai sekuntum mawar merah di atas mejanya. Lalu dilihatnya nama pengirim pada kad kecil yang terselit di sebalik bungkusan bunga itu tadi.

To: Nur Qaseh Aleeya
Secantik mawar yang mengembang, begitulah awak Nur Qaseh Aleeya, saya tak tahu di mana kekurangan mahupun celanya awak. Izinkan saya menghampiri mawar ini meskipun saya tahu saya mungkin akan terluka kerana durinya’
From: Mr. X

“Hah, Mr. X!” Hampir serentak pertanyaan itu keluar dari mulut Aleeya dan Dina, lalu mereka sama-sama ketawa.

“Untunglah Leeya, ada secret admire. Tak macam Dina ni, sorang pun tak nak!” Dina mula berjauh hati, kerana dirinya tidak di pandang lelaki lain seperti mana Aleeya yang baru sahaja menapak sebulan berada di sini bersama-sama dengannya.

“Alah Dina, janganlah cakap macam tu. Mungkin ada orang nak main-mainkan Leeyalah ni kot...” Aleeya terus menyimpan bunga mawar tadi ke dalam beg sandangnya, tidak mahu Dina terasa hati melihat pemberian daripada orang yang dia tidak kenali itu.

***

Aleeya masih tertanya-tanya tentang siapakah gerangannya pengirim rahsianya selama ini, Ummi Kalsum yang baru sahaja pulang setelah selesai kuliahnya hairan melihat Aleeya hanya duduk termenung di atas katil. Lalu dihampirinya Aleeya yang masih belum menyedari kehadirannya di dalam kamar mereka.

“Assalamualaikum, Leeya, Leeya. Hei, kenapa termenung aje ni?” Aleeya tersedar dari lamunannya yang panjang, apabila didapatinya Ummi Kalsum sudah berada di sebelahnya lalu dipeluknya tubuh itu.

“Leeya, kenapa tiba-tiba aje ni? Kau ada masalah ke?” Ummi Kalsum sudah keliru melihat situasi Aleeya yang seperti mempunyai masalah yang sangat besar sahaja.
“Tak adalah Ummi, aku kecik hati aje dengan sikap Dina tadi, dia tiba-tiba aje marah kat aku, aku pun tak tahu kenapa dia berubah sikap macam itu sekali,” Aleeya sudah teresak-esak menangis dibahu Ummi Kalsum, dia bagaikan tidak percaya kawan yang dikenalinya dari sekolah menengah lagi telah membelakangkan dirinya.

“Dina? kenapa? Kau ada buat salah ke dengan Dina? Kot-kot dia ada kecik hati dengan kau ke,” Aleeya sudah berbaring di atas katilnya sambil meletakkan kedua-dua tangannya ke belakang kepalanya.

“Entahlah Ummi, aku pun tak pasti. Mungkin jugak aku ada menyinggung perasaan Dina kot. Nantilah aku jumpa dengan Dina, thanks Ummi let me cry in your shoulder.” Ummi Kalsum hanya mengangguk seraya memberi senyuman manis buat Aleeya.

“Leeya, ada lagi tak Mr. X kau bagi hadiah? Nak tahu jugak perkembangan terbaru.” Ummi Kalsum dan Aleeya sudah beralih ke topik yang lain pulak, lantas Aleeya bangun lalu terus duduk di sebelah Ummi Kalsum sambil mengesat sisa air mata tadi ditubir matanya.

 “A’ahlah Ummi, aku lupalah pasal Mr. X tuh. Entahlah, aku pun tengah tercari-cari siapakah gerangan pengirim rahsia aku selama ni. Geram aku tau, kalau diikutkan hati mahu aje aku buang semua hadiah dia bagi kat aku dalam tong sampah tu hah!” Aleeya sudah naik hantu bila teringat kembali ‘secret admire’ yang selalu mengirimkan hadiah-hadiah kepadanya.

Kini sudah tiga bulan dia mnerima hadiah daripada ‘Mr.X’, sekali dalam seminggu mesti ada sahaja hadiah yang berbeza-beza yang akan diletakkan di atas meja bilik kuliah Aleeya, kalau tidak pun ada sahaja orang suruhannya yang menghantar terus kepada Aleeya. Aleeya pun pelik, melihat pada jadual belajarnya yang tidak menentu, pasti orang ini mengetahui selok-belok semuanya tentang diri Aleeya, jadual kuliah dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa hidup Aleeya.

“Leeya, tak baiklah buat macam tu. Orang dah kasi kita terima ajelah, insya-ALLAH kau akan bertemu jugak dengan Mr. X tuh. Tunggu masanya aje lagi Leeya,” Aleeya sudah mencebikkan bibirnya tanda dia tidak menyukai apa yang diperkatakan oleh Ummi Kalsum.

“Sampai bila Ummi, aku dah tak tahanlah dengan semua mainan ini. Kalau aku jumpa Mr. X tu nanti, siaplah!” Aleeya sudah melemparkan bantalnya ke katil Ummi Kalsum.
“Hah, nak mengamuklah tu, relaxlah Leeya. Kalau kau tak suka hadiah-hadiah tu kau bagi aje kat aku, senang, habis cerita…” Ummi Kalsum sudah mempamerkan barisan giginya yang putih kepada Aleeya, lalu Aleeya mengeletek badan Ummi Kalsum sehingga mereka terjatuh terjelopok ke bawah katil.

“Leeya, sudahlah. Penatlah aku ketawa, okey-okey, aku main-main ajelah!” Aleeya melepaskan Ummi Kalsum dari pegangannya lalu melangkah pergi menghampiri almari pakaiannya.

“Jangan haraplah aku nak bagi kat kau semua hadiah ni. Tapi kan Ummi, aku rasa macam dah tak cukup semua hadiah ni dalam almari aku,” Aleeya sudah duduk mencangkung dihadapan almarinya sambil meletakkan kedua-dua tangannya ke dagu, Ummi Kalsum juga pergi ke arah Aleeya lalu duduk di sebelahnya.

Mereka masing-masing diam seribu bahasa, hanya memerhati hadiah-hadiah yang berlonggok di dalam almari milik Aleeya. Akhirnya Aleeya menolak tubuh Ummi Kalsum sehingga dia jatuh terduduk, lalu Aleeya terus berlari anak untuk menyelamatkan dirinya ke katil.

“Leeya! Tunggulah kau…” Ummi Kalsum pula mula berasa geram lalu dirapatinya Aleeya secara perlahan-lahan seperti cuba untuk menangkap Aleeya.

Aleeya cuba untuk menyelamatkan dirinya daripada ditangkap oleh Ummi Kalsum namun sukar baginya untuk melepaskan diri kerana Ummi Kalsum sudah semakin hampir ke arahnya, Aleeya sudah melompat-lompat di atas katil minta dilepaskan, hanya itu yang mampu dia lakukan.

“Ummi! Janganlah, okey! sorry-sorry. Aku janji tak buat lagi. Ummi!” Tanpa mempedulikan kata-kata rayuan dari Aleeya tadi, Ummi  Kalsum tetap meneruskan niatnya untuk mengenakan Aleeya kembali. Lalu Ummi Kalsum terus melompat ke atas katil Aleeya sambil membaling bantal ke arahnya. Gamat bilik mereka dengan bunyi bingit gelak ketawa Aleeya dan Ummi Kalsum.

“Leeya…”

Tanpa mereka sedari, terdengar satu suara yang perlahan menyapa mereka berdua, Dina datang ke bilik mereka. Aleeya dan Ummi Kalsum yang sedang bersorak gembira membaling bantal di antara satu sama lain terus terdiam melihat kehadiran Dina yang tanpa di duga itu.

“Eh Dina, sorry Leeya tak perasan Dina tadi, masuklah,” Dina sudah berasa serba salah kerana menganggu Aleeya dan Ummi Kalsum bergurau senda. Belum sempat kakinya melangkah pergi, terdengar pula Ummi Kalsum memanggil namanya.

“A’ahlah Dina, buat apa berdiri kat luar tuh. Marilah masuk join kita orang main baling bantal. Syok!”

Dina sudah memandang wajah Aleeya seperti meminta simpati, lalu Aleeya mengangguk dan menghulurkan tangannya. Dina dengan tidak berpaling lagi terus melangkah mendapatkan Aleeya dan Ummi Kalsum, lalu mereka terus berdakapan, agak lama baru mereka bertiga meleraikan pelukan itu.

“Leeya, Dina mintak maaf pasal tadi sebab marah-marah Leeya. Dina bad mood tadi, biasalah…” Dina belum sempat menghabiskan ayatnya yang terakhir tiba-tiba Aleeya dan Ummi Kalsum menyambung.

“Biasalah orang bercintalah katakan!” Dina berasa malu apabila diperkatakan sedemikian rupa, lalu mengambil bantal dan membaling ke arah kedua-dua teman karibnya. Bilik mereka gamat dipenuhi dengan bunyi gelak tawa mereka.

Sudah diketahui oleh Aleeya mahupun Ummi Kalsum tentang perhubungan diantara Dina dengan Hazlan seminggu yang lalu. Aleeya tumpang gembira melihat kebahagiaan yang dikecapi oleh Dina itu, mereka pun sudah sedia maklum sekarang, status Ummi Kalsum yang sudah menjadi tunangan orang.

Hanya dirinya sahaja yang belum berpunya, menanti kekasih hati yang belum jua kunjung tiba, tidak diketahui ke mana perginya. Sudah berpunyakah dia? Soalan itu sering sahaja bermain di benak fikirannya. Menanti sesuatu yang belum pasti memang amat menyakitkan. Penantian itu suatu penyeksaan, tetapi ia akan membuahkan hasil yang manis di pengakhiran cerita cintanya. Aleeya pasti kebahagian itu akan menjadi miliknya suatu hari nanti kerana jodoh, pertemuan dan ajal sudah di tentukan oleh yang maha esa. Dia hanya menuruti segala apa yang telah tersurat didalam hidupnya, jika Syed Abdul Muhaimin bin Syed Abdul Ghani itu jodohnya, akan ku temui dirinya suatu hari nanti.

***

Hye! Korang buat apa ni?” Dina menegur Aleeya dan Ummi Kalsum yang sedang leka mencatat sesuatu diatas kertas. Aleeya dan Ummi Kalsum melihat ke arah yang sama, Aleeya melihat Dina sedang memaut tangannya di lengan Hazlan. Hazlan hanya memandang mereka dengan muka yang sombong dan senyuman yang sinis.

 “Eh Dina, ingat siapa tadi. Urm, tak adalah kita orang tengah study aje, tak lama lagikan nak final exam.” Ummi Kalsum menjawab pertanyaan tadi bagi pihak Aleeya, dilihatnya Aleeya hanya diam membisu seperti malas hendak melayan Dina.

“Ow…” Jawab Dina bersahaja sambil menjeling ke arah Aleeya.
Dina hanya memandang remeh dan sambil lewa sahaja soal pelajarannya, Aleeya tidak menyukai dan menyenangi sikap Dina yang mengambil mudah didalam mencaturi jalan hidupnya, Dina seperti tidak memikirkan masa depannya sahaja. Walaupun Dina berasal daripada golongan yang berada dan mampu melanjutkan pelajarannya sehingga ke luar negara tetapi itu bukan tiket atau passport yang membenarkan Dina membuat keputusan sedemikian rupa.

Apa yang telah Dina pilih adalah jalan hidup yang dia sendiri pilih untuk terus melanjutkan pengajian bersama-sama Aleeya ke universiti yang sama. Aleeya tidak mahu kawan-kawan seperjuangannya yang bersama-sama dengannya tertinggal dibelakang, sedangkan dia tidak dapat menoleh ke belakang lagi untuk bersama-sama tersungkur.

Tujuan Aleeya dan Dina mungkin berbeza,tetapi matlamatnya hanya satu, dia mahu merealisasikan impiannya untuk menjadi kenyataan dan membanggakan ibu, ayah tiri dan arwah ayahnya dengan kejayaan yang akan dia perolehi.

“Ow, rajinnya. Eh Leeya, Prof. Kadir ada bagi apa-apa assignment or tutorial tak tadi? Aku tak sedap badanlah, tu lah pasal tak g kuliah,” Aleeya memandang wajah Ummi Kalsum disebelahnya, lalu menutup bukunya.

“Hmm, ada. Banyak sangat assignment Dina tak buat and submit kat prof,” Aleeya menjawab pertanyaan Dina ala kadar sahaja, sambil tangannya ligat meletakkan buku-bukunya kembali ke dalam beg. Ummi Kalsum yang melihat gelagat Aleeya seperti hendak beredar, turut serta mengemas barang-barangnya yang lain juga masuk ke dalam beg sandangnya.

“Ow ye ke, alah Leeya tolonglah Dina buat assignment tu, Okey? Please…” Dina sudah memeluk lengan Aleeya sambil merayu-rayu.

“Hmm, yelah…” Aleeya hanya menjawab sambil lewa sahaja, dia tidak tahu hendak mengata apa lagi. Puas sudah Aleeya menasihati Dina, tetapi Dina tetap begitu. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri, itulah perumpamaan yang sesuai untuk ‘describe’ sikap Dina sekarang.

“Okey! Thanks Leeya, Leeyalah kawan Dina. Okeylah, Dina gerak dulu. Nanti ada apa-apa hal contact Dina tau! Later,” Dina terus berlalu pergi sambil sempat mencium pipi Aleeya, Ummi Kalsum dan Aleeya terkejut dengan tindakannya yang melulu lantas hanya memandang pemergian Dina dan Hazlan dengan ekor mata dan gelengan di kepala sahaja.

“Leeya, aku tengokkan budak si Hazlan tu tak sukalah dengan kita. Dari mimik muka dia tadi yang berlagak tu, huh! Menyampah aku menengoknya. Kenapalah si Dina tu boleh jatuh cinta dengan lelaki macam tu.” Ummi Kalsum sudah mengomel-omel melihat sikap Dina yang dari hari ke hari telah berubah, tidak seperti dia kenali empat bulan yang lalu.

“Biarlah Ummi, aku tumpang bahagia aje tengok Dina sekarang. Apa yang dia harapkan selama ini dia dah dapat. Kita sebagai sahabat mestilah menyokong dengan keputusan yang dia buat,” Aleeya pula menasihati Ummi Kalsum supaya tidak menghiraukan sikap Hazlan yang sememangnya diakuinya sombong dan angkuh.

“Memanglah Leeya, aku pun suka tengok Dina tu bahagia. Tapi takkan sampai abaikan pelajaran kot. Orang lain bercinta jugak, taklah jadi belangkas macam tu! Tengok tadi semua assignment dia suruh kau aje buatkan, kau pun relax-relax lu aje mengiakan kata-kata si Dina tuh! Kalau aku tak sangguplah jadi kuli dia aje. Hmm, baik mesti kena dengan tempatnya jugak Leeya, kau tak patut biarkan Dina tu pijak-pijak kepala kau, aku bukan apa, tak nak kau menyesal nanti,” Ummi Kalsum hanya melihat Aleeya mengeluh disebelahnya, dia tahu jauh dilubuk hati Aleeya dia amat mengesali sikap Dina itu.

“Entahlah Ummi, aku dah puas dah nasihatkan Dina tu, kau pun tahukan. Aku malaslah nak fikir semua ini, suatu hari nanti aku pasti Dina akan sedar.” Ummi Kalsum hanya mengiakan kata-kata Aleeya, malas dia mahu ambil tahu lagi soal Dina. Cukuplah dia dan Aleeya sudah memberi nasihat, sekurang-kurangnya lepaslah tanggungjawab mereka saling menginggati dengan saudara sesama Islam. Selepas itu apa yang Dina lakukan terpulang dengan dirinya sendiri.

“Yelah Leeya, jomlah kita balik.” Ummi Kalsum dan Aleeya sudah menggangkat kaki meninggalkan taman di kampus mereka.

Memang tempat itu menjadi tempat kegemaran mereka jika ingin mengulangkaji pelajaran, dengan suasana yang sunyi dan terasa damai memang sesuai untuk mereka belajar. Kalau di asrama macam-macam dugaan yang bakal dihadapi dan melemahkan mereka untuk terus mengulangkaji pelajaran.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
:: Untuk apa meraih kecintaan manusia andai diri dimurkai Sang Pencipta. Berilmu bukan bererti menunjukkan kepandaian tetapi hanyalah utk diamalkan. Tiada berguna memperoleh sanjungan disisi ramai andai diri hina disisi Tuhan. Aku hanyalah seorang hamba hina yg sering diselubungi dosa-dosa. Hanya mampu merayu dan mengharap agar diri ini kembali bersih sebelum pergi mengadap Illahi::




Red Butterfly