Saturday, November 19, 2011

Kawan, Teman & Sahabat

KAWAN,TEMAN & SAHABAT.


Salam ukhwah buat semua muslimin dan muslimat,

Apa itu kawan, teman dan sahabat? Pelbagai definisi yang kita boleh berikan untuk maksudnya tersendiri. Apakah perbezaan diantaranya pula?

Kawan boleh didefinisikan sebagai kawan yang kita kenal tetapi tidak rapat, mungkin hanya kawan sekelas, sekuliah, sepejabat atau erti kata lain “Kawan jika perlu sahaja”. Manakala teman pula boleh didefinisikan sebagai teman yang akrab dengan kita, selalu bersama dengan kita dan sering ada jika kita perlukan. Berbeza pula dengan sahabat, sangat tinggi maksud sahabat itu sendiri kerana seorang sahabat bukan sahaja sering ada jika kita perlukan, bahkan sentiasa ada ketika kita di dalam kesusahan dan kesenangan. Memberikan pertolongan yang ikhlas, tidak mengkhianati sahabatnya sendiri malahan sesiapa yang mengata sahabatnya umpama dirinya jua terasa lukanya. Itulah nilai persahabatan yang sebenar.

Anda sendiri pasti mempunyai kawan,teman dan sahabat masing-masing kerana selain adik-beradik dan keluarga kita, kawan adalah yang paling dekat dengan kita.

Dalam kita menjalani kehidupan seharian, pasti masa kita banyak dihabiskan dengan rakan-rakan daripada keluarga kita sendiri bukan, kerana ketika hendak ke sekolah, ke kuliah, ke tempat bekerja dan membeli belah. Pasti teman yang menjadi peneman kita, jika kita tidak mempunyai teman selain keluarga kita. Kita akan merasakan kesunyian dan kesepian, tiada tempat untuk bermain, tiada teman untuk berbicara dan tiada kawan untuk bersuka ria.

Hidup pasti dirasakan tidak bermakna dan kita mudah bercenderung melakukan sesuatu diluar kawalan kita, kurang keyakinan diri, tiada hala tuju hidup, sentiasa berfikiran negatif dan sering bersendirian. Lantaran itu, kawan,teman atau sahabat memainkan peranan yang penting dalam hidup kita. Kerana apa-apa yang berlaku di dalam hidup kita adalah hasil dari keputusan di tangan kita sendiri di di dalam memilih rakan yang baik dan sebaliknya.

Rakan yang baik adalah ketika kita melihat wajahnya kita akan teringat akan Allah s.w.t, dan rakan yang baik akan membimbing kita ke jalan yang lurus dan benar. Bukan menambah minyak ke dalam api bahkan jika kita dikhianati rakan kita sendiri kita perlu berfikiran positif walaupun pahit untuk ditelan tetapi pengakhirannya pasti manis belaka kerana adanya tolak ansur serta saling bermaaf-maafan. Jika perbuatan jahat itu dibalas jahat, maka akan terjadinya perbalahan dan pergaduhan.

Contohnya, si A mengumpat tentang si C kepada si B, lalu si B pula membongkarkan rahsia itu kepada si C yang si A juga ada mengatakan perkara tidak elok tentang si C. Si C pula menceritakan kepada si A tentang si B yang mengatanya pula lalu si A,B dan C marah. Lantas berlakunya perang dingin diantara satu sama lain, sepatutnya si B tidak memanjangkan perkara itu. Jalan penyelesaiannya, bersemuka dan memberitahu apa yang terbuku dihati, pasti ada perkara yang kurang senang dilakukan oleh rakan kita kepada diri kita, jadi dengan adanya tolak ansur dan tidak saling mencari kesalhan orang lain pasti perbalahan itu dapat diselesaikan dengan baik. Bukan dengan menyebarkan fitnah dan membuat onar tentang rakan sendiri.

Banyak unsur yang boleh dikatakan seperti kawan ikut kawan atau kawan makan kawan? Pernahkah anda merasakan diri dikhianati kawan, teman dan sahabat anda? Pasti pernah bukan, dan bagaimana jalan penyelesaian yang anda ambil? Adakah dengan memulaukan mereka, saling berdendam sesama sendiri, membalas segala perbuatan jahat dengan jahat atau diakhiri dengan kekesalan.

Sebaik-baik jalan penyelesaian adalah berminta maaf atas kesalahan yang dilakukan tanpa sedar dan sedar, kerana perkataan maaf itu cukup membuktikan keikhlasan kita dan kejujuran kita di dalam menghargai nilai persahabatan yang terjalin. Buktinya kita sanggup mengetepikan ego sendiri dan lebih memilih untuk berminta maaf, kerana keegoaan semata-mata hanya boleh menghancurkan hidup kita sendiri kerana sikap tidak bertimbang rasa dan tidak puas hati.

Memang kata maaf itu kadang-kadang sukar untuk dikatakan, tetapi sebenarnya sangat mudah jika kita buang segala rasa yang negatif di dalam hati, jangan kerana nila setitik buruk susu sebelanga, jangan kerana kesalahan yang kecil hanya sebesar zarah anda menghakimi rakan anda dengan sedemikian rupa, malahan berilah mereka peluang untuk kembali ke jalan yang benar.

Tidak kira siapa salah, siapa benar, kata-kata maaf itu dapat mengembalikan keadaan yang keruh kembali jernih. Jangan biarkan diri dibelenggu dengan kata-kata nista orang lain,hasutan-hasutan syaitan atau mengikut kata hati. Bahkan, sama-sama melakukan perubahan supaya ikatan persahabatan yang terjalin itu adalah satu ikatan yang suci.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
:: Untuk apa meraih kecintaan manusia andai diri dimurkai Sang Pencipta. Berilmu bukan bererti menunjukkan kepandaian tetapi hanyalah utk diamalkan. Tiada berguna memperoleh sanjungan disisi ramai andai diri hina disisi Tuhan. Aku hanyalah seorang hamba hina yg sering diselubungi dosa-dosa. Hanya mampu merayu dan mengharap agar diri ini kembali bersih sebelum pergi mengadap Illahi::




Red Butterfly