Tuesday, August 23, 2011

Hidayah Itu Milik Allah


Firman Allah: “Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang kamu kasih tetapi hanya Allah akan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki.” (Surah Al-Qasas ayat 56).
Sebagaimana firman Allah S.W.T, hanya Dia sahaja yang dapat memberikan hidayah itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, bergantung kepada kita umat mukmin supaya berusaha untuk mendapatkannya atau kita hanya menanti sehingga hidayah itu kunjung tiba?
Mesti pernah sedetik atau sekelumit jua perasaan kita berkata ingin berubah, suara hidayah yang berbisik-bisik agar kita berubah ke jalan Allah. Adakah kita menepis sehabis mungkin, mendengar segala bisikan-bisikan syaitan dan godaannya atau disebaliknya?
Untuk memperoleh hidayah Allah, kita bukan hanya perlu menunggu sehingga hidayah itu datang, kita perlu berusaha untuk menggapainya. Bagaimana caranya? Lantaran itu lakukanlah perubahan, yang buruk perbanyakkan kebaikkannya, yang baik tidak salah jika mahu menjadi yang lebih baik. InsyaAllah dengan berkat kita berdoa, berusaha dan bertawakal apa yang dihajati akan diperkenankan oleh Allah S.W.T. dengan izinNya.
Acap kali kita dengar perkataan ini, “Belum sampai seru…”, “Nantilah, tunggu aku dah tua.” “Alah relax lu, kitakan masih muda, tak best lah tinggal benda tu,” “Tunggu dululah, tak ready lagi..”,”Belum terbukalah pintu hati ini nak insaf, sat lagilah aku bertaubat…”
Bermacam-macam alasan diberikan, agar tidak dibebani dengan segala perkara yang disuruh dan sukar untuk meninggalkan perkara yang dilarang. Seribu satu alasan pun yang diberi, kita sebenarnya belum cukup kuat untuk melakukan perubahan itu, mencipta pelbagai alasan agar diri selamat daripada dipaksa melakukan perubahan. Mungkin kerana timbulnya rasa malu apabila orang melihat perubahan kita membuatkan kita memadamkan hasrat untuk berubah, “Eh, kau tengok minah tu, dah berubahlah” “A’ah lah, dia dah pakai tudung,”, “Alah, tu mesti boyfriend dia suruh pakai tudung.” “On off jer tudung dia tu, baju masih juga ketat,”,”Rajinlah mamat tu pergi masjid, dulu kaki lepak tu…”
Kita takut dilemparkan pelbagai tohmahan atas perubahan yang dilakukan, untuk apa kita takut dan malu. Bah kan, kita berubah untuk ke arah kebaikkan bukan ke arah keburukkan, jika kita masih malu untuk melakukan perubahan itu bagaimana pula kita tidak berasa malu jika melakukan maksiat, melakukan perkara yang dikeji dan dilaknat Allah. Kita hanya hamba Allah yang lemah dan serba tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, oleh itu kita perlu berdoa untuk memperoleh kekuatan untuk melawan segala hasutan syaitan yang lagi menyesatkan kerana Allah itu maha mengetahui.
Perubahan bukan menyuruh kita berubah dengan mendadak, insyaAllah berubahlah sikit-sikit, dari sikit itulah ianya akan menjadi banyak. Mulalah dengan meninggalkan segala yang dilarang, melakukan segala yang dikehendaki, mendirikan solat lima waktu, bersedekah, membuat baik kepada yang muslim dan bukan muslim, memyibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan sering menghadiri majlis ilmu serta terus memohon doa kepada Allah agar diberikan hidayah, berdoa dan terus berdoa kepada Allah supaya diberi kekuatan untuk menepis segala hasutan syaitan dan godaannya.
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang pada diri mereka ” QS 13:11
Tidak mustahil manusia yang kaki botol, kaki perempuan, kaki lepak, kaki bunuh dan berbagai jenis kaki lagi sekalipun, jika diizinkan Allah hidayah itu menyapa dan mengetuk pintu hati mereka untuk kembali ke pangkal jalan, mereka mungkin boleh berubah menjadi kaki masjid, kaki solat, kaki sedekah, kaki mengaji,dan selainnya.
“Sesiapa yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai kebahagiaan dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya” (Al-Kahfi : 17)
Oleh kerana itu kita sering diingatkan supaya jangan ditangguh-tangguh jika hidayah itu datang menyapa, sahutlah sapaan itu dan berusaha untuk mencapainya, jangan sesekali membiarkan sehingga hidayah itu ditarik semula, maka kitalah orang-orang yang sangat rugi kerana ada pula yang tidak langsung mendapat cahaya hidayah (nur hidayah) itu.
“Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayat petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayat yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (An-Nur:35)
Hati yang dibaluti dan diselaputi hitamnya dosa dan noda sekalipun jika cahaya hidayah menembusi hati yang hitam itu hanyalah kerana dengan izin Allah. Marilah kita bersama-sama mencari cahaya itu dan membuka pintu hati kita seluas-luasnya untuk menerima hidayah Allah S.W.T.
Wallahu’alam…


Artikel ini kiriman Aisysha Binti Zaidel dari Bintulu, Sarawak. Beliau merupakan graduan Politeknik Mukah Sarawak (Diploma Kejuruteraan Mekanikal). Blog beliau http://cshabah.blogspot.com


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
:: Untuk apa meraih kecintaan manusia andai diri dimurkai Sang Pencipta. Berilmu bukan bererti menunjukkan kepandaian tetapi hanyalah utk diamalkan. Tiada berguna memperoleh sanjungan disisi ramai andai diri hina disisi Tuhan. Aku hanyalah seorang hamba hina yg sering diselubungi dosa-dosa. Hanya mampu merayu dan mengharap agar diri ini kembali bersih sebelum pergi mengadap Illahi::




Red Butterfly