Saturday, August 13, 2011

:: Amarah ::



Salam ukhwah buat semua muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.

Anda semua pasti pernah marah bukan?
Mustahil manusia didunia ini tidak pernah merasa apa itu marah kerana manusia dilahirkan dengan berbagai perasaan, perasaan suka, benci, sayang, kasih, cinta, marah, dan banyak lagi. Jika sifat marah itu menjadi hobi anda lebih baik dihindari secepatnya, kerana orang yang kuat marah ini tidak banyak yang suka dan akan menyebabkan kita melakukan sesuatu perbuatan yang tidak diredhai Allah S.W.T. Kita perlu sentiasa cool dan relax dalam menghadapi sesetengah orang yang sememangnya boleh membuat diri kita menjadi sakit jiwa dan terbitnya perasaan amarah itu.

Jadi, janganlah kita marah mereka dengan melulu, sebaliknya berilah kata-kata nasihat atau sebaiknya berdiam diri sahaja. Kerana mereka akan merasa bosan dan perasaan marah itu akan berbalik kepada mereka sendiri. Ingatlah, dalam kita menjalani kehidupan seharian, berbagai-bagai jenis orang yang kita jumpa. Ketika ke sekolah, ketika ke kuliah, ketika bekerja dan ketika membeli belah.

Manusia ini banyak karenahnya, jadi anda mesti bijak menghadapi situasi-situasi seperti ini. Jika dihadapi dengan ilmu dan akhlak yang mulia pasti perasaan amarah itu dapat dibendung dan dipupuk serta dapat melatih diri dengan mengawal keadaan sekeliling dengan akal fikiran yang waras bukan dengan penuh emosional. Jangan kerana terlalu mengikut perasaan amarah akan memakan diri kita sendiri. Kita perlu tenang dan berfikir secara rasional dalam menghadapinya, boleh kita luahkan perasaan tidak puas hati itu kepada orang lain tetapi janganlah sehingga mengaibkan orang lain. Tetapi jangan pulak dipendam segala amarah itu, nanti menjadi dendam pulak disebaliknya.

Memberi nasihat sudah memadai kepada mereka, tetapi berilah teguran dan nasihat yang berhemah bukan memulang paku dulang paku serpih. Itu bermakna anda juga seperti mereka, tidak ada kurangnya. Jadi, hidup bermasyarakat ini kita perlulah sentiasa mesra, hormat menghormati dan saling bertolak ansur. Dari situlah terbitnya kasih sayang, sifat saling menghormati terjadi dan baru dikatakan satu Malaysia.

Sebenarnya, jika anda ingin tahu orang yang paling lemah di dalam dunia ini adalah orang yang tidak dapat mengawal kemarahannya. Jadi pupuklah kesabaran di dalam diri, mengambil air wudhuk bagi meredakan amarah itu. Jangan melepaskan segala tohmahan dan kata-kata kesat pula, ini boleh menyumbang kepada pergaduhan atau lebih teruk daripada itu.

Jadi jangan membuat sesuatu di luar kawalan diri sendiri, bersabarlah kerana sabar itu separuh daripada iman. Apabila kita puas melepaskan amarah kita pasti kita berasa puas bukan, tetapi dikemudian hari kelak anda pasti akan menyesali kesilapan diri. Mungkin kata-kata yang diluah itu telah mengaibkan individu itu sendiri, apa yang jadi rahsia tidak lagi menjadi rahsia. Saya sendiri akui, apabila perasan marah sudah menguasai diri, kita akan mudah lupa diri. Tanpa memikirkan akibatnya kita akan terus-terusan berperang mulut dan melepas kemarahan asalkan hati puas.

Tetapi anda silap, cara yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah adalah dengan bermesyuarat atau syura. Melalui syura banyak masalah dapat diselesaikan.Oleh itu Islam sangat menganjurkan dalam kehidupan ini untuk mengadakan syura, lebih baik kita berbincang dengan cara baik dan saling bersemuka serta meluahkan apa yang sebenarnya terbuku dihati. Tetapi bukan niat untuk membalas dendam, dengan adanya mesyuarah pasti masalah dapat diselesaikan dengan baik.

Bukan hanya menuding jari pada sebelah pihak sahaja, ingatlah, kita telah dikurniakan oleh Allah sepasang telinga, mata, mulut dan akal. Gunalah ia sebaik-baik mungkin, jangan mudah membuat kesimpulan sendiri tanpa mengetahui pokok hal yang sebenarnya. Itulah gunanya telinga, kita dengar apa yang diperkatakan oleh kedua-dua pihak dengan mulut yang diberikan, baru kita boleh simpulkan menjadi satu. Tetapi mulut mudah menipu dan pandai pula mereka-reka cerita untuk menutup kesalahan diri. Dan kerana itu mata kita gunakan untuk melihat perbuatan yang  dilakukan mereka itu adalah benar atau tidak, tetapi jangan terpedaya dengan apa yang anda lihat sahaja. Kerana apa yang selalu anda lihat tidak semestinya membuktikan suatu kebenaran, mungkin ada isi tersirat daripada tersurat. Dan kerana itulah Allah kurniakan kita akal supaya kita boleh berfikir dan membuat keputusan yang lebih baik untuk kedua-dua belah pihak.

Tips Menyembuh Penyakit Amarah:

- Berdoa kepada Allah S.W.T supaya membimbing kita ke jalan yang benar dan menghilangkan sifat amarah/hina di dalam diri.

-Beristighfar,berzikir, dan membaca Al-quran pasti perasaan amarah itu akan beransur tenang dengan menginggati Allah.

-Memohon perlindungan Allah S.W.T dari hasutan syaitan agar tidak membangkitkan perasaan amarah itu.

-Menukar posisi ketika sedang marah. Sabda Rasulullah S.A.W : “ Apabila salah seorang diantara kalian marah sedangkan ia dalam posisi berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kalau telah reda/hilang marahnya (maka cukup dengan duduk saja), dan jika belum hendaklah ia berbaring.” (Al-Misykat 5114).

Oleh itu umat mukmin perlu membendung segala sifat keji dan hina daripada diri agar memiliki akhlak mulia dan hidup akan lebih diberkati oleh Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Katakanlah: “ Hai hamba-hamba-Ku  yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu.” Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”


Aisysha Binti Zaidel,
Berasal dari Bintulu, Sarawak,
Graduan Politeknik Mukah Sarawak (Diploma Kejuruteraan Mekanikal),
http://cshabah.blogspot.com


P/s: Artikel pertama yg telah disiarkan sumbangan Aisysha Zaidel, dari Bintulu, Sarawak. Syukran
(Travelog Imam Muda Hassan)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
:: Untuk apa meraih kecintaan manusia andai diri dimurkai Sang Pencipta. Berilmu bukan bererti menunjukkan kepandaian tetapi hanyalah utk diamalkan. Tiada berguna memperoleh sanjungan disisi ramai andai diri hina disisi Tuhan. Aku hanyalah seorang hamba hina yg sering diselubungi dosa-dosa. Hanya mampu merayu dan mengharap agar diri ini kembali bersih sebelum pergi mengadap Illahi::




Red Butterfly