Monday, July 11, 2011

:: Love Marriage Vs Arrange Marriage ::

Assalamualaikum, topik yang saya ingin kongsi bersama hari ini adalah perkahwinan atas dasar cinta atau perkahwinan yang diatur oleh keluarga. Love marriage dan arrange marriage sangat popular di kalangan remaja muda zaman sekarang. Kini dengan perkembangan pesat era moden kita, adat seperti ‘arrange marriage’ sudah lama ditinggalkan, jika masih ada pun mungkin hanya dilakukan oleh segelintir masyarakat yang masih mengamalnya. Tetapi masyarakat sekarang menganggap perkahwinan yang diatur oleh kedua orang tua itu adalah suatu adat perkahwinan yang sudah ketinggalan zaman, tetapi tahukah anda bahawa nikmat bercinta selepas perkahwinan?

Walaupun saya belum berkahwin, tetapi saya ingin berkongsi serba sedikit pengalaman orang yang berada disekeliling saya untuk di jadikan rujukan atau pengetahuan anda semua. Memang saya akui, ramai remaja mukmin sekarang lebih memilih ‘love marriage’, jika dinyatakan segala sebab-sebabnya pasti anda tidak akan habis membacanya. Kerana bagi sesiapa pun yang tengah hangat bercinta, akan menidakkan seboleh mungkin untuk tidak dikahwinkan atas pilihan keluarga. Bagi mereka, mereka berhak menentukan siapa yang harus mereka kahwini. Mereka akan berjuang habis-habisan untuk membanteras kenyataan “Arrange marriage is better than Love marriage”, itulah namanya cinta, memang cinta itu buta.

Kalau kita cakap mengenai cinta, banyak orang yang boleh memberi berbagai-bagai jenis definisi apa itu cinta? Sebelum itu, biarlah saya nyatakan satu persatu mengenai ‘Love Marriage’ terlebih dahulu. Perkahwinan atas dasar cinta kadang-kadang memang bahagia pada awal pernikahan dan selepas dua atau lima tahun bernikah pasti timbul masalah. Ya, setiap orang yang berumah tangga pasti mempunyai masalahnya tersendiri. Jangan dulu membuat kesimpulan kerana anda belum lagi mengetahui kelebihan dan kekuranngan pada ‘Love Marriage’ ini.

‘Love Marriage’ boleh didefinasikan sebagai sepasang kekasih yang sudah lama menjalinkan hubungan cinta dan bersama-sama sudah berjanji setia untuk mendirikan rumah tangga, bukan atas paksaan orang lain atau kehendak orang tua tetapi kehendak sendiri. Perkahwinan atas dasar cinta mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri kerana situasi selepas berkahwin amat berbeza daripada sewaktu zaman bercinta dahulu.

Contohnya pasangan yang bercinta tadi akan ke alam perkahwinan dan sudah bersedia untuk memikul  segala tanggungjawab. Kelebihannya adalah selepas perkahwinan mereka sudah kenal hati budi pasangan masing-masing, mengetahui apa kesukaan dan kebencian pasangan sendiri dan tahu bagaimana hendak mengatasi pasangan masing-masing jika mereka menghadapi masalah di dalam rumah tangga.

Selain itu, kelebihan perkahwinan atas dasar cinta ini dapat membantu pasangan yang sudah mengetahui kekurangan diri pasangan mereka. Dari situ, mereka boleh melakukan perubahan demi perubahan. Jika masih tidak melakukan perubahan pasti masalah lain akan timbul. Contohnya suami berlaku curang, lelaki ini memang menyukai sesuatu yang baru dan cantik. Terpulang dengan wanita itu sendiri untuk menjaga penampilan diri dan sentiasa nampak cantik dimata si suami.
Kekurangan yang boleh kita lihat adalah pasangan yang sudah lama kenal dan bercinta bertahun-tahun pasti sudah jemu dan bosan menghadapi benda yang sama setiap hari. Oleh itu, terpulang dengan cara individu itu sendiri jika pandai menjaga hati pasangannya dan sentiasa membuat perubahan baru pada diri. Jika bagi perempuan yang selalunya sudah mempunyai anak sering mengabaikan kebajikan suami, kerana lebih memberi perhatian kepada anak yang dilahirkan. Si isteri perlu pandai menjaga dan membahagikan masa mereka agar tidak berat sebelah.

Begitu juga disebaliknya, jika si suami sudah bekerja hingga hampir tidak mempedulikan makan dan keperluan anak dan isteri perlu juga bersedia dengan kemungkinan seperti ini. Anda mungkin pernah mengalami, dimana suami dan isteri masing-masing bekerja sehingga anak diabaikan atau ditinggalkan kepada orang gaji atau taska. Jika masalah terjadi kepada anak-anak, pasti pertelagahan terjadi diantara suami dan isteri. Anda perlu bersedia untuk menghadapi situasi seperti ini, jika kerana sudah bosan melayan karenah isteri atau suami pasti perasaan jemu itu bertandang di hati.
Oleh kerana itu, perkahwinan atas dasar cinta selalunya atau kebanyakkannya tidak bertahan lama. Hanya sekejap sahaja kerana masing-masing sudah jemu dan kenal perangai serta sikap yang dipamerkan. Jika ada pun yang bertahan, itu kerana mereka bijak dalam menangani karsus rumah tangga seperti ini. Sebelum membuat apa-apa keputusan, lebih baik berbincang sesama sendiri, perbetulkan apa yang salah, tambahkan apa yang kurang dan ubahlah apa yang patut, nescaya rumah tangga yang dibina atas dasar cinta akan bertahan lama dan diberkati oleh yang maha esa.

‘Arrange Marriage’ adalah perkahwinan yang diatur oleh kedua orang tua atau kedua-dua belah pihak keluarga. Banyak kes yang kita dengar ‘arrange marriage’ ini selalu membawa kepada penceraian kerana tidak ada cinta diantara satu sama lain. Ada pulak yang mengatakan ‘arrange marriage’ sudah lapok tidak diguna pakai oleh masyarakat moden. Tetapi pada pendapat saya, perkahwinan yang diatur oleh kedua orang tua itu adalah lebih baik kerana pasti perkahwinan kita bahagia kerana adanya berkat dan restu daripada ayah dan ibu. Restu itu penting di dalam sebuah perkahwinan, jika tidak ada restu pasti banyak bencana yang akan menimpa sesetengah perkahwinan tersebut dan kehidupan manusia itu tidak diberkati oleh Allah S.W.T.

‘Arrange Marriage’ juga mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri. Itulah gunanya sebuah perkahwinan, dengan adanya sebuah perkahwinan ini lelaki dan perempuan akan saling  melengkapi. Jika persefahaman tidak ada di dalam perkahwinan, ‘arrange marriage’ atau ‘love marriage’ memang tidak akan bertahan. Oleh itu, setiap pasangan yang sudah bersedia untuk ke alam perkahwinan, perlulah lebih bersedia menghadapi segala cabaran dan dugaan di dalam rumah tangga. Itu kerana Allah ingin menguji dimana kekuatan cinta dan kesetiaan anda di dalam sebuah perkahwinan itu.

Lebih baik kita berkahwin dengan pasangan yang telah ditetapkan oleh kedua orang tua kita, insyaAllah kamu akan merasa nikmat berumah tangga. Biar pun segala badai yang melanda di dalam sesebuah perkahwinan itu, pasti kamu akan bermati-matian mempertahankannya daripada runtuh. Ingatlah, doa kedua orang tua kita sangat penting, berbuat baiklah kepada mereka dan patuh segala apa yang mereka inginkan. Tidak mungkin ayah dan ibu mahu anak mereka berkahwin dengan lelaki  atau wanita yang tidak akan menjamin masa hadapan mereka. Jika pilihan keluarga itu baik, baiklah bagi kamu wahai adam dan hawa.

Kekurangan ‘arrange marriage’ yang boleh kita lihat adalah tidak mengenal hati budi pasangan kita, tidak tahu apa kesukaan mereka, warna kegemaran atau makanan kegemaran, tidak kah itu menarik sebenarnya. Disaat pasangan yang baru bernikah itulah mereka boleh menyoal selidik mengenai pasangan mereka. Cinta juga akan berputik selepas itu, walaupun mengambil masa yang lama. Tetapi apa yang lebih baik adalah keikhlasan dan kejujuran dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri atau suami.

Dengan adanya kekurangan, disitulah kita jadikan ia kelebihan. Bukan sudah ditetapkan bahawa pertunangan yang berlaku sebelum perkahwinan adalah tempoh masa untuk pasangan saling kenal mengenali. Itulah indahnya islam, menyusun segalanya agar berjalan dengan lancar agar segala perancangan hidup untuk berumah tangga dapat diatasi dengan baik.

Selain itu, walaupun pada awal pernikahan masing-masing masih malu untuk menyatakan perasaan yang terpendam, tidak salah jika hendak berkawan dahulu. Tidakkah itu menarik? Berkawan dan selepas itu pasti bibit-bibit cinta akan menular ke dasar hati pasangan masing-masing. Cinta pula lebih bertahan lama, masing-masing memulakan hidup berumah tangga dengan aman dan harmoni.

Remaja mukmin haruslah membuat keputusan dan pilihan yang betul dalam menjalani bantera rumah tangga ini, kerana anda mesti berfikir semasak-masaknya sebelum melangkah ke alam rumah tangga. Berbagai ranjau, rintangan dan liku-liku hidup akan anda lalui diusia serba moden ini, kerana pilihan dan keputusan yang anda buat sekarang akan mempengaruhi apa yang bakal terjadi di masa hadapan anda.

Di masa hadapan, keputusan yang dibuat mungkin memberi kesan yang baik dan tidak baik. Jadi, sebagai umat mukmin kita telah diajar segala apa yang perlu dilakukan jika menghadapi situasi seperti ini. Itu gunanya ilmu yang kita cari selama ini, kerana ia membantu kita dalam menangani masalah yang timbul.

‘Love Marriage’ atau ‘Arrange Marriage’  mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri, ia terpulang kepada diri individu itu sendiri dalam mengatasinya dan jangan mengambil risiko yang tinggi apabila anda masih belum pasti dan bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Ambil masa sebanyak mungkin untuk memilih apa yang tebaik untuk hidup dan masa depan anda.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, ada disebut:

“Diriwayatkan daripada Anas r.a, katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain kedua-duanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya daripada kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.”
(Bukhari: no. 15, Muslim no. 60, Tirmizi: no. 2548, Nasaie: no. 4901)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
:: Untuk apa meraih kecintaan manusia andai diri dimurkai Sang Pencipta. Berilmu bukan bererti menunjukkan kepandaian tetapi hanyalah utk diamalkan. Tiada berguna memperoleh sanjungan disisi ramai andai diri hina disisi Tuhan. Aku hanyalah seorang hamba hina yg sering diselubungi dosa-dosa. Hanya mampu merayu dan mengharap agar diri ini kembali bersih sebelum pergi mengadap Illahi::




Red Butterfly