Sunday, July 10, 2011

Formula Varsiti - PMU!!! -

 

‘Formula Varsiti’ pentas tonjol inovasi

Oleh WAN MOHD RUZLAN WAN OMAR
metahad@hmetro.com.my

PERKEMBANGAN pendidikan dalam bidang teknikal menjadi semakin penting dan usaha melakukan transformasi di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara kini rancak dilaksanakan.
Ia sejajar dengan visi negara untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam sektor teknikal.

Antara IPT yang dilihat sering menunjukkan kecemerlangan dalam melaksanakan pembangunan dan penyelidikan bidang kejuruteraan ialah Politeknik Mukah (PMU), Sarawak.

Politeknik itu yang dibina di kawasan seluas 100 ekar menumpukan pada lima bidang teras iaitu kejuruteraan mekanikal, awam, elektrikal, teknologi maklumat (IT) dan perdagangan.


Kini, PMU mula mengorak langkah penuh pragmatik untuk mengetengahkan keupayaan pelajarnya dalam mengaplikasikan ilmu kejuruteraan secara maksimum demi membina graduan yang berketrampilan unggul melakar sejarah dalam inovasi.

Bagi membuktikan mereka serius dalam membangunkan bidang itu, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal menganjurkan satu pertandingan berbentuk ala Formula One (F1) yang dikenali sebagai ‘Formula Varsiti’.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Mohd Rizal Azman Rifin berkata, objektif utama pertandingan itu adalah membolehkan semua pelajar tahun akhir peringkat diploma menunjukkan bakat dan daya kreativiti merekabentuk secara inovasi.

“Sebanyak 10 pasukan mengambil bahagian iaitu enam pasukan go-kart dan selebihnya pasukan formula varsiti.

“Mereka semua adalah pelajar tahun akhir kursus Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan ini adalah hasil kerja projek yang mesti mereka siapkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Faizal Ngaimon berkata, pelajar tahun akhir bukan setakat perlu menyiap projek sebagai satu bentuk penilaian, tetapi juga perlu memperagakan hasil ciptaan mereka dalam pertandingan itu.

“Inilah kelainannya berbanding IPT lain kerana kami betul-betul ingin menguji keupayaan projek dihasilkan.

“Selain itu, kami ingin membentuk semangat bekerjasama dalam pasukan dengan elemen disiplin dan ketekunan tinggi. Syukur mereka berjaya membuktikan anak tempatan mampu membuat inovasi reka bentuk yang kompetitif setaraf dengan pelajar IPT lain,” katanya.

Seorang lagi pensyarah yang sempat ditemui, Mad Hafis Mohamed Yusof berkata, selain bertanding untuk mengejar kejuaraan, pertandingan itu berjaya menyelitkan unsur sukan yang sihat.

“Menerapkan minat terhadap sukan lumba kereta adalah perkara positif dan kami di sini bukan setakat menonjolkan kualiti kerja baik daripada aspek mereka bentuk, tetapi mengajak pelajar mendekati sukan kereta.

“Ternyata kami mampu membina budaya bersukan yang sihat, malah mampu membuktikan keupayaan mereka bentuk model kereta lumba yang mampu berdaya saing,” katanya.

Peserta yang mewakili pasukan Falcon Racing, Larry Joseph Ubang meluahkan rasa gembira kerana dipilih menyertai pertandingan.

“Keupayaan mereka bentuk kereta lumba dan bersaing dengan kumpulan lain dalam pertandingan ini adalah peluang keemasan bagi kami untuk menampilkan bakat dan daya inovasi kami.

“Walaupun masa diberi singkat iaitu hanya empat bulan, berkat kerjasama 10 ahli kumpulan kami mampu menyiapkannya dan lebih manis apabila kami berjaya mendapat tempat ketiga,” katanya.

Menurutnya, modal dikeluarkan sekitar RM2,500 untuk membeli peralatan dan komponen kenderaan dan pada peringkat awal mereka hampir berputus asa kerana sukar mendapatkan bekalan komponen diperlukan.

Namun, keprihatinan penyelia projek yang banyak membantu memastikan projek itu berjaya dilaksanakan dengan sempurna.

Dalam pertandingan itu, pasukan Vantage muncul sebagai juara keseluruhan, naib juara disandang kumpulan Hornbil dan tempat ketiga kumpulan Falcon manakala tempat terakhir kumpulan Art.

Sesungguhnya, usaha ditampilkan PMU sewajarnya diteruskan kerana kaedah begini berupaya membina generasi anak muda yang berdaya intelektual tinggi serta berkemahiran unggul.


INFO



  • Formula Varsiti dianjurkan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PMU




  • Dua kategori diwujud�kan iaitu go-kart dan kereta lumba Formula One




  • Membabitkan 120 pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Mekanikal



    PROFIL

    NAMA: Mohd Faizal b. Ngaimon
    UMUR: 33 tahun
    ASAL: Ledang, Johor
    JAWATAN: Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal
    TUGAS: Penyelia projek / marshal litar


    PROFIL

    NAMA: Mad Hafis Mohamad Yusof
    UMUR: 28 tahun
    ASAL: Kangar, Perlis
    JAWATAN: Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal
    TUGAS: Penyelia projek / marshal litar


    PROFIL

    NAMA: Mohd Rizal Azman Rifin
    UMUR: 30 tahun
    ASAL: Kuantan, Pahang
    JAWATAN: Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal
    TUGAS: Penyelia projek / marshal litar


    PROFIl

    NAMA: Larry Joseph
    UMUR: 21 tahun
    ASAL: Belaga, Sarawak
    PASUKAN: Falcon



  • 0 comments:

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
    :: Untuk apa meraih kecintaan manusia andai diri dimurkai Sang Pencipta. Berilmu bukan bererti menunjukkan kepandaian tetapi hanyalah utk diamalkan. Tiada berguna memperoleh sanjungan disisi ramai andai diri hina disisi Tuhan. Aku hanyalah seorang hamba hina yg sering diselubungi dosa-dosa. Hanya mampu merayu dan mengharap agar diri ini kembali bersih sebelum pergi mengadap Illahi::




    Red Butterfly