Saturday, June 11, 2011

Merealisasikan Agenda Transformasi Politeknik

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Merealisasikanagendatransformasipoliteknik/Article/index

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
bhvarsiti@bharian.com.my
2011/06/09

SEKTOR pengajian tinggi negara terus berubah dan berkembang sejajar perubahan zaman termasuk sistem pendidikan di politeknik.

Kini politeknik tidak lagi boleh kita pandang rendah kerana entiti pengajian tinggi itu banyak menyumbang kepada pembentukan modal insan berkemahiran dan profesional.
Usaha berterusan yang telah dan sedang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi menerusi Jabatan Pengajian Politeknik sudah mula menampakkan impak positif.

Ini terbukti apabila saban tahun jumlah permohonan ke institusi itu semakin meningkat. Setiap tahun lebih 100,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memohon untuk mengikuti pengajian di politeknik sedangkan tempat yang disediakan hanya sekitar 20,000 saja.

Perkembangan ini jelas mencerminkan sikap dan perubahan paradigma pemikiran pelajar terhadap prospek masa depan menerusi kelayakan politeknik.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Mohlis Jaafar, berkata semua politeknik perlu diperkasa dengan penampilan imej baru supaya mampu bersaing dan seterusnya menjadi institusi pilihan utama lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran.

Kata beliau lagi, langkah membina imej baru yang lebih menarik itu bertujuan melahirkan graduan politeknik yang mempunyai kemahiran dan daya keusahawanan tinggi.
Justeru, seruan Datuk Mohlis itu seharusnya dilihat sebagai satu cabaran bagi seluruh warga politeknik khususnya tenaga pengajar agar meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, selain memantapkan sektor pembangunan dan penyelidikan terutama bidang teknikal industri dan pengurusan keusahawanan.

Apa yang diperkatakan Datuk Mohlis itu kena pada masanya kerana sektor industri di negara kita sentiasa memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan semangat daya saing yang hebat.

Justeru, diharap politeknik akan mampu menjadi ’pemain utama’ dalam penyediaan modal insan sekali gus menjadi wadah bagi memastikan golongan belia memperoleh sumber ilmu yang berkualiti tinggi.
Dalam usaha menjadikan politeknik institusi pengajian tinggi yang unggul di mata masyarakat dan terus menjadi rebutan pelajar, penambahbaikan sistem pengajian sewajarnya dilaksanakan.

Selama ini, bidang pengajiannya banyak tertumpu kepada kejuruteraan dan perdagangan saja, maka kini sudah sampai masanya politeknik memperluas bidang dan sub bidang pengajian agar lebih banyak ilmu pengetahuan berkemahiran tinggi mampu dijadikan pilihan kepada pelajarnya.

Antara bidang pengajian harus disediakan politeknik ialah pengurusan sains sukan. Sains Sukan juga elemen ilmu yang semakin penting dan mempunyai pasaran kerja luas walaupun ketika ini ia hanya ditawarkan universiti tertentu saja.

Walaupun tergolong dalam pengajian sains, Sains sukan turut membabitkan pendedahan terhadap teknikal pengurusan, selain memfokuskan kepada bidang terasnya termasuk kinesiologi, biomekanik, anatomi dan fisiologi.

Dengan pelbagai prasarana sukan dan kokurikulum di kampus politeknik seluruh negara, kursus ini mampu digarap dengan baik dan sempurna.

Selain itu, politeknik juga perlu berani menyediakan pengajian bidang kejuruteraan teknikal yang terkini, contohnya kejuruteraan alam sekitar dan kejuruteraan nano.

Walaupun kedua-dua bidang berkenaan banyak ditawarkan institusi pengajian tinggi (IPT) awam lain, situasi semasa dengan perkembangan pembangunan negara yang pesat khasnya dalam sektor industri membolehkan politeknik menyumbang kepada usaha memperkasa modal insan dalam kedua-dua bidang berkenaan.

Apapun bidang yang ditawarkan, seharusnyalah politeknik mampu bergerak dalam pendekatan ke arah agenda transformasi politeknik agar institusi kemahiran tinggi itu sentiasa relevan dengan perubahan masa dan mampu melonjakkan kualiti modal insan.

Reputasi sebagai institusi yang menjurus kepada bidang teknikal semestinya sudah mengupayakan politeknik untuk berdiri sama tinggi dengan IPT lain.

Diharapkan politeknik bukan saja akan berdaya tahan untuk mengekalkan momentum kecemerlangannya selama ini, malah akan berupaya memunculkan ‘diri’ sebagai entiti pengajian tinggi terbaik negara.

Dengan usaha dan strategi mantap, agenda memartabatkan pengajian politeknik akan berjaya dijana dan direalisasikan seterusnya akan menjadi pemangkin kepada kejayaan Wawasan 2020 sebagai sebuah negara maju dengan lahirnya modal insan hebat yang berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal.

Bersama kita renungi kembali ungkapan kata-kata bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad, 'Pendidikan adalah faktor penting dalam usaha kita membangunkan negara.

Rakyat yang terpelajar dapat memberi sumbangan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara yang pesat serta mewujudkan masyarakat yang mampu bersaing dengan negara maju.’

Justeru, dalam melahirkan masyarakat yang berilmu serta memiliki kemahiran tinggi khususnya dalam bidang sains dan teknikal, peranan dan sumbangan politeknik seharusnya diambil kira sebagai salah satu IPT berwibawa.

Pengajian tinggi dalam bidang kemahiran teknikal adalah batu loncatan bagi individu yang ingin maju serta pembangunan bangsa dan negara ke arah kemajuan yang setaraf dengan negara maju lain.

Berjaya atau tidak hasrat negara untuk muncul sebagai negara maju pada 2020 terletak pada generasi muda negara sekarang. Justeru, golongan itu seharusnya diisi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi agar mampu menjadi sumber penggerak kemajuan negara.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah, Pahang

VARSITI mengalu-alukan pandangan ahli akademik mengenai pelbagai isu menerusi Minda Intelek. Hantarkan pandangan ke bhvarsiti@bharian.com.my


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
:: Untuk apa meraih kecintaan manusia andai diri dimurkai Sang Pencipta. Berilmu bukan bererti menunjukkan kepandaian tetapi hanyalah utk diamalkan. Tiada berguna memperoleh sanjungan disisi ramai andai diri hina disisi Tuhan. Aku hanyalah seorang hamba hina yg sering diselubungi dosa-dosa. Hanya mampu merayu dan mengharap agar diri ini kembali bersih sebelum pergi mengadap Illahi::




Red Butterfly